Quantcast

BERITA

Tindakan ‘Troll’ Reaksi Spontan Pemain, Chatchai Tukar Privasi Akaun Instagram Selepas Tersingkir

Tindakan pemain pasukan negara meraikan kejayaan mara ke perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018 dengan berlari ke arah penjaga gol pasukan lawan, Chatchai Budprom bukanlah tindakan tidak profesional pemain.

Tetapi perkara yang dianggap seperti ‘troll’ tersebut dianggap sebagai tindak balas spontan pemain kerana terhadap provokasi penjaga gol Gajah Putih tersebut sebelum dan sepanjang perlawanan.

(Photo by Pakawich Damrongkiattisak/Getty Images)

Nafi dakwaan

Malaysia mara ke perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018 selepas mencatatkan keputusan seri 2-2 di Stadium Rajamangala, Bangkok atas peraturan gol di tempat lawan.

Semalam tular video dan juga gambar menunjukkan beberapa pemain menyerbu ke arah Chatchai dengan pelbagai gaya seperti berlari mengelilingi, dan berlagak seperti tidur di hadapan penjaga gol itu.

Lagak pemain negara meraikan kejaayaan mara ke perlawanan akhir tersebut kemudiannya seperti tidak disenangi oleh penyokong-penyokong Thailand yang hadir, dan melabel tindakan pemain Malaysia sebagai tidak profesional.

(Photo by Pakawich Damrongkiattisak/Getty Images)

Namun demikian, wartawan sukan NSTP yang sempat mendapatkan penjelasan penyerang negara, Syafiq Ahmad telah mendapatkan gambaran sebenar kejadian.

“Sebenarnya ramai tak nampak apa hal sebenar yang berlaku di atas padang. Sebenarnya provokasi dimulakan penjaga gol Thailand yang datang ke ‘bench’ dan mengejek kita macam-macam.

“Siapa yang tak geram bila tengok pemain tuan rumah menghina kita. Jadi bila pengadil tiup wisel, kami secara spontan lari dan buat balik apa yang dibuat kepada kita.

“Itu saja. Tapi selepas itu penjaga gol mereka datang dan bersalaman dengan kami,” katanya kepada Sukan NSTP di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Chatchai mulakan dahulu

Berdasarkan penjelasan Syafiq, tindakan pemain negara dicetuskan sendiri oleh penjaga gol Thailand itu yang mula melakukan provokasi selepas Thailand menjaringkan gol kedua pada minit ke-63 perlawanan.

Chatchai dikatakan berlari ke arah bangku pemain simpanan Malaysia dan membuat gaya tidur di hadapan pemain dan pegawai pasukan Malaysia.

Tindakan penjaga gol itu bukan hanya sekali, malah turut diulangi ketika Thailand memperolehi sepakan penalti, selepas pemain negara Syahmi Safari dipersalahkan kerana memegang bola di dalam kotak penalti di minit akhir perlawanan.

Malah tindakan Chatchai dalam sidang media sebelum perlawanan yang seperti ‘bercakap besar’ dengan berkata Malaysia akan dapat mimpi ngeri sudah tidak disenangi oleh pemain negara sejak dari awal lagi.

Perang minda makan diri

“Dia dari sidang media sebelum perlawanan lagi dah mulakan provokasi. Katanya, pemain Malaysia akan dapat mimpi ngeri selepas tamat aksi.

“Sekarang saya rasa dia yang dapat mimpi ngeri dan tak boleh tidur lena sepanjang malam tadi. Apapun, kami sebagai pemain profesional dah ‘ok’ dan ia biasa dalam bola sepak,” ujar pemain pertahanan negara, Aidil Zafuan mengenai perkara tersebut.

Kami turut bersetuju dengan kenyataan Aidil bahawa perkara seperti itu adalah perkara biasa dalam bola sepak. Ia munkin merupakan perang minda yang dicetuskan oleh penjaga gol Thailand itu untuk melunturkan semangat skuad Harimau Malaya.

Malah, penjaga gol Thailand tersebut terpaksa menukar akaun Instagram beliau kepada mode privasi selepas diserang oleh ramai penyokong Malaysia. Mungkinkah tindakan sedemikian adalah untuk memastikan tidur beliau lena daripada gangguan penyokong Malaysia.

Siapa sangka, peluru untuk menembak lawan, akhirnya memakan diri.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!