Biarpun jodohnya bersama Boca Juniors tidak bertahan lama, Daniele De Rossi mengakui bahawa semangat luar biasa penyokong di Argentina lebih dapat disaksikan berbanding peminat di saingan Serie A.
De Rossi menyertai kelab Superliga Argentina itu pada 26 Julai 2019 selepas meninggalkan AS Roma tetapi selepas enam bulan bersama, beliau membatalkan kontrak tersebut dan memilih untuk kembali ke Itali .
Keputusan itu juga turut disertakan dengan pengumuman persaraannya pada 7 Januari lalu. Alasan utama keputusan itu diambil adalah kerana De Rossi mahu berada di samping keluarganya. Beliau turut mengakui tiada mempunyai sebarang masalah dengan mana-mana individu di Boca Juniors.
Sepanjang tempoh bersama Boca Juniors, De Rossi melihat sesuatu yang lebih menarik daripada apa dinikmatinya ketika 18 tahun ‘menghambakan’ diri di AS Roma.
”Saya memerlukan keseluruhan kuarantin untuk menjelaskan emosi yang saya hadapi pada tempoh enam bulan tersebut [bersama Boca Juniors].”
”Ia merupakan satu tempat yang unik, sama seperti Itali – lebih daripada apa yang kita fikirkan, juga kerana separuh daripada mereka adalah berasal dari Itali. Mereka menghidupkan semangat untuk segalanya, dari makanan ke muzik, kepada semangat terhadap bola sepak,” ujar De Rossi menurut laporan Goal.
”Ia adalah satu kejohanan yang boleh menjadi teknikal dan taktikal untuk dibincangkan, tetapi dalam tempoh enam bulan ini, saya tidak pernah walau seorang pemain yang menyerah atau tidak memberikan [komitmen] 200 peratus.”
De Rossi yang kini berusia 36 tahun turut berkongsikan pengalaman hebatnya beraksi di hadapan penyokong setia Boca Juniors di La Bombonera.
”Ini bukan berkaitan untuk menjadi seorang yang ganas, di mana saya tidak menyukainya. Tetapi perkara yang paling indah adalah apa yang anda dapat saksikan di tempat duduk [penyokong].”
”Ia adalah kehangatan yang kita tidak memilikinya di Itali: ia adalah semangat yang murni dan tidak mementingkan diri sendiri.”
”La Bombonera adalah sesuatu tidak masuk akal dan merupakan stadium yang sensasi di dunia. Saya harap semua penyokong dapat melawatnya semasa perlawanan Boca. Saya merasa sangat istimewa berpeluang beraksi di sana, walaupun bukan dalam tempoh yang lama,” ujar Daniele De Rossi lagi.
Kredit foto: Marcelo Endelli/Getty Images