Masa kini, Chinese Super League (CSL) sering menjadi tumpuan dunia terutamanya ketika jendela perpindahan melibatkan para pemain ternama.
Hal ini kerana, jumlah perpindahan yang kadang kala tidak masuk akal serta penghijrahan pemain-pemain hebat menjadikan liga ini semakin mendapat perhatian seluruh dunia.
Kerancakan pasukan-pasukan CSL membeli pemain terbaik dunia membuatkan ramai pembaca Semuanya BOLA bertanya kepada kami, macam mana CSL ini dilangsungkan?
Kami jawab pertanyaan anda dalam artikel ini.
Bangun selepas jatuh
CSL merupakan sebuah liga yang dibangunkan selepas kegagalan liga terdahulu iaitu Chinese Jia-A League ataupaun Jia-A.
Jia-A yang mula dipertandingkan pada tahun 1987 dimainkan secara liga separuh profesional sehinggalah pada tahun 1993.
Bermula pada tahun 1994, Jia-A mula berevolusi dan menjadi liga profesional sepenuhnya di China sebagai salah satu daripada pelan reformasi terhadap sistem sukan di China
Pada mulanya, liga ini mendapat sambutan yang cukup menggalakan dari semua pihak.
Namun begitu, Jia-A ini mula mengalami kemerosotan. Liga yang pada mulanya dijulang sebagai liga yang cukup baik kini terkenal dengan masalah-masalah seperti skandal atur perlawanan serta rasuah.
Semuanya berpunca daripada aktiviti perjudian yang diamalkan di negara tersebut.
Pada 29 Oktober 2000, naib presiden China FA (CFA) iaitu Yin Shiduo telah mencadangkan satu usaha untuk mewujudkan sebuah liga bola sepak profesional yang baharu.
Cadangan Shiduo itu diterima oleh CFA dan pada tahun 2002, mereka telah mengumumkan untuk mewujudkan Chinese Super League.
Dan pada musim 2004, CSL memulakan musim sulung mereka.
Format liga
Pada musim pertama CSL, liga ini mempunyai 12 pasukan sahaja.
Namun dari tahun ke tahun, liga ini semakin meningkat dan sudah menjadi liga 16 pasukan seperti yang ada sekarang.
Liga ini mengambil masa yang lama untuk mempunyai sebuah liga 16 pasukan yang stabil. Hal ini kerana, CSL sering terpalit dengan pelbagai isu pada awal penganjurannya.
Isu yang paling ketara adalah penarikan diri 1 pasukan pada setiap musim.
Setiap kali CSL hendak dimainkan dengan format liga 16 pasukan, pasti akan ada pasukan yang menarik diri. Kesannya, hanya terdapat 15 pasukan sahaja di dalam liga.
Selain itu juga, saki baki masalah skandal atur perlawanan dan rasuah juga masih bersarang di dalam CSL.
Tetapi masalah itu berjaya dihapuskan dengan baik oleh CFA dan juga pihak polis. Dan pada musim 2009, CSL berjaya dilangsungkan dengan format liga 16 pasukan sehingga sekarang.
Liga CSL ini dimainkan bermula pada bulan Februari atau Mac dan berakhir pada bulan November atau Disember.
CSL bermain sebanyak 30 pasukan semusim, dengan 1 pasukan akan menentang 15 pasukan yang lain di dalam liga sebanyak 2 kali semusim.
3 pasukan teratas liga CSL akan mara ke AFC Champions League. Sementara juara Piala China akan mengisi slot ke-4 untuk ke AFC Champions League.
2 pasukan terbawah liga akan turun ke China League One, manakala 2 pasukan teratas China League One akan ke CSL pada musim seterusnya.
Di CSL, mereka mengamalkan sistem kouta pemain import 4+1. Bilangan 1 yang dimaksudkan adalah kouta wajib untuk pemain import dari negara-negara AFC.
Walaupun berjiran, pemain-pemain dari Hong Kong, Taiwan dan Macau dianggap sebagai pemain import. Dan mereka perlu didaftarkan sebagai pemain import dalam senarai pemain.
Merancang masa depan
CSL mahukan penyertaan pasukan yang banyak tidak kira pasukan itu berasaskan bandar ataupun berasaskan syarikat swasta.
Mereka menjadikan liga Eropah sebagai model yang baik untuk membangunkan kualiti bola sepak mereka.
Pasukan-pasukan di CSL mungkin membelanja jumlah wang yang besar untuk membeli pemain ternama dunia.
Tetapi pada padangan penulis, ia sekadar mereka mahu mendapatkan kejayaan segera untuk menaikkan nama pasukan serta liga CSL itu sendiri.
Hal ini kerana, di CSL mereka juga sedang membina masa depan menerusi pembangunan bakat muda mereka.
CSL mempunyai liga simpanan atau reserve league untuk memastikan para pemain yang kurang beraksi bersama pasukan utama dapat bermain.
Selain itu, mereka juga mempunyai liga peringkat umur seperti liga B-19 tahun, liga B-17 tahun dan liga B-15 tahun.
Kesimpulan
Secara kesimpulannya, CSL berada pada posisi terbaik untuk menjadi liga yang terulung di Asia.
Mereka mungkin sedang merosakkan bola sepak dengan membeli pemain dengan harga yang tak masuk akal. Namun pada tahun-tahun mendatang, mereka mungkin tidak lagi perlu membeli pemain luar.
Hal ini kerana sistem pembangunan bakat muda mereka pada masa tersebut sudah mula memberikan hasil.
Baca juga: Jaringan Sendiri Yang Membawa Kepada Kematian Andres Escobar