Salah satu masalah bola sepak Korea Selatan ketika ini adalah penurunan jumlah kedatangan penyokong ke stadium dalam perlawanan K-League.
Tetapi ketika sebuah pasukan amatur, Cheongchun FC membuat perlawanan persahabatan menentang barisan simpanan pasukan divisyen ke-2, Seoul E-Land, tiba-tiba saja tiket perlawanan habis dijual.
Orang ramai yang tak dapat membeli tiket terpaksa menonton perlawanan dari bukit berhampiran dengan menggunakan binokular.
Inilah penangan Cheongchun FC – sebuah pasukan amatur yang dibentuk melalui rancangan realiti TV Hungry Eleven yang sedang popular di Korea Selatan.
Latar belakang Hungry Eleven
Hungry Eleven adalah sebuah rancangan realiti TV yang memberi peluang kedua kepada pemain amatur untuk merealisasikan impian mereka menjadi pemain bola sepak profesional.
Pemain-pemain amatur yang terlibat dalam rancangan realiti TV ini merupakan pemain yang dinafikan peluangnya kerana masalah kecederaan.
Ada juga pemain yang mempunyai masalah keluarga.
Naratif rancangan yang berkisarkan peluang kedua sememangnya popular. Semua orang sukakan cerita underdog yang bangkit daripada debu runtuhan seperti burung cenderawasih.
Rancangan ini lahir selepas produser rancangan, Choi Jae-hyeong diberi tawaran menghasilkan rancangan ini oleh Sportizen. Pada ketika itu, Sportizen baru saja mengambil alih pasukan divisyen ke-2 Belgium, AFC Tubize.
Seramai 2,000 pemain amatur memohon untuk menyertai rancangan ini. Hanya 500 dipilih sebelum ditapis lagi kepada 23 pemain terakhir.
23 pemain ini kemudiannya akan bergelar anggota pasukan Cheongchun FC.
Diketuai oleh hero Piala Dunia 2002
Mengetuai sesi pemilihan adalah ketua jurulatih Cheongchun FC sendiri, Ahn Jung-hwan.
Jika anda pernah menonton Piala Dunia 2002, anda tahu Ahn Jung-Hwan merupakan penyerang lagenda Korea Selatan yang menyingkirkan Itali dalam masa tambahan ketika peringkat suku akhir.
Beliau juga pernah bermain di Itali, Jerman, Perancis, China dan Jepun sepanjang kariernya.
Turut membantunya mengurus Cheongchun FC adalah rakan sepasukannya dari skuad Piala Dunia 2002, Lee Eul-yong (pemain tengah) dan Lee Woon-jae (penjaga gol).
Bekas pemain terbaik Asia, Lee Geun-ho yang kini sedang melatih Jeonbuk Motors juga sering muncul sebagai jurulatih jemputan dalam rancangan ini.
Tak pentingkan kemenangan
Apa yang bagusnya tentang rancangan ini adalah pendekatannya yang lebih fokus kepada aspek pembangunan bakat dan sahsiah pemain. Bukannya aspek kemenangan dan kekalahan.
Pada awal episod, tahap kecergasan pemain-pemain Cheongchun FC jelas tidak memuaskan ketika menentang pasukan-pasukan universiti dan sekolah menengah.
Ahn Jung-hwan kemudiannya mengatur latihan kecergasan dan fizikal untuk memperbaiki aspek ini. Ketika inilah penonton di rumah akan diajar mengenai diet dan nutrisi pemain bola sepak.
Apabila Cheongchun FC dibawa pergi ke Belgium dan Perancis untuk bermain dalam 6 perlawanan persahabatan, Ahn Jung-hwan mengajar penonton di rumah:
- mengapa pemain skil sederhana tetapi berdisiplin lebih disukai jurulatih berbanding pemain skil tinggi tapi tak berdisiplin.
- mengapa dalam pasukan bola sepak tidak boleh ada 11 pemain bintang.
- mengapa pentingnya scouting dalam liga. Walaupun dalam liga divisyen ke-3.
Selepas jelajah Eropah, pemain-pemain Cheongchun FC diuji pula dengan pasukan-pasukan K-League divisyen ke-2.
Di akhir episod, penonton di rumah dapat melihat hasil rancangan ini. Salah seorang pemain Cheongchun FC, Park Chan-gil (gambar bawah) kini sedang bermain untuk AFC Tubize di divisyen ke-2 Belgium.
Ada juga yang beberapa pemain yang ditawarkan kontrak oleh pasukan-pasukan K-League divisyen ke-3.
Rancangan MyTeam
Program ini tak dinafikan hampir sama formatnya dengan program MyTeam yang pernah ditayangkan di TV3 sekitar tahun 2006-2007 dahulu.
MyTeam diketuai dan dilatih oleh Serbegeth Singh, sambil dibantu oleh Bojan Hodak. Kemuncak rancangan ini adalah apabila MyTeam menentang Malaysia bawah-20 pada Mei 2006.
Antara bekas graduan rancangan MyTeam yang bermain pada malam itu dan masih bermain sehingga kini adalah Azmi Muslim dan Hasmizan Kamarodin.
Di Singapura, rancangan realiti TV First XI melahirkan Christopher van Huizen – bekas atlet skateboard Singapura – yang bermain bersama Lions XII di Liga Super 2015.
Seperti rancangan MyTeam dan First XI, Hungry Eleven mempunyai potensi impak untuk melahirkan pemain-pemain profesional di K-League.
Tetapi bagi kami, impak sebenar rancangan ini adalah mendidik penonton tentang realiti bola sepak. Seperti Hungry Eleven yang mendedahkan realiti perlunya ada sistem scouting dalam liga divisyen ke-3 Korea Selatan.
Apa pula yang kita pelajari daripada rancangan MyTeam?
Baca juga: 5 Perkara Menarik Yang Berlaku Di Liga Korea Selatan Pada Musim 2015