Akibat Diving Dramatik, Pemain PJ City Diheret Ke Jawatankuasa Tatatertib FAM

Diving atau sengaja melakukan simulasi di bola sepak adalah dua perkara yang saling berkaian. Ia ibarat satu seni penipuan yang sukar dibendung atau dikesan sehingga mencemarkan sukan ini. Adakalanya hanya dengan sedikit kontak, pemain dengan mudah merebahkan badan kononnya dikasari.

Namun ada sesetengah simulasi itu dilakukan dengan jelas dan ketara, tanpa ada sebarang sentuhan sekalipun. Di dalam situasi simulasi yang ketara sebegini, kebiasaannya pengadil tidak akan memberi muka dan pantas melayangkan kad kuning.

PJ City vs Melaka United jadi tumpuan

Saingan Liga Malaysia turut tidak terkecuali. Terbaru insiden diving hangat diperkatakan membabitkan perlawanan Melaka yang turun berdepan dengan PJ City.

Selepas babak pertama yang berakhir tanpa jaringan, S Kumaahran meletakkan pasukkan Melaka di hadapan. Gol yang terhasil dari tandukan tersebut merupakan jaringan peribadi kedua beliau pada musim ini bersama pasukan baharunya itu.

Namun 15 minit kemudian, Darren Lok melakukan rembatan cantik menewaskan Khairul Fahmi Che Mat – untuk PJ City menyamakan kedudukan 1-1. Ianya berpunca daripada Khairul Fahmi sendiri yang melakukan sepakan gol lemah yang pantas dirampas lawan.

Minit ke-80 perlawanan menjadi kecoh selepaspengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada PJ City.

Penalti tersebut dibantah pemain-pemain Melaka United yang berpendapat pemain PJ City, Khairil Anuar ataupun Beto melakukan simulasi.

Beto turut kelihatan mengerang kesakitan menunjukkan reaksi bahawa kakinya telah dibentes.

Anehnya ulang tayang jelas menunjukkan ia satu simulasi. Pengadil Mohd Fairuzi Mat Desa kemudiannya turut mendapatkan pandangan daripada penjaga garisan.

Menurut pengulas perlawanan siaran langsung pertemuan kedua-dua pasukan, penjaga garisan turut berpendapat bahawa Beto berlakon. Namun Mohd Fairuzi turut mengekalkan keputusan memberikan sepakan penalti.

Perlawanan mengambil masa lebih 5 minit untuk sepakan penalti diambil selepas pengadil mendapat bantahan daripada kem Melaka United. Darren Lok tiada masalah untuk menyempurnakan penalti itu pada minit ke-85.

Enggan berputus asa, Melaka tetap meneruskan perlawanan dan akhirnya berjaya membawa pulang 1 mata dengan gol pada masa tambahan melalui pemain gantian Farish Shah selepas keadaan huru hara di hadapan gol.

Tindakan FAM

Apa yang berlaku dalam perlawanan tersebut pantas mendapat tindak balas dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Pengadil, Mohd Fairuzi Mat Desa telah didapati membuat kesilapan apabila gagal mengesan tindakan pemain PJ City FC, Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri melakukan simulasi atau diving dalam kotak penalti Melaka United FC dan tetap dengan keputusannya untuk memberikan sepakan penalti kepada pasukan PJ City FC.

Mohd Fairuzi telah dikenakan tindakan penggantungan daripada sebarang tugasan perlawanan selama dua minggu secara serta-merta dan akan dirujuk kepada Pengurus Pembangunan Pengadil dan Pengadil Profesional FAM, Nagor Amir Noor Mohamed untuk mengikuti program penambahbaikan prestasi sebelum kembali bertugas bermula dari liga divisyen bawah dan hanya akan dilantik semula sebagai pengadil perlawanan Liga Super selepas prestasinya dinilai berada pada tahap yang memuaskan.

Pemain PJ City FC, Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri akan dirujuk kesnya ke Jawatankuasa Tatatertib FAM berdasarkan bukti rakaman video ekoran tindakannya yang sengaja melakukan simulasi atau diving dalam kotak penalti Melaka United FC bagi mendapatkan sepakan penalti.

Pemain Melaka United FC, Alex dos Santos Goncalves akan dirujuk kesnya ke Jawatankuasa Tatatertib FAM berdasarkan bukti rakaman video ekoran tindakannya yang sengaja membaling bola ke arah pengadil, Mohd Fairuzi Mat Desa selepas meraikan gol kedua Melaka United FC pada penghujung perlawanan.

Rumusan

Ini bukan kes pertama melibatkan kegagalan pengadilan di Liga Malaysia pada musim ini.

Sebelum ini Pengadil, Mohd Amirul Aizat Mohd Lodin telah didapati berada di kedudukan yang salah di dalam kotak penalti sehingga menyebabkan beliau ditolak oleh penyerang Kelantan FC, Jack Hindle.

Melalui siaran media yang sama, pengadil berkenaan akan dirujuk kepada Pengurus Pembangunan Pengadil dan Pengadil Profesional FAM.

Pemain Kelantan FC, Jack Hindle pula akan dirujuk kesnya ke Jawatankuasa Tatatertib FAM berdasarkan bukti rakaman video ekoran tindakannya menolak pengadil secara agresif.

 

Baca lagi artikel lain mengenai Liga Malaysia 2021:

Penyokong Perak Mengamuk, Tuduh ADUN Bota Salah Guna Kedudukan Beri Diskaun Jersi Kepada Pengundi

TERKINI: Chong Yee Fatt Ganti Mehmed Durakovic Sebagai Jurulatih Perak

Kejanggalan Situasi Khabar Mehmed Durakovic Tinggalkan Perak

 

 

Leave a Reply