Bek kanan Paris Saint-Germain (PSG), Dani Alves berpendapat ‘Neymar Roll’ ataupun bahan gurauan berupa meme aksi berguling yang sering dikaitkan dengan rakan sepasukan, Neymar sebagai bukan satu gurauan.
Beranggapan ianya bukan sesuatu yang melucukan, Alves tidak mahu rakan sepasukan di kelab dan juga di skuad kebangsaan untuk mempedulikan perkara tersebut.
Sepanjang kejohanan Piala Dunia yang lalu, aksi Neymar sering menjadi tumpuan peminat dan juga media.
Selain daripada gaya rambut warna keperangan yang dikaitkan dengan gambaran ‘mi segera’, reaksi Neymar setiap kali disentuh lawan untuk mendapat perhatian pengadil turut dijadikan bahan jenaka di seluruh dunia.
Pelbagai jenis meme diwujudkan berkisar akan Neymar dan menjadi viral di media sosial. Begitu juga rakaman video dari seluruh dunia yang cuba meniru aksi berguling bintang Brazil itu di atas padang.
Namun demikian Alves tidak menganggap perkara sedemikian wajar dijadikan bahan jenaka. Ketika bercakap kepada wartawan dalam satu majlis yang dianjurkan Neymar, Alves berkata:
“Tidak. Sama sekali saya tidak berpendapat ia adalah sejenis gurauan. Bila ia terjadi berulang kali, ia sudah tidak menjadi gurauan.”
“Sebaliknya ia seperti sesuatu yang cuba memberikan impak negatif kepada karier anda.”
“Tetapi sebagai manusia, kita harus bijak untuk tidak membiarkan perkara sebegini menjatuhkan kita.”
“Kami sebagai rakan sepasukan yang berada di sekeliling beliau memastikan ia tidak memberikan impak kepada Neymar.”
“Perkara terpenting ialah siapa diri anda. Bukan apa yang orang lain fikirkan tentang anda.”