Bekas pemain Kelantan dan juga Penang, Christian Rontini mengatakan yang kancah bola sepak di Malaysia dan juga Indonesia nyata berbeza dari segi tahap kompetitifnya.
Hal ini kerana, beliau berasakan yang saingan Liga Super tidaklah begitu sengit dan jurang antara pasukan-pasukan bertanding amat besar.
Tidak seperti di Indonesia, Rontini mengatakan yang peluang untuk kesemua pasukan memenangi Liga 1 lebih setara.
Menurut laman Sepakbola Indonesian Fansbook, Rontini mengatakan yang pasukan-pasukan di Liga 1 lebih tersusun dari segi organisasinya berbanding kelab-kelab di Liga Super.
“Pada dasarnya, tahap pasukan-pasukan itu sudah berbeza kerana di Indonesia pasukan-pasukannya lebih tersusun.
“Di Malaysia, saya lihat jurang yang lebih besar antara 10 pasukan terbawah dengan lima yang teratas. Tetapi di Indonesia, semua pasukan berada pada tahap yang sama,” kata Rontini.
Oleh kerana tahap kelab-kelab Indonesia yang dilihat setara, Rontini berasakan yang semua pasukan ada hak untuk menang liga dan ini menjadikan saingan domestik Indonesia lebih menarik dan mendebarkan.
“Ini lebih mendebarkan kerana semua pasukan mempunyai untuk menjuarai liga. Inilah kenapa Liga Indonesia lebih menarik,” ulas Rontini lagi.
Rontini kini beraksi bersama-sama Persita Tangerang yang pada musim lalu menamatkan saingan ditangga ke-9 dengan mengutip 47 mata.
Mereka kini menduduki tangga kelima liga selepas tiga perlawanan dan akan bertemu Persija Jakarta selepas ini yang berada satu anak tangga dibelakang mereka.