Manchester City Tak Akan Minta Kerajaan Bayar Gaji Staf Seperti Liverpool

Manchester City

Penyandang juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City telah mengeluarkan kenyataan bahawa kelab itu tidak akan meminta pekerjanya memohon skim pengekalan pekerjaan semasa krisis pandemik coronavirus (COVID-19) ini.

Beberapa kelab EPL termasuk pendahulu liga, Liverpool dan Tottenham Hotspur adalah di antara pasukan yang dikritik kerana ‘mengambil kesempatan’ ke atas skim yang memerlukan pihak kerajaan membayar 80 peratus daripada gaji pekerja mereka menggunakan dana yang telah dicarum oleh majikan mereka.

Manchester City yang dimiliki oleh jutawan, Sheikh Mansour iaitu pemilik Abu Dhabi United Group adalah pasukan EPL pertama yang memberi jaminan tersebut.

Semua pekerja mereka telah diberikan makluman menerusi e-mel yang menjelaskan bahawa gaji dan pekerjaan mereka di kelab itu telah dijamin selamat.

“Kami boleh mengesahkan perkara itu selepas keputusan dibuat oleh Pengerusi [Khaldoon Al Mubarak] serta lembaga pengarah pada minggu lepas. City tidak akan menggunakan Skim Pengekalan Pekerjaan Kerajaan United Kingdom,” kata jurucakap kelab itu.

“Kami bertekad untuk melindungi semua pekerja dan perniagaan kami. Dalam masa yang sama kami akan lakukan apa yang termampu untuk membantu komuniti setempat secara lebih meluas dalam tempoh yang amat mencabar untuk semua orang pada waktu ini.”

Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional (PFA) sebelum ini telah memberikan kenyataan bahawa mereka sendiri belum pasti dengan saranan supaya semua pemain bersetuju agar pemotongan 30 peratus dibuat daripada gaji mereka sepanjang liga sedang digantung.

Bekas kapten Liverpool, Jamie Carragher sebelum ini telah menempelak pihak pengurusan kelab tersebut sebagai ‘memalukan’ kerana mengumumkan mereka akan menggunakan skim pengekalan pekerjaan tersebut.

“Jurgen Klopp telah menunjukkan belas ehsannya kepada semua sejak awal permulaan pandemik ini lagi. Pemain senior juga telah bersetuju untuk semua pemain EPL membuat pemotongan gaji mereka.” kata Carragher dalam akaun Twitter.

“Sekarang ini semua rasa hormat dan kebaikan itu sudah hilang [dilupakan], malang sungguh @LFC.”

Tottenham, Bournemouth, Newcastle United dan Norwich City semuanya telah memberikan cuti kepada semua pekerja mereka pada waktu ini di mana wabak COVID-19 di UK ketika ini telah pun menyebabkan 4,934 kematian.

FIFA sebelum ini telah pun memaklumkan bahawa pihaknya bersedia untuk membantu semua pasukan dalam menyelesaikan isu pemotongan gaji pemain dengan memberikan garis panduan yang jelas bagi memastikan semua kelab mampu untuk mengekalkan keadaan kewangan mereka dalam keadaan baik sepanjang krisis ini.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Manchester City:

Leave a Reply