Jagoan futsal Asia, Chonburi Bluewave FC dari Thailand dan kelab Divisyen Satu F-League Jepun, Athletic Fuchu Tachikawa antara yang akan mengambil bahagian di Sultan Ahmad Shah International Futsal Cup 2020 yang akan berlangsung pada 22 dan 23 Februari 2020, di Stadium Tertutup Sukpa, Kuantan.
Selain tuan rumah Pahang Rangers yang diperkuatkan lapan pemain kebangsaan, kejohanan itu juga menampilkan sebuah lagi pasukan dari Jepun, FC Nakai.
“Kita sedang mempersiapkan pasukan untuk menghadapi musim baru MPFL dan gembira dapat menguji pasukan dengan berdepan kelab-kelab hebat Asia. Chonburi diketahui antara pasukan yang cukup kuat di peringkat Asia dan mereka bukan sahaja dominan di Liga Thai dan juga juara Kejuaraan Futsal Kelab AFF 2019, tetapi pernah beberapa kali memenangi Kejuaraan AFC.”
“Athletic Fuchu pula salah satu pencabar terkuat Liga Futsal Jepun dan mempunyai pemain kebangsaan Jepun manakala Nakai pula walaupun bukan pasukan liga, tetapi dibarisi beberapa pemain berpengalaman dan bekas pemain professional di F-League.”
“Jadi selain bertindak sebagai aksi pra-musim kepada kita, peminat-peminat futsal tempatan berpeluang menyaksikan aksi futsal bertaraf antarabangsa selain dapat melihat sendiri kelibat pemain-pemain terkemuka Asia beraksi di depan mata,” kata Setiausaha Agung Pahang Rangers Ahmad Ainuddin.
Antara pemain yang dijangka menjadi tumpuan peminat futsal adalah Natawut Madyalan, Suphawut Thuenklang, Ronnachai Jungwongsuk dan Muhamad Osamanmusa (Chonburi Bluewave); Tomoaki Watanabe, Atsuya Eumura dan Shunta Uchida (Athletic Fuchu) selain bekas pemain Jepun Kensuke Nakai yang juga pengasas pasukan itu.
Di kem Pahang Rangers pula, penyokong pasukan ‘Tok Gajah’ bukan sahaja berpeluang menyaksikan Khairul Effendy Bahrin dan rakan-rakan kembali ke dalam aksi selepas hampir lima bulan, tetapi turut dapat menyaksikan kelibat dua tonggak Harimau Malaya iaitu Ridzwan Bakri dan Awalluddin Mat Nawi menyarung jersi Pahang Rangers buat pertama kali. Selain itu, penyokong juga dijangka dapat menyaksikan kelibat pemain import baru, Fineo De Araujo.
Mengikut jadual, Pahang Rangers akan menentang Athletic Fuchu pada aksi separuh akhir pertama pada Sabtu (4 petang) disusuli perlawanan antara FC Nakai dan Chonburi Bluewave. Dua pasukan yang tewas akan berentap dalam perlawanan penentuan tempat ketiga manakala dua pasukan yang menang pula akan bermain dalam perlawanan akhir, yang dijadualkan pada Ahad.
Tiket dijual pada harga RM10 untuk satu ‘matchday’ membabitkan dua perlawanan. Jumpa di Kuantan!
Kredit foto: Pahang Rangers FC