Manchester City baru sahaja dimahkotakan selaku juara Carabao Cup edisi 2018/19. Namun begitu, sudah pasti akan ada persoalan kenapa ia dinamakan Carabao Cup?
Jawapan mudah, disebabkan kejohanan ini menerima penaja untuk satu tempoh. Tetapi, anda masih ingat jenama apakah yang pernah dikaitkan dengan kejohanan ini?
Pembukaan
Sejak ialah mula dipertandingkan pada musim 1960/61, English Football League (EFL) tidak pernah menerima mana-mana tajaan untuk kejohanan ini.
Segalanya berubah apabila sebuah agensi kerajaan Britain bernama Milk Marketing Board menaja pertandingan ini mulai musim 1981/82 hingga 1985/86. Agensi itu merupakan badan pemasaran industri berkaitan tenusu di negara tersebut.
Maka ia digelar sebagai Milk Cup buat beberapa musim.
Kemudiannya, kejohanan ini dinamakan pula sebagai Littlewoods Cup. Littlewoods pula sebuah syarikat perjudian dan turut mempunyai perniagaan jualan pelbagai barangan melalui katalog.
Littlewoods menaja kejohanan ini mulai musim 1986/87 sehinggalah 1989/90. Menariknya, kedua-dua penaja terawal ini mempunyai trofi yang direka khas dan berbeza antara satu sama lain.
Wajah baru
Berkaitan dengan trofi, EFL mengambil keputusan untuk menggunakan trofi asal sebagaimana yang kita dapat lihat hingga hari ini.
Syarikat penjual barangan elektrik, Rumbelows pula menaja pertandingan ini. Mereka menaja dari musim 1990/91 sehingga 1991/92.
Jenama minuman terkenal seantero dunia, Coca Cola memasuki senarai penaja. Syarikat ini menjadi penaja mulai 1992/93 sehingga 1997/98.
Maka ia dikenali ramai sebagai Coca Cola Cup. Sedap didengar bukan?
Mulai musim 1998/99 sehingga 2002/03, syarikat minuman keras, Worthington pula menaja pertandingan ini. Semasa syarikat ini menaja kejohanan ini, ia menjadi bahan jenaka sebagai Worthless Cup.
Carling, jenama yang turut dikaitkan dengan minuman beralkohol juga pernah menjadi penaja. Mereka pula menaja sewaktu musim 2003/04 dan berakhir pada musim 2011/12.
Dekad baru
Firma perbankan, Capital One diberikan peluang untuk menjadi penaja bagi pertandingan ini. Musim 2012/13 sehingga musim 2015/16.
Musim 2016/17 satu-satunya musim EFL gagal mendapatkan penaja. Maka dengan sebab itu, mereka menggunakan nama EFL Cup.
Kini, kejohanan ini dikenali sebagai Carabao Cup. Syarikat minuman tenaga dari Thailand ini menaja mulai musim 2017/18 dan kini memasuki musim kedua.
Penutup
Daripada 8 penaja, 5 daripadanya ialah berkaitan industri minuman. Daripada susu sehinggalah minuman bertenaga.
Ada satu persoalan, antara jenama di atas manakah yang paling anda ingati? Kongsikan di ruang komen.
Nota penulis: Teringat kawan sekelas semasa sekolah yang mati-mati mempertahankan Carling Cup itu bukan League Cup! Adeh!