Piala FA 2020: Pusingan Pertama Gamit Kehadiran Pemain Berpengalaman

Pemain berpengalaman

Pentas Pusingan Pertama Piala FA 2020 yang bakal berlangsung pada Sabtu dan Ahad ini dijangka menarik berikutan penampilan ramai pemain berpengalaman yang pernah menggegar kancah liga utama negara, beberapa musim lalu.

Walaupun semua pasukan ini terdiri dalam kalangan kelab amatur Liga M3 dan Liga M4, itu tidak menghalang mereka berjaya memikat nama-nama besar yang bakal turun memperagakan aksi bersama pasukan masing-masing antaranya Faiz Subri (NLFC-MAHSA), Abdul Manaf Mamat (Harini KS FC), Nasriq Baharom, Adib Aizuddin Ab Latif (Imigresen FC), Hafiz Kamal (KL Rovers), Fauzan Dzulkifli (Sarawak) dan Hasbullah Awang (KT Rovers).

Pertembungan yang dijangka paling menarik untuk disaksikan adalah membabitkan Harini KS FC dan NLFC-MAHSA pada Sabtu di Stadium UPM, Serdang selain KL Rovers bakal melayani kunjungan Southern FC yang berjaya mengejutkan Manjung City FC di pusingan kelayakan.

Bekas pemain Kuala Lumpur dan Pahang, Azidan Sarudin yang kini merupakan tunjang utama pasukan Harini KS FC mengakui dia dan rakan sepasukan mengambil serius perjuangan mereka di Piala FA dan cuba mara sejauh mungkin untuk membuktikan kehadiran mereka bukan sekadar pelengkap jadual.

Justeru, sasaran pertama Azidan ialah untuk layak ke pusingan kedua Piala FA namun dia dan rakan sepasukan sama sekali tidak mengambil mudah cabaran yang akan ditampilkan kelab berpengkalan dari Perlis, NLFC-MAHSA.

“Sudah tentu kami hendak menguji kekuatan kami dengan pasukan-pasukan dari CIMB Liga Super serta Liga Premier jika ada rezeki ke pusingan seterusnya serta menunjukkan kemampuan kami iaitu sebahagian besar pemain berpengalaman masih boleh beraksi dengan baik.

“Ini adalah platform terbaik buat Harini KS meraih perhatian peminat dan saya harap kami mampu atasi NLFC-MAHSA namun kami masih hormati kemampuan lawan yang turut terdiri daripada pemain berkualiti seperti Faiz Subri.

“Saya jangkakan pertembungan yang cukup sengit akan berlaku di antara kedua-dua pasukan, jadi harap tuah bakal menyebelahi Harini bagi menempah tempat ke pusingan seterusnya, “ katanya.

Hafiz Kamal kini merupakan ketua pasukan buat KL Rovers

Ini bakal menjadi aksi kedua berturut-turut buat Harini KS FC dengan wakil dari Perlis selepas menundukkan Kuala Perlis FC, 5-2 pada pusingan kelayakan di Stadium Utama Kompleks Sukan, Kuala Selangor, 16 Februari lalu.

Selain Harini KS FC, KL Rovers juga menarik perhatian ramai peminat kerana berjaya menarik dua pemain import yang mempunyai nama besar iaitu bekas pemain Pulau Pinang, Sergio Aguero, Davy Angan (Melaka) selain turut diperkuatkan pemain lain seperti Ahmad Asyraaf Omar (PKNP FC) dan Zaiful Abdul Hakim (Kuala Lumpur).

Sarawak yang turut membariskan dua bekas pemain UiTM FC, Nursalam Zainal Abidin dan Nur Areff Kamaruddin bakal melayani kunjungan pasukan Liga M4 yang bermain di Terengganu Amateur League (TAL), Real Chukai FC pada Ahad ini di Stadium Negeri, Kuching.

Tidak ketinggalan juara Play Off ke Liga M3, KSR SAINS yang akan berdepan Nossa Bukit Jelutong FC akan diperkuatkan bekas-bekas pemain berpengalaman dari Negeri Sembilan seperti Yosri Derma Raju, K. Ravindran, Tengku Qayyum Ubaidillah dan Firdaus Azizul selain tidak ketinggalan bekas pemain Pulau Pinang, A. Segar.

Bekas penjaga gol Kuala Lumpur, Kamarul Effandi Abdul Rahim dan bekas pemain Pulau Pinang, Redzuan Suhaidi akan membantu cabaran Langkawi City FC apabila bertemu Gamestop FC di Stadium Lada, Langkawi.

Pasukan yang semakin menarik perhatian dari Pantai Timur bagi saingan Liga M3 tidak lama lagi, KT Rovers juga tidak calang-calang hebatnya kerana selain Hasbullah Awang, pasukan ini mempunyai bekas pemain Terengganu seperti Nor Fazly Alias, Hassan Basri Ahmad Ridzuan dan bekas tonggak Bawah 19 tahun negara, Zarulizwan Mazlan.

KT Rovers berentap dengan satu lagi pendatang baharu Liga M3, Thai Selangor FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada Sabtu.

Aksi-aksi lain yang melengkapkan saingan pusingan pertama Piala FA ialah Protap FC lwn Nor Farhan FC, SSFC lwn Kickers FC, Armed Forces FC vs SA United FC, Staroba FC lwn Imigresen FC, Markless ST lwn Melaka United FC dan Tun Razak City FC lwn Kuatagh FC.

Kredit foto: Malaysian Football League (MFL)

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN