Cristiano Ronaldo akhirnya membuka ‘buku akaun’ jaringan bersama Juventus apabila menjaringkan dua gol untuk membantu pasukannya menewaskan Sassuolo dalam perlawanan Serie A.
Bagaimanapun perlawanan tersebut turut dicemari dengan insiden meludah lawan oleh Douglas Costa, sebelum pemain tersebut dilayangkan kad merah kerana perbuatan tersebut.
Ronaldo yang merupakan penerima anugerah Ballon d’Or sebanyak lima kali menjaringkan gol pertama dengan cukup mudah apabila hanya perlu menolak masuk bola ke gawang kosong dari jarak dekat pada minit ke-50 perlawanan.
Bintang Portugal itu kemudiannya menambah satu lagi jaringan apabila menyempurnakan satu serangan balas pantas dengan bola leret ke penjuru gawang kanan, melepasi jangkauan penjaga gol, Andrea Consigli.
Ronaldo turut terlepas melengkapkan hatrik dalam perlawanan ini melalui dua peluang terbuka, sebelum Khouma Babacar menjaringkan gol sagu hati buat Sassuolo pada minit ke-90 melalui tandukan.
Costa pula terlibat dengan pertengkaran mulut dengan pemain tengah Sassuolo, Federico Di Francesco sepanjang perlawanan.
Pemain dari Brazil itu terlepas layangan kad kuning selepas rakaman menunjukkan Costa menyiku dan menanduk lawannya sebelum gol minit akhir Sassuolo.
Namun Costa akhirnya dilayangkan terus kad merah selepas satu lagi insiden memperlihatkan pemain itu bertindak meludah pemain yang sama.
Juventus kini berada dalam misi mengejar kejuaraan Serie A ke-8 berturut-turut, memiliki 12 mata setakat ini.
Jumlah tersebut memberi kelebihan tiga mata atas pesaing tedekat, Napoli.
Juventus dan Ronaldo akan berkunjung ke Sepanyol pada Rabu hadapan untuk perlawanan UEFA Champions League menentang Valencia.
Saksikan rakaman liputan perlawanan dan dua gol jaringan Cristiano Ronaldo melalui pautan di bawah: