‘Cleansheet’ Lagi, Aksi Kalamullah Al-Hafiz Raih Pujian Daripada P. Maniam

Kalamullah Al-Hafiz PJ City Legasi Lagenda cleensheet

Cleansheet kali ke-4 dalam enam perlawanan, persembahan penjaga gol PJ City FC, Kalamullah Al-Hafiz menghadirkan pujian daripada pengendali, P. Maniam.

Dua percubaan boleh gol oleh Terengganu FC berjaya dinafikan Kalamullah dengan cemerlang membolehkan PJ City mengikat tuan rumah dengan keputusan seri tanpa jaringan. Ini adalah perlawanan kedua berturut-turutnya merekodkan cleansheet.

Musim lalu, Kalamullah Al-Hafiz merupakan penjaga gol terbaik di Liga Super menurut statistik oleh OptaJ – menyaksikan beliau merekodkan 80 peratus aksi menyelamat, mengatasi beberapa penjaga gol ternama antaranya seperti Farizal Marlias.

Pengendali PJ City, P. Maniam tidak menyembunyikan penghargaannya buat penjaga gol berusia 25 tahun itu selepas berjaya membantu pasukan yang dibarisi pemain-pemain tempatan berada di kedudukan ke-4 Liga Super selepas enam perlawanan.

Ungkapnya, “Kita boleh nampak, Kalamullah bukan hanya satu perlawanan dia cleansheet. Tahun lepas pun dia berjaya meraih cleansheet, tahun ini pun sudah beberapa kali dia cleansheet. Dia seorang penjaga gol yang begitu bagus dan yakin.”

P. Maniam turut mengatakan Kalamullah telah meningkatkan permainannya. Jelasnya, “Sekarang kita boleh nampak dia sudah boleh [selesa] bermain bola di kaki. Ini yang menguatkan PJ City. Kami sangat menghargai prestasi Kalamullah pada hari ini.”

Walaupun kerap kali berjaya mempamerkan aksi cemerlang, namanya masih belum berjaya menembusi skuad kebangsaan dan adakah Tan Cheng Hoe memantaunya?

Sementara itu, dalam aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin itu, Terengganu gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri untuk memenangi perlawanan dan gagal meraih tiga mata dalam dua perlawanan beturut-turut.

Selepas dikejutkan Sabah FC sebelum liga berehat dua minggu, Terengganu sangat mahukan tiga mata bagi mengekori rapat pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Begitupun, mereka terpaksa turun tanpa penjaga gol utama, Rahadiazli Rahalim yang mengalami kecederaan ACL – pemain ketiga mereka yang akan disisih sepanjang musim ini. PJ City gagal memanfaatkan peluang untuk mengambil kesempatan atas masalah tersebut apabila mereka turut kehilangan khidmat penjaring gol, Darren Lok.

Menarik sekali percaturan P. Maniam apabila beliau meletakkan pemain serba boleh, Mahalli Jasuli sebagai penyerang utama untuk menggantikan Darren Lok. Seperti yang semua ketahui, Mahalli Jasuli pernah bermain di bek sayap dan pemain sayap.

Mungkin disebabkan itu, mereka kekurangan impak di jentera depan walaupun mereka menguasai bahagian tengah yang kemas dikemudi oleh kapten, K. Gurusamy.

Mujur buat The Phoenix apabila tuan rumah turut buntu meledak jaringan biarpun memilih untuk mempertaruhkan penjaring terbanyak mereka, Jordan Mintah walaupun dikhabarkan penyerang utama, David da Silva sudah pulih daripada kecederaan.

Ditambah dengan kecemerlangan Kalamullah menafikan dua rembatan deras boleh gol oleh Makan Konate, PJ City pastinya lega berjaya membawa pulang satu mata.

Adakah pemain kelahiran Kelantan ini akan terus menyerlah dan mengekalkan prestasi baiknya untuk membantu ‘skuad tempatan’ PJ City sepanjang musim ini?

KREDIT FEATURED IMAGE: LEGASI LAGENDA

Baca lagi artikel lain mengenai PJ City:

Gurusamy Percaya ‘Skuad Tempatan’ PJ City Sedia Beri Cabaran

Posisi Kritikal Tanpa Pemain Import, Siapa Bakal Isi Bek Tengah Di PJ City FC?

Akibat Diving Dramatik, Pemain PJ City Diheret Ke Jawatankuasa Tatatertib FAM

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN