5 Perkara Menarik Yang Berlaku Di Liga Korea Selatan Pada Musim 2015

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email

Memandangkan tiada bahan bacaan berbahasa Malaysia tentang liga teratas Korea Selatan, K-League Classic, kami mendapatkan bantuan daripada rakan kami, Steven Price untuk memberikan maklumat tentang liga Korea Selatan.

Steven Price merupakan pengasas KLeagueFootball.com, laman web yang membekalkan berita bola sepak Korea Selatan dalam bahasa Inggeris.

Jika anda mahu mengetahui serba-sedikit tentang apa yang berlaku di liga bola sepak Korea Selatan sepanjang tahun 2015, ini adalah artikel untuk anda.

Selepas membaca anda juga akan sedar, liga bola sepak Korea Selatan tidaklah jauh bezanya dengan liga bola sepak di Malaysia.

1. Jeonbuk Hyundai Motors bukti bajet gaji besar adalah resepi juara

(Sumber: Michael Dodge / Getty Images)
(Sumber: Michael Dodge / Getty Images)

Pada musim lepas, Jeonbuk Hyundai Motors muncul juara K-League Classic – liga yang dianggotai oleh 12 pasukan seperti Liga Super – buat kali kedua berturut-turut.

Jeonbuk Hyundai Motors meninggalkan pencabar terdekat, Suwon Samsung Bluewings dengan jarak 6 mata.

Kunci utama kemenangan mereka pada musim lepas adalah gabungan dua faktor – prestasi konsisten pada awal musim dan bajet gaji yang besar.

Pada musim lepas, Jeonbuk menghabiskan USD12 juta (RM52 juta) untuk gaji pemain sahaja. Penerima gaji terbesar mereka adalah pemain tengah Brazil, Leonardo dan penyerang veteran, Lee Dong-Gook (bekas penyerang Middlesbrough) yang masing-masing menerima gaji tahunan USD1.1 juta (RM4.7 juta).

Pada usia 36 tahun, Lee Dong-Gook masih mampu menyumbat 13 gol untuk muncul penjaring gol keempat terbanyak dalam liga.

2. Suwon Samsung Bluewings makin lemah

suwon
(Sumber: www.bluewings.kr)

Pesaing terdekat juara liga, Suwon Samsung Bluewings pula hanya mampu membelanjakan USD8.7 juta (RM37.5 juta) untuk gaji pemain pada musim lepas.

Jarak perbezaan bajet gaji Suwon dengan Jeonbuk kelihatan akan menjadi lebih besar pada musim 2016 akan datang.

Apatah lagi bila Jeonbuk mengumumkan Kim Bo-Kyung (bekas pemain tengah Cardiff City) bakal menyertai mereka nanti.

Suwon pula baru saja menjual penjaga gol mereka yang bergaji mahal, Jong Sung-Ryung yang akan menyertai pasukan J1 League, Kawasaki Frontale.

Ini ditambah pula dengan pemergian penyerang Korea Utara, Jong Tae-Sae ke satu lagi pasukan J1 League, Shimizu S-Pulse pada pertengahan musim lepas. Ketiadaan Tae-Se menyebabkan cabaran menjuarai liga Suwon menjadi semakin sukar.

3. Ulsan Hyundai mempunyai bajet gaji ketiga tertinggi, tetapi masih teruk

2747836_40
(Sumber: news.kbs.co.kr)

Walaupun statistik membuktikan Semakin tinggi jumlah bajet gaji pemain. semakin baik kedudukan pasukan dalam liga, Ulsan Hyundai membuktikan sebaliknya.

Meskipun mempunyai bajet gaji ketiga tertinggi dalam liga, Ulsan hampir-hampir menduduki zon penyingkiran liga. Mujurlah prestasi pasukan Daejeon Citizen dan Busan I’Park lebih teruk daripada mereka.

4. Kim Shin-Wook selamatkan Ulsan, tapi masih diketepikan pasukan kebangsaan

(Sumber: www.uhfc.tv)
(Sumber: www.uhfc.tv)

Jika dilihat prestasi buruk Ulsan Hyundai pada musim lepas, mereka perlu berterima kasih kepada penyerang, Kim Shin-Wook yang menjaringkan 18 gol untuk mmuncul penjaring terbanyak liga pada musim lepas.

Perlu diingat, Kim Shin-Wook hanya baru belajar bermain sebagai penyerang pada 7 tahun lepas. Dengan ketinggian 1.96 meter, Shin-Wook biasa bermain sebagai pertahanan tengah sejak dari zaman remaja.

Pertukaran beliau daripasa seorang pertahanan tengah ke penyerang berbisa adalah sesuatu yang mengagumkan.

Bagaimanapun disebalik prestasi cemerlangnya dalam liga, Shin-Wook masih gagal menambat hati ketua jurulatih skuad kebangsaan, Uli Stielike yang lebih sukakan Hwang Ui-Jo (Seongnam FC) dan Lee Jeong-Hyup (Busan I’Park).

5. Masalah liga Korea Selatan: kekurangan penonton

(Sumber: modernseoul.org)
(Sumber: modernseoul.org)

Berbanding Chinese Super League dan J1 League yang semakin meningkat jumlah kedatangan penyokongnya ke stadium, K-League Classic pula menunjukkan penurunan.

Pasukan-pasukan besar seperti FC Seoul, Jeonbuk Motors, dan Suwon Bluewings masih menarik ramai penyokong untuk datang ke stadium mereka.

Rekod tertinggi kedatangan penyokong ke stadium pada musim lepas adalah 39,328 orang ketika perlawanan derby antara FC Seoul dan Suwon Bluewings yang berkesudahan seri 0-0.

Secara keseluruhannya, K-League Classic hanya mampu menarik purata 7,720 penonton saja ke stadium pada setiap perlawanan. Sebagai contoh, Jeonnam Dragons hanya mampu menarik 628 penonton ke stadium ketika mereka kalah 2-5 menentang Ulsan Hyundai.

Di Malaysia, rata-rata stadium pasukan utama Liga Super seperti Pahang, Selangor, Perak, Kelantan dan JDT mencatatkan purata lebih 10,000 penonton pada setiap perlawanan.

Penonton berkurangan, lebih banyak masalah

Dengan harga tiket yang murah (USD10 atau RM43) untuk seorang dewasa, dan pendapatan siaran langsung TV yang hanya membawa USD5 juta (RM21.5 juta) semusim, pasukan-pasukan di Korea Selatan berdepan dengan masalah sama seperti Malaysia.

Mereka terlalu bergantung kepada tajaan syarikat besar dan kerajaan negeri untuk beroperasi.

Di Korea Selatan, tajaan syarikat besar dan sumbangan kerajaan negeri membentuk hampir 80% daripada keseluruhan bajet menguruskan pasukan.

Kecuali Jeonbuk Motors yang stabil, pada ketika ini semakin banyak syarikat dan kerajaan negeri yang sudah memotong perbelanjaan pasukan bola sepak.

Sebab itulah semakin ramai pemain Korea Selatan sudah mula merantau ke liga Asia lain untuk mencari kontrak baru.

Jika perbelanjaan ini terus dipotong dan dipotong, liga-liga Asia yang lain akan menerima kebanjiran pemain-pemain bintang dari Korea Selatan.

Baca juga: Taktikal Piala Asia 2015: Korea Selatan

PERCUMA: Bandage Mudah Lekat.

Hak Cipta © Semuanya BOLA Sdn. Bhd. 1179367-U