China FA Kuatkuasa Peraturan Baru: Jumlah Pemain Import MESTI SAMA Dengan Pemain B-23

Ketika spekulasi bahawa Diego Costa dan Pierre Emerick Aubameyang akan berhijrah ke liga bola sepak China, China Super League (CSL) sedang bertiup kencang, Persatuan Bola Sepak China (China FA) mengumumkan 3 peraturan liga baru.

3 peraturan liga yang baru ini dipercayai akan merendahkan lagi minat kelab-kelab bola sepak China untuk membeli pemain-pemain import dengan harga mahal.

3 pemain import sahaja

Pada Januari 2017 yang lepas, China FA mengumumkan bahawa pasukan-pasukan CSL boleh menyenaraikan 5 pemain import dalam skuad hari perlawanan. Tetapi hanya 3 pemain import yang boleh bermain pada satu-satu masa.

Selain itu, China FA juga menetapkan seorang pemain tempatan bawah-23 juga mesti disenaraikan dalam kesebelasan utama pasukan.

Peraturan yang diumumkan 6 minggu sebelum CSL musim 2017 bermula ini merupakan reaksi awal China FA untuk membendung nafsu pasukan-pasukan CSL ketika jendela perpindahan pemain.

Sebelum ini CSL mengamalkan peraturan kuota 4+1 di mana, 5 pemain import (1 daripadanya wajib berasal dari Asia) boleh disenaraikan dalam skuad. Di bawah peraturan baru, 1 kuota pemain import Asia itu dimansuhkan.

Perlaksanaan peraturan baru ini nyata menaikkan harga pasaran dan saham pemain muda bawah-23 China.

Pemain-pemain muda Guangzhou Evergrande seperti Chen Zepeng (22), Wen Jiabao (18) dan Wang Shangyuan (23) contohnya, mendapat manfaat daripada peraturan baru ini.

Mereka bukan saja dapat bermain dengan pemain-pemain import pasukan seperti Kim Hyung-Il, Alan, Ricardo Goulart, Paulinho (gambar bawah) dan Jackson Martinez. Malah mereka juga bakal mendapat minit perlawanan berharga dalam aksi liga yang kompetitif.

(Photo by VCG/VCG via Getty Images)

Jumlah pemain import mesti sama dengan pemain bawah-23

Tidak cukup dengan peraturan itu, China FA menggubal peraturan liga mereka sekali lagi.

Kali ini, China FA menetapkan setiap pasukan CSL mesti meletakkan jumlah pemain tempatan bawah-23 yang sama dengan jumlah pemain import dalam kesebelasan utama.

Contohnya jika pasukan anda meletakkan 5 pemain import, anda wajib meletakkan 5 pemain tempatan bawah-23 juga.

(Photo credit : PHILIPPE LOPEZ/AFP/Getty Images)

Menurut kenyataan media China FA semalam, peraturan baru ini akan berkuatkuasa bermula musim 2018 (musim depan).

Rata-rata peminat bola sepak China tidak bersetuju dengan peraturan ini dan menganggap ia ‘membunuh’ karier pemain tempatan China yang berumur atas 24 tahun.

“Pemain China yang berumur 24 tahun ke atas dan tidak menujukkan kebolehan atas paras sederhana mungkin boleh meggantung but dan mengucapkan selamat tinggal kepada karier bola sepak profesional,” tulis /u/yuiandgakki di forum Reddit.

Cukai 100% buat kelab yang rugi

Kerja China FA tidak terhenti setakat itu. Semalam juga China FA mengumumkan cukai 100% kepada ‘mana-mana kelab CSL yang mencatatkan defisit dalam belanja kewangan tetapi masih membeli pemain import’.

Ini bermakna jika belanja kewangan kelab anda mencatat defisit tetapi masih bernafsu membeli pemain import pada harga USD15 juta, anda akan dikenakan cukai sebanyak USD15 juta.

(Photo credit: STR/AFP/Getty Images)

Menurut China FA, semua duit cukai 100% ini akan disumbangkan ke Yayasan Pembangunan Bola Sepak China yang bertanggungjawab melatih pemain muda, mempromosikan bola sepak peringkat amatur dan aktiviti kebajikan bola sepak.

Peraturan ketiga ini akan berkuatkuasa sebaik jendela perpindahan pemain liga China dibuka pada 19 Jun 2017 nanti.

Rumusan

Pada pendapat kami, peraturan pertama dan ke-3 ada logik dan ada faedahnya. Tetapi peraturan ke-2 berpotensi membunuh karier pemain tempatan yang berumur atas 24.

Peraturan ke-3 mungkin boleh dilaksanakan di Malaysia memandangkan trend membelanjakan duit kelab untuk pemain import berbanding melabur kepada pembangunan pemain muda masih berleluasa.

Apa pula pandangan anda? Adakah anda bersetuju dengan 3 peraturan ini? Peraturan mana yang anda mahu lihat diadaptasi di Malaysia?

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN