CIMB Liga Super 2020: Terengganu FC Bangkit Ikat Selangor

Terengganu FC Selangor Liga Super 2020

Beraksi 10 pemain dalam 10 minit terakhir tidak mematikan semangat Terengganu FC apabila akhirnya berjaya mengikat Selangor 3-3 dalam aksi minggu ketiga CIMB Liga Super 2020 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, sebentar tadi.

Terengganu dipaksa bangkit tiga kali untuk akhirnya meraih satu mata dan menafikan tiga mata buat Gergasi Merah pada penghujung perlawanan hasil jaringan Lee Tuck.

Perlawanan yang agak seimbang ditampilkan di awal babak pertama namun, tuan rumah mempamerkan sentuhan-sentuhan yang lebih baik dengan hantaran kemas di semua zon berbanding Selangor yang kurang kemas di kawasan final third.

Selangor hanya hadir dengan percubaan ke gawang Terengganu selepas 15 minit perlawanan berlangsung dengan Ilham Amirullah yang menggantikan Rahadi Azli dalam kesebelasan utama menangkap kemas tandukan Safuwan Baharudin.

Dominique da Sylva yang meledak empat gol pada Sabtu lalu, dilihat beberapa kali berpeluang meledak jaringan pertama pada malam ini, namun tiga percubaannya dalam 30 minit babak pertama gagal menghasilkan gol buat Sang Penyu.

Paling hampir adalah pada minit ke-9 apabila rembatannya di depan gawang selepas melepasi kawalan Rodney Calvin telah diselamatkan Khairulazhan Khalid.

Walaupun pelawat hanya beberapa kali hadir ke kawasan gol Terengganu, tetapi akhirnya, penyerang berbahaya Selangor, Ifedayo Olusegun berhasil meledak jaringan pertama perlawanan dan pendahuluan buat Gergasi Merah pada minit ke-39.

Ia berpunca daripada sepakan penjuru yang diambil oleh Sandro da Silva yang ditanduk oleh Safuwan Baharudin kepada Ifedayo Olusegun yang juga membuat tandukan menewaskan Ilham Amirullah yang hanya mampu tergamam.

Begitupun, percaturan Nafuzi Zain memasukkan pemain sayap, Rahmat Makasuf menggantikan Faiz Nasir pada minit ke-37 membuahkan hasil apabila pemain tersebut hanya memerlukan enam minit untuk menyamakan semula kedudukan.

Hasil hantaran Faris Ramli yang menerima hantaran lintang rendah Lee Tuck ke dalam kawasan gol berjaya menemui pemain berusia 23 tahun itu yang membuat larian deras seterusnya melepaskan rembatan rendah mengegar jaring gol lawan.

Selangor kembali di depan selepas Khyril Muhymeen yang menerima lorongan rendah Syazwan Zainon di sisi kiri telah membuat kuisan mudah di depan gawang dan berjaya menewaskan Ilham Amirullah untuk kali kedua pada minit ke-54.

Begitupun, tujuh minit kemudian, Khyril Muhymeen terpaksa dikeluarkan oleh B. Satiananthan akibat kecederaan dan digantikan oleh peledak berbisa, Rufino Segovia.

10 minit kemudian, maestro tuan rumah, Sanjar Shaakhmedov berjaya memadamkan kelebihan Selangor selepas menerima hantaran Dominique da Sylva seterusnya melepaskan rembatan deras, saat dihimpit Taylor Regan dan K. Prabakaran.

Sekali lagi pertahanan Terengganu dilihat longgar apabila sepakan penjuru yang diperolehi pelawat dimanfaatkan untuk gol ketiga, hasil sentuhan Brendan Gan, selepas Ilham Amirullah gagal menangkap kemas tandukkan Ifedayo Olusegun – gol keduanya musim ini selepas jaringan pertama dalam minggu pertama.

Pemain yang tampil untuk kesebelasan utama pertamanya, Azalinullah Alias telah diarah keluar padang dengan perlawanan berbaki 10 minit, selepas menerima kad kuning kedua dan kad merah apabila membuat kekasaran terhadap Rufino Segovia.

Beraksi kekurangan seorang pemain dilihat semakin menyukarkan tugas Sang Penyu untuk mengejar Gergasi Merah yang sedang selesa menguasai perlawanan.

Namun, hasil kesilapan Halim Saari membuat kekasaran di dalam kotak penalti telah menghadiahkan Terengganu sepakan penalti di penghujung perlawanan dan telah dimanfaatkan sepenuhnya oleh Lee Tuck untuk jaringan penyamaan.

KREDIT FEATURED IMAGE: MFL

Leave a Reply