Seperti yang diketahui, Konfederasi Bola Sepak Amerika Selatan (CONMEBOL) telah menolak permohonan Boca Juniors untuk menghadiahkan kejuaraan Copa Libertadores buat kelab Azul y Oro itu.
Sebaliknya, badan bola sepak tersebut memilih untuk mengadakan perlawanan akhir kedua di gelanggang berkecuali iaitu Santiago Bernabeu, Madrid.
Kesulitan ini berlaku selepas penyokong River Plate bertindak keterlaluan apabila menyerang bas yang membawa pasukan Boca Juniors di Estadio Monumental sehingga menyebabkan dua pemain mereka dikejarkan ke hospital.
Tindakan di luar kawalan oleh penyokong River Plate itu sangat merugikan pasukan tersebut apabila mereka kehilangan kelebihan untuk beraksi di laman sendiri.
Bagi Tevez, beliau berpendapat perlawanan akhir Copa Libertadores di Madrid adalah satu perkara yang amat pelik.
‘’Ia adalah satu perlawanan akhir yang pelik.’’
‘’Untuk bermain perlawanan yang melibatkan antara Boca (Juniors) dan River (Plate) di Madrid, ia adalah pelik, tetapi sebagai pemain, amat penting bagi saya untuk kekal fokus terhadap perlawanan ini.’’
Dalam pada itu, Tevez turut mengulas adakah gelanggang berkecuali ini akan mengecilkan peluang River Plate untuk meraih kejayaan setelah tidak dapat beraksi di laman sendiri.
‘’Saya tidak merasakan sedemikian. River akan lebih tertekan beraksi di laman sendiri dan ketika ini mereka sudah 50-50. Untuk beraksi di laman sendiri, kadangkala ia memberikan kesukaran buat anda dalam perlawanan akhir Copa Libertadores.
Peluang juara masih seimbang apabila kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada aksi pertama yang berlangsung di La Bombonera.