FAM Sedia Kaji Kemasukan Pemain Naturalisasi Dalam Skuad Harimau Malaya

Cadangan untuk membenarkan pemain naturalisasi yang tidak mempunyai pertalian darah dengan Malaysia bagi mewakili skuad Harimau Malaya akan dikaji oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam masa yang terdekat.

Menurut presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, beliau mengakui cadangan tersebut merupakan alternatif terbaik untuk membantu memperbaiki kedudukan ranking FIFA pasukan kebangsaan seperti yang dilakukan oleh Filipina.

Bercakap kepada Berita Harian, Hamidin menegaskan banyak kerja yang perlu dilakukan bagi merealisasikan cadangan itu dan ia memerlukan penglibatan daripada pihak kerajaan.

“Perkara ini akan dibentangkan dalam jawatankuasa pasukan kebangsaan dan perlu diperhalusi kerana ia memerlukan komitmen kerajaan dan juga komitmen dengan negara lain. Sebagai contoh, pemain yang sesuai untuk dinaturalisasikan adalah pemain dari Brazil dan juga benua Afrika.

“Di sini, kita perlu berbincang dengan banyak pihak termasuklah kerajaan dan juga Liga Bolasepak Malaysia (MFL). Selepas lama berada dalam bola sepak, saya melihat ini adalah salah satu cara untuk melonjakkan kembali bola sepak negara seperti dilakukan Filipina.

“Ini adalah cetusan idea yang sememangnya saya impikan. Apapun, ia perlu dibahaskan dalam mesyuarat jawatankuasa dan sudah tentu perkara ini akan mengambil masa.

“Jika semuanya berjalan lancar, kita akan laksanakannya tetapi masih ada proses yang perlu difikirkan selepas ini,” katanya pada sidang media selepas Sesi Dialog Presiden FAM dan EXCO bersama penyokong bola sepak negara di ibu negara, hari ini.

Difahamkan pemain Pahang yang berasal dari Gambia, Mohamadou Sumareh disahkan menjadi rakyat Malaysia selepas memiliki passport dan kad pengenalan Malaysia. Walaubagaimanapun, status beliau dalam saingan Liga Malaysia musim ini masih kekal sebagai pemain import bukan pemain tempatan.

Sumareh ketika dihubungi oleh Vocket turut mengesahkan perkara berkenaan apabila berkata beliau bersedia pada bila-bila masa sahaja untuk membantu pasukan negara, sekiranya khidmat beliau diperlukan oleh Ketua Jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe.

Di dalam kes Sumareh, pemain sayap yang turut pernah beraksi bersama PDRM FA dan Perlis FA itu dianggap sebagai pemain naturalisasi.

Berkenaan dengan status pemain tersebut sebagai pemain import skuad kendalian Dollah Salleh, perkara tersebut dijangka kekal sehingga Liga Malaysia pada musim ini tamat.

Selain Sumareh, seorang lagi pemain import yang mempunyai pertalian darah dengan Malaysia tetapi dilahirkan di luar negara ialah Andrew Lee Tuck yang beraksi dengan pasukan Terengganu FC.

Antara pemain berdarah campuran yang sudah mewakili skuad kebangsaan setakat ini termasuklah Matthew Davies (Pahang), Natxo Insa (JDT), Brendan Gan (Perak) dan juga Khair Jones (Melaka United).

Peminat bola sepak tempatan juga masih menantikan penampilan pertama pemain pertahanan JDT dalam skuad kebangsaan iaitu Corbin Ong yang berdarah Malaysia dan Kanada.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN