Sekiranya kita membicarakan tentang tonggak utama Jerman dan Real Madrid, Toni Kroos, bukan sahaja kehebatannya ketika mengemudi jentera tengah yang akan menjadi perhatian seluruh peminat bola sepak dunia.
Selain itu terdapat perkara yang boleh dikatakan amat unik buat Kroos. Perkara yang dimaksudkan ialah kesetiaannya dalam menggunakan kasut bola keluaran adidas model Adipure 11pro.
Meskipun beliau mendapat tajaan daripada jenama terkenal dari Jerman itu dan pastinya layak untuk memakai kasut berbeza setiap kali model baharu dikeluarkan, Kroos jelas amat setia dengan ‘senjata’ yang mula dipakai untuk perlawanan rasmi sejak tahun 2013.
Selepas daripada itu, Adipure 11pro nyata sudah cukup selesa dan sinonim buatnya di mana pelbagai kejuaraan telah diraih oleh Kroos sepanjang menggunakan kasut dengan adunan warna putih, hitam dan ‘sky blue’ tersebut.
Walaupun ada ketika, kita dapat melihat beberapa gambar tular yang menyaksikan beliau menggunakan adidas Copa 19 dalam sesi latihan tetapi pada hari perlawanan, semestinya adipure 11pro tetap menjadi pilihannya.
Menurut sumber Footy Headlines yang memetik kata-katanya dalam filem berkisarkan tentang dirinya dan juga laporan Marca, Kroos sendiri mengakui bahawa beliau hanya boleh turun ke padang hanya dengan menggunakan kasut bola berwarna putih.
”Kasut bola adalah perkara paling penting buat saya apabila saya mahu turun ke padang. Saya perlu bermain dengan kasut bola berwarna putih, itu merupakan serba sedikit tentang diri saya.”
Anyone interested in my matchworn @championsleague final boots and a prepared jersey from last saturday?https://t.co/LGrHYp3vE7 pic.twitter.com/xuim3E43VL
— Toni Kroos (@ToniKroos) May 30, 2018
”Saya tahu ramai orang mengatakan saya gila tetapi bagi saya, ia penting buat saya untuk memandang ke bawah dan melihat kasut berwarna putih.”
”Saya tidak tahu sekiranya saya mempunyai masalah psikologi, tetapi saya perlu untuk memakai kasut bola berwarna putih. Jika tidak memakainya, saya berasa tidak selesa.”
”Walaupun ada sedikit kekotoran pada kasut itu, ia akan mengganggu saya. Jadi, sebab itulah saya akan membersihkan sendiri dan menjaga kasut bola milik saya.”
Pengakuan Kroos berkenaan kebersihan kasut itu turut disahkan sendiri oleh rakan sepasukannya di Real Madrid iaitu Gareth Bale.
”Dia sentiasa mempunyai dua atau tiga pasang kasut berwarna putih dan kami merasakan dia tidak mempercayai kitman kami untuk membersihkan kasutnya.”
”Jadi, dia akan sentiasa membersihkan kasutnya sendiri bagi memastikan kasut-kasut tersebut kelihatan bersih dan sempurna.”
Begitulah betapa uniknya kisah ‘cinta mati’ antara Toni Kroos dan model kasut bola kesayangannya sejak dari tahun 2013 itu.
Pasti juga ada kisah di sebaliknya yang kita tidak ketahui sehingga membuatkan Kroos begitu ‘obses’ dengan kasut bola tersebut.
Lebih manis untuk diperkatakan, jaringan sulung Real Madrid sebaik sahaja kembali daripada wabak yang melanda turut dihasilkan oleh pemain berusia 30 tahun itu dengan menggunakan Adipure 11pro pada aksi bertemu Eibar tempoh hari.