“Darah Muda Akan Julang PDRM” – Wan Rohaimi Tekad Lahirkan Bintang Masa Depan

PDRM Wan Rohaimi Pemain Muda

Pada musim lalu apabila Wan Rohaimi diumumkan sebagai ketua jurulatih baharu PDRM, ada pihak yang meragui kemampuan bekas pemain kebangsaan itu kerana dianggap ‘kurang berpengalaman’.

Ketika mengambil alih pasukan dari jurulatih veteren, Mat Zan Mat Aris, skuad Sang Saka Biru itu berada di tangga tercorot Liga Premier dan gagal mencatat sebarang kemenangan.

Pada waktu itu, Wan Rohaimi sedar bahawa pasukannya itu tidak mempunyai pemain bintang seperti mana pemain-pemain lain dan beliau mula mengatur perancangan terbaik untuk memastikan PDRM menjadi pasukan yang mampu memberi cabaran.

Dikenali sebagai seorang jurulatih yang ‘genius’ sehingga mampu menghasilkan sebuah buku corak latihan asas bola sepak, auranya ternyata begitu terserlah dan berjaya membentuk karakter PDRM sehingga mampu menamatkan saingan di tangga pertengahan liga.

Untuk musim 2022 ini, Wan Rohaimi tampil dengan lebih berani. Ketika sebahagian besar pasukan gigih memburu pemain berpengalaman atau nama yang besar di Liga Malaysia, PDRM memilih utuk membariskan majoriti pemain muda di dalam skuadnya.

Tanpa berselindung, jurulatih berusia 45 tahun itu menjelaskan beliau mengambil pendekatan sebegitu kerana lebih selesa bekerja dengan pemain-pemain muda.

Namun ia bukanlah bermaksud beliau tidak menyukai pemain-pemain senior. Jelasnya sebahagian bakat-bakat muda ini masih ada ruang untuk dibentuk menjadi pemain yang lebih hebat pada masa depan.

“Seperti mana musim lalu, falsafah yang saya mahu terapkan akan terus kekal iaitu saya mahu melahirkan bintang dalam kalangan pemain muda,” katanya kepada Media MFL.

“Hanya lima pemain sahaja pemain dalam pasukan ini yang boleh dikatakan berpengalaman dengan selebihnya saya ambil bakat-bakat muda yang ingin bermain bagi perkuatkan PDRM.

“Saya tidak mahu bersandarkan kepada pemain yang ada nama semata-mata tetapi pemain yang boleh bekerja untuk pasukan serta ada kemahuan tinggi dalam diri sendiri, aspek ini ada pada sebahagian besar pemain muda.

“Begitu juga dengan import, saya akan mendapatkan dua pemain dari Kyrgyzstan yang berusia 28 tahun ke bawah iaitu satu umur kemuncak dalam karier seseorang pemain selain seorang dari Slovakia.

“Hanya Alexander Amponsah, pemain tengah dari Ghana yang dikekalkan dan tiga lagi import baharu akan diperkenalkan tidak lama lagi,” katanya.

Antara pemain baharu PDRM FC ialah Firdaus Irman, Adib Hakimi (Selangor 2) Mu’az Zainal Abidin (Penang) dan Amier Mohd Ali (Perak). Manakala Nurfais Johari serta Azrie Reza Zamri yang hadir dari Penang pada pertengahan musim lalu telah dikekalkan.

Pendekatan yang dipilih Wan Rohaimi sememangnya tidak mengejutkan kerana ada pengalaman bekerja 10 tahun lalu di Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) selain pernah bertindak selaku Ketua Jurulatih Piala Presiden Penang pada musim 2020.

Dalam masa sama, Wan Rohaimi berasakan PDRM mampu berikan cabaran kepada pasukan lain di Liga Premier dalam memburu dua slot ke Liga Super 2023.

“Musim lalu saya hadir di pertengahan musim dan terpaksa meneruskan cabaran pasukan dengan menggunakan pemain sedia ada,” ujarnya lagi.

“Kali ini sangat berbeza kerana saya sendiri boleh mencorakkan pasukan dengan pemain yang saya mahukan dan sememangnya kami sudah tidak sabar untuk harungi saingan Liga Premier musim ini.

“Saya optimis PDRM mampu berikan saingan walaupun kami tidak terdiri dari pemain bintang kerana saya percaya semangat luar biasa bakat-bakat muda akan membawa pasukan ini ke tahap lebih baik.”

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN