PDRM Semakin Serasi Dengan Sentuhan Wan Rohaimi

PDRM FC Wan Rohaimi

Tempoh rehat yang panjang tidak mengganggu rentak PDRM FC yang terus konsisten mengekalkan rentak kemenangan buat kali kedua berturut-turut selepas menewaskan Kelantan United FC, 1-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

Kemenangan keempat dalam saingan Liga Premier itu meletakkan skuad kendalian Wan Rohaimi Wan Ismail semakin menjauhi zon penyingkiran dan kian berupaya mencabar pasukan di kelompok pertengahan.

Bagaimanapun, keputusan itu tidak membuatkan Wan Rohaimi berpuas hati sepenuhnya kerana masih resah dengan sentuhan penyudah barisan hadapan yang hampir membuatkan mereka kempunan sekali lagi meraih tiga mata.

“Hajat tiga mata memang tercapai selain persembahan pemain juga saya berpuas hati cuma aspek penyudah masih lagi menjadi kekurangan kita, masalah sama sejak sebelum liga bercuti rehat tempoh hari.

“Kita bernasib baik kerana dapat juga menjaringkan satu gol dalam perlawanan kali ini, saya memang risaukan bab itu kerana sudah letih dengar kenyataan yang kita main bagus tetapi tidak buat gol.

“Masalah utama yang saya dapat kesan semasa di bahagian zon terakhir serangan kerana pemain seperti kekurangan idea apabila di depan gol dan sering kali membuat keputusan yang tidak tepat.

“Bola sepak ini kiraanya berdasarkan gol kalau mahu hendak menang, tidak guna kalau main bagus tetapi tidak boleh buat sebarang jaringan, perkara ini akan saya cuba perbaiki dari tiap perlawanan yang kita akan lalui,” katanya.

Penyerang import kacukan Jepun-Brazil, Bruno Suzuki muncul wira PDRM apabila dia yang dimasukkan selaku pemain gantian berjaya menjaringkan gol pada minit-78.

Mengenai Bruno, Wan Rohaimi mengakui penyerang itu masih bergelut bagi mendapatkan rentak ekoran belum pulih sepenuhnya dari masalah kecederaan.

Namun, Wan Rohaimi gembira Bruno masih menjalankan peranannya biarpun pada mulanya, dia seperti melakukan perjudian kerana peneyerang itu tidak berada di tahap terbaik.

“ Bruno ada sentuhan jaringan sebenarnya cuma dia agak bermasalah dengan kecederan kerana tiap kali hendak main, ada sahaja perkara yang mengganggu yang membuatkannya tidak boleh bermain.

“Memang saya ambil risiko membawa Bruno di separuh masa kedua dan mengharap dia dapat melakukan sesuatu, alhamdulilah benda itu berhasil dan dia juga mampu menyerap tekanan ketika kedudukan 0-0 pada waktu tersebut, ” katanya.

Kedudukan itu mengukuhkan PDRM di tangga kelapan dengan 14 mata selepas 12 perlawanan, empat mata meninggalkan Kuching City FC serta Perak FC II sementara Skuad Projek FAM-MSN, di tangga terakhir menerusi pungutan dua mata.

Hanya tiga perlawanan Liga Premier berlangsung pada minggu lalu ekoran aksi Kuching City FC dan Terengganu FC II serta Sarawak United FC dan Perak FC II ditunda berikutan terdapat beberapa pemain serta pegawai Sarawak United dan Kuching City dikesan positif COVID-19.

Perlawanan lain yang berlangsung pada Sabtu menyaksikan Kelantan FC menang tipis 2-1 ke atas Skuad Projek FAM-MSN dengan gol kemenangan dihasilkan pemain muda, Ismail Ibrahim pada penghujung perlawanan.

Skuad Projek FAM-MSN sebelum itu di hadapan melalui Azhad Harraz Arman pada minit 55 sebelum disamakan Christos Intzidis pada minit 83.

Satu lagi perlawanan menyaksikan pasukan di tangga kedua, Negeri Sembilan FC sekadar seri tanpa jaringan dengan Selangor FC 2 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. – MFL

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN