COVID-19: ‘Pakatan Manchester’ Menyumbang Kepada Bank Makanan Untuk Bantu Komuniti Setempat

Manchester United dan Manchester City mengikut jejak langkah beberapa kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) yang lain untuk membantu komuniti setempat yang terjejas berikutan penularan wabak coronavirus (COVID-19) dengan menyumbangkan £100,00 untuk membantu bank makanan (food banks)

Menyambut usaha baik yang telah dijalankan oleh penyokong kedua-dua pasukan, City dan United masing-masing akan menyumbang £50,000 kepada Trussel Trust, sebuah badan khidmat komuniti yang mempunyai 1,200 bank makanan.

“Kami berbesar hati dengan peranan yang dimainkan oleh penyokong setia kami dalam membantu bank makanan tempatan bagi membantu krisis wabak yang semakin serius ini,” ujar kedua-dua kelab dalam satu kenyataan bersama pada Sabtu.

“Ketika tempoh yang amat mencabar untuk komuniti di bandar ini, kami gembira dapat bersama-sama penyokong untuk membantu komuniti setempat yang memerlukan di ‘City United‘.

Sumbangan tersebut dapat membantu bank makanan yang telah kehilangan sumber mereka yang kebiasaannya diperolehi pada hari perlawanan. Semua liga bola sepak Inggeris yang pada awalnya digantung sehingga 3 April telah dilanjutkan sehingga penghujung bulan.

Aston Villa sebelum ini telah menyumbangkan 1,000 bungkusan makanan yang biasanya diberikan kepada staf sewaktu hari perlawanan kepada organisasi yang membantu golongan gelandangan.

Newcastle United juga telah menderma 1,200 pai dan daging beku kepada bank makanan pada minggu selepas perlawanan EPL ditangguhkan.

Brighton turut tidak ketinggalan untuk membantu penyokong yang terdiri daripada warga emas yang sedang ‘berkurung’ di rumah masing-masing.

“Mungkin usaha untuk membantu komuniti di kelab ini agak kecil, tetapi secara praktikalnya dapat membantu golongan yang memerlukan amat bermakna untuk kami dan mereka yang telah menyokong kelab ini buat sekian lama,” kata Pengerusi Eksekutif Brighton, Paul Barber.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai COVID-19:

Leave a Reply