Chelsea memulakan kempen jelajah pra-musim mereka di Amerika Syarikat (AS) dibawah kendalian Mauricio Pochettino dengan penuh bergaya apabila unggul membelasah Wrexham dengan jaringan 5-0.
Perlawanan ini sememangnya dinantikan oleh peminat-peminat The Blues bagi menyaksikan bayangan awal bagaimana corak permainan yang bakal diterapkan di bawah kendalian pengurus baharu mereka.
Pochettino berjaya melepasi ujian sulung beliau apabila corak permainan yang ditunjukkan oleh pasukan kendaliannya yang rata-ratanya dibarisi oleh pemain-pemain muda dalam perlawanan ini dilihat sedikit sebanyak memberi gambaran bagaimana falsafah yang mahu dilaksanakannya ketika Chelsea berada dalam fasa serangan.
Analisis kami kali ini akan menggariskan beberapa kunci taktikal yang dipamerkan Chelsea dalam perlawanan pra-musim menentang Wrexham ini.
Kembali kepada sistem bek berempat
Untuk tempoh beberapa musim kebelakangan ini, Chelsea begitu sinonim dengan pendekatan sistem bek bertiga, terutamanya ketika era Antonio Conte dan Thomas Tuchel.
Sistem bek bertiga ini menawarkan aspek bertahan yang kukuh serta keberkesanan serangan balas pantas yang telah membawa Chelsea memenangi pelbagai kejuaraan domestik serta mahkota Eropah.
Namun setelah pemecatan Tuchel, Chelsea dilihat tidak lagi memiliki identiti terutamanya dalam aspek struktur pasukan. Pengganti Tuchel iaitu Graham Potter melakukan penggiliran formasi yang kerap, dan ianya diteruskan oleh Frank Lampard yang menjadi pengendali sementara bagi mengharungi saki baki perlawanan domestik dan Eropah pada musim lalu.
Kehadiran Pochettino dilihat mampu menyelesaikan isu ini, apabila beliau kini sedang giat mempersiapkan Chelsea untuk menggunakan sistem 4-2-3-1 sebagai struktur utama.
Dominasi permainan menerusi ciptaan superiority
Kehadiran pengendali daripada Argentina ini juga dilihat bakal membawa evolusi kepada pendekatan serangan Chelsea, iaitu daripada pendekatan berasaskan gerakan serangan balas kepada gerakan serangan yang tersusun menerusi konsep ‘positional play’.
Konsep serangan ‘positional play’ ini akan memastikan kecenderungan Chelsea untuk membina gerakan serangan mereka dengan tersusun setiap kali memperoleh penguasaan bola.
Struktur 4-2-3-1 ini akan turut membantu Chelsea bagi mencipta situasi ‘superiority’ serta memastikan kelancaran gerakan serangan mereka daripada kawasan pertahanan, sehingga ke kawasan serangan.
Menerusi gambar di atas, Chelsea menyusun serangan mereka berasaskan struktur 4-2-3-1, dimana kedudukan dua pemain ‘double pivot’ serta bek sisi pasukan mereka bermula di kawasan yang rendah.
Situasi ini bukan sahaja mampu mencipta situasi ‘superiority’ dari segi bilangan pemain ketika fasa awal serangan, malah ianya juga dilihat berupaya ‘memancing’ pemain-pemain lawan untuk meninggikan garis pertahanan mereka, sekali gus mengasingkan pemain pertahanan lawan bersama pemain serangan Chelsea.
Kelahiran semula peranan pemain nombor 10 di Stamford Bridge
Mauricio Pochettino merupakan salah satu jurulatih yang gemar menggunakan pemain nombor 10 dalam pasukan kendaliannya.
Ketika era kegemilangannya Tottenham Hotspur, Pochettino berjaya membentuk Dele Alli sebagai pemain nombor 10 berkualiti sekali gus mencipta kombinasi serta keserasian bersama penyerang pasukannya iaitu Harry Kane.
Dalam perlawanan menentang Wrexham ini, Pochettino dilihat menyuntik aura serangan pasukannya dengan peranan pemain nombor 10 yang kali terakhir dipersembah kepada peminat Chelsea menerusi Juan Mata.
Meskipun Pochettino melakukan sedikit perubahan struktur daripada 4-2-3-1 kepada 3-4-2-1 di penghujung separuh masa kedua, ianya tidak mengubah pendekatan serangan pasukannya dengan menggunakan pemain ‘nombor 10’ yang mencipta persefahaman yang baik bersama penyerang pasukan.
Menerusi gambar di atas, penjaga gol Chelsea melakukan hantaran jauh bagi melepasi tekanan pemain lawan dengan pantas.
Hantaran jauh ini berjaya menemui penyerang Chelsea, Christopher Nkunku yang melakukan kombinasi permainan bersama Cesare Casadei yang beroperasi sebagai pemain nombor 10 pasukan.
Casadei yang bijak mengeksploitasi poket ruang memastikan dirinya memperoleh ruang serta waktu yang mencukupi bagi melakukan hantaran penembusan berkualiti kepada penyerang pasukannya.
Ia sekali gus membantu Nkunku untuk membuka akaun jaringannya bersama Chelsea.
Kelancaran dan pertukaran posisi yang aktif
Kombinasi di antara pemain yang berperanan sebagai nombor 9 dan nombor 10 pasukan Chelsea dilihat bakal diberikan suntikan variasi menerusi pertukaran posisi yang aktif sesama mereka.
Merujuk kepada gambar di atas, Chelsea sekali lagi menggunakan pendekatan serangan yang tersusun daripada penjaga gol berasaskan struktur 4-2-3-1.
Penyerang Chelsea, Nicolas Jackson turun ke bawah bagi menggunakan ruang yang pada kebiasaannya diisi oleh pemain nombor 10 bagi membantu pasukannya dalam aspek ansur maju pergerakan bola.
Posisi nombor 9 kini digalas oleh Carney Chukwuemeka yang sebelum ini memainkan peranan sebagai pemain nombor 10.
Situasi ini membolehkan Chelsea untuk menggerakkan bola ke zon serangan dengan lebih kemas dan tersusun.
Aura kreatif yang dibawa oleh pemain nombor 10 ini akan membawa nilai tambah buat Chelsea, dimana kemampuan mengenalpasti sebarang bukaan ruang serta kombinasi permainan berkualiti akan membantu Chelsea untuk memecahkan blok pertahanan lawan dengan berkesan.
Dimana situasi taktikal yang diterangkan di atas berjaya membawa kepada jaringan kedua Chelsea dalam perlawanan ini.
Sudah timbul keterujaan
Meskipun masih terlalu awal untuk menghamburkan kata-kata pujian kepada Pochettino, namun perasaan teruja sudah pasti tidak dapat dipadam oleh para peminat Chelsea berikutan gaya permainan segar yang telah dipamerkan dalam perlawanan pra-musim pertama ini.
Sekiranya kekal konsisten, tidak mustahil Chelsea berupaya untuk menebus kekecewaan serta mimpi ngeri yang melanda mereka pada musim lalu.
Kecenderungan Pochettino untuk memberikan peluang kepada pemain-pemain muda serta graduan akademi juga menambah keterujaan ini bagi membantu Chelsea dalam aspek succession planning demi kesinambungan legasi kelab.