Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) RB Leipzig, Oliver Mintzlaff tanpa berselindung menegaskan bahawa kelab tersebut tidak akan menawarkan harga lebih murah buat mana-mana pasukan yang berhajat untuk mendapatkan khidmat penyerang berbisa, Timo Werner.
Penyerang yang menjaringkan 30 gol dalam 39 penampilannya pada semua pertandingan musim ini bersama RB Leipzig telah menarik minat pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool untuk membawanya ke Anfield.
Ini bermakna RB Leipzig pastinya tidak akan melepaskan penyerang berusia 24 tahun itu di bawah £52 juta kerana nilai tersebut adalah merupakan klausa pelepasan bagi Werner sehingga 15 Jun ini.
Memetik laporan dikeluarkan Goal, Liverpool bagaimanapun dikatakan tidak berminat untuk memenuhi tuntutan harga sedemikian.
”Ia tidak akan menjadi lebih murah. Kami tidak akan menjual pemain kami dengan nilai lebih rendah sekiranya dia masih berada dalam kontrak lebih dari setahun.”
“Tetapi, saya hanya memikirkan perkara-perkara itu setelah saya mempunyai fakta-fakta di atas meja,” tambah Mintzlaff lagi menurut laporan Goal.
Werner yang juga merupakan pemain skuad kebangsaan Jerman masih mempunyai baki kontrak bersama kelab tangga ketiga Bundesliga itu sehingga tahun 2023.
Dalam pada itu, pengurus pasukan, Julian Nagelsmann mengakui fokus Werner tidak terganggu meskipun dikaitkan dengan spekulasi perpindahan pada musim panas nanti.
”Dia dalam mood yang cukup baik, berlatih dengan baik. Dia adalah seorang pemuda yang pasti akan duduk di rumah bersama isterinya dan memikirkan sama ada dia akan kekal di sini atau berhijrah.’