Malang menimpa pemain tengah pasukan Kuala Lumpur, Indra Putra Mahayuddin apabila cermin kereta jenis Audi berwarna merah miliknya dipecahkan oleh pencuri lalu mencuri barang peribadi yang diletakkan di bawah kerusi.
Menurut kenyataan Indra di laman instagram miliknya, kejadian itu berlaku di Masjid Wilayah semalam dan beliau kehilangan beberapa barang penting seperti kad pengenalan dan lesen memandu.
Beliau merayu agar pencuri tersebut memulangkan semula barang penting itu dan tidak kisah jika wangnya telah diambil.
“Assalamualaikum, kepada si pencuri yang pecahkan cermin kereta saya dekat Masjid Wilayah, ambil la duit dan sebagainya, tetapi kembalikan barang-barang penting dalam cluth dan dompet saya seperti kad pengenalan dan lesen memandu serta beberapa kad penting didalamnya.
“Dahsyat sungguh manusia akhir zaman ini, hari baik (Jumaat) dan bulan yang baik (Ramadhan) sanggup buat benda macam ini di dalam masjid pula tu.
“Semua orang sibuk buat amal ibadah tetapi kamu pecahkan cermin kereta dan mencuri. Saya mohon sila pergi letak balik tempat yang kamu pecahkan cermin kereta tadi dokumen penting saya itu,” katanya.
Bekas pemain Kelantan ini juga memohon bantuan orang ramai yang mempunyai kemahiran mengesan kedudukan handphone samsung miliknya untuk mencari pencuri tersebut.
“Sesiapa yang boleh tolong “trace” samsung sila DM (Direct Message) saya. Saya doakan pada pencuri tersebut semoga dia lembut hati nak pulangkan barangan saya tersebut,” kata Indra.