CIMB Liga Super 2020: Felda United Gah Tundukkan Melaka Di Jengka

Kelebihan beraksi di halaman sendiri dimanfaatkan sepenuhnya oleh Felda United selepas berjaya menundukkan pasukan pilihan, Melaka United dengan keputusan 3-2 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka dalam Aksi CIMB Liga Super pada Rabu.

Kemenangan pertama skuad The Fighters dalam saingan liga musim ini hadir menerusi dua gol dari pemain import Argentina, Nicolas Velez dan satu menerusi Khairul Amri Mohamad Kamal. Melaka United pula mendapat gol hasil jaringan Romel Morales dan Uche Agba.

Ketua Jurulatih Felda United, Nidzam Jamil hanya membuat dua pertukaran berbanding skuad yang dibawa ke Kota Kinabalu tempoh hari dengan memasukkan Azmizi Azmi dan Muhammad Fadhil Idris menggantikan pemain import, Frederic Bulot yang cedera serta merehatkan Ezanie Mat Salleh.

Sementara Melaka pula turun tanpa pemain pertahanan import, Jang Suk Won dan digantikan dengan Annas Rahmat. Khairul Anuar Shahrudin, Saiful Rizuan Selamat dan Deevan Raj juga digantikan dengan Ahmad Syamim Yahya, Curran Ferns dan Khair Jones.

Seawal minit ketujuh, Felda United sudah menunjukkan taringnya apabila Nicolaz Velez membuka akaun jaringannya musim ini apabila menyudahkan hantaran dari sepakan percuma kapten pasukan, Jasazrin Jamaluddin dengan rembatan voli kencang menewaskan penjaga gol Melaka, Khairul Fahmi Che Mat.

Tiga minit selepas itu, Melaka mendapat peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan, namun hantaran lintang rendah kepada Ramel Morales yang sudah menuggu di depan gol hanya tepat ke arah penjaga gol tuan rumah, Muhaimin Mohamad.

Felda United tidak menunggu lama untuk menggandakan pendahuluan mereka apabila penyerang import dari Singapura, Khairul Amri Mohamad Kamal menjaringkan gol keduanya musim ini pada minit ke-15.

Bermula dari larian Ryutaro Megumi dari sebelah kanan yang membuat hantaran lintang ke hadapan gol, pemain pertahanan cuba untuk mengeluarkan bola, namun Khairul Amri yang bersedia di luar kotak penalti membuat rembatan padu dan terbias pada pemain pertahanan Melaka sebelum bola menerjah ke dalam gawang.

Lima minit sebelum tamat separuh masa pertama, barulah Melaka dilihat lebih banyak mendominasi permainan dengan mengasai bola dan mengatur serangan. Namun pemain Felda United begitu berdisiplin mengekang setiap gerakan ke arah gol mereka dengan Megumi dan Velez di bahagian sayap turut kerap turun ke bahagian bawah untuk membantu barisan pertahanan.

Ketiadaan Saiful Ridzuwan yang cemerlang mengemudi bahagian tengah ketika mereka menewaskan PDRM pada hujung minggu lepas dilihat memberi kesan besar kepada permainan skuad Sang Kancil.

Melihat kepincangan itu, pengendali Melaka, Zainal Abidin Hassan membawa masuk Saiful Ridzuwan pada separuh masa kedua menggantikan Curran Ferns.

Nicolas Velez sekali lagi menjadi duri dalam daging buat pasukan pelawat dengan meledak gol ketiga pasukannya. Khairul Amri memanfaatkan keadaan kelam kabut di dalam kotak penalti dengan melintangkan bola dari sebelah kiri kepada Velez.

Ketinggalan tiga gol, Melaka tidak berputus asa untuk menghasilkan sesuatu dalam perlawanan ini dengan membuat beberapa pertukaran termasuk mengeluarkan bekas pemain Felda United, Syamim Yahya dan membawa masuk Ferris Denial Mat Nasir.

Melaka akhirnya berjaya mendapatkan gol pertamanya ketika perlawanan berbaki 10 minit apabila Romel Morales menyudahkan hantaran pendek Uche Agba hasil dari gerakan cantik pasukannya.

Nidzam Jamil pantas bertindak dengan memasukkan pemain pertahanan importnya, Nicola Raspopovic untuk memastikan kelebihan dua gol yang dimiliki dapat dipertahankan. Namun Melaka terus bernafsu melancarkan serangan demi serangan ke kubu Felda United.

Usaha tersebut berhasil apabila Uche Agba berjaya menjaringkan gol kedua pasukannya pada minit ke-88 dengan menyudahkan hantaran lintang Morales dari sebelah kanan menerusi tandukan kencang yang gagal ditepis keluar oleh Muhaimin Mohamad.

Tambahan masa empat minit gagal dimanfaatkan oleh Melaka dan Felda United akhirnya berjaya mendapatkan tiga mata penting dalam perlawanan yang sungguh mendebarkan.

Sementara itu, Melaka United akhirnya terjaga daripada ‘mimpi indah’ dan mendapat kekalahan pertama musim ini.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN