Pagi Jumaat peminat bola sepak di seluruh negara digemparkan dengan kejatuhan ranking bola sepak Malaysia ke ranking ke 164 dunia. Pengumuman ranking terbaru dari FIFA itu menunjukkan ranking kita telah jatuh 11 anak tangga dari ranking sebelum ini.
Kedudukan itu merupakan kedudukan ketiga paling buruk dalam sejarah bola sepak Malaysia (170) sejak sistem ini mula diperkenalkan. Harus diingat bahawa kita pernah berada di ranking 79 dunia pada tahun 1993 dan 89 dunia pada tahun 1994.
Menurut akhbar tempatan, pengendali skuad Harimau Malaya, Dollah Salleh tidak panik dengan situasi itu kerana menurut beliau, prestasi semasa anak didiknya adalah lebih baik dari kedudukan ranking tersebut. Ada benarnya juga cakap beliau, masakan bola sepak negara yang tak cukup padang dan bergunung-ganang seperti Bhutan lebih handal dari kita. (baca : sarkasis)
Baca: Bagaimana Pasukan Paling Teruk Di Dunia Bangkit Dari Kekalahan 31-0
Namun benarkah dakwaan beliau?
Benarkah ranking dalam FIFA ini tidak penting?
Apakah faktor yang menentukan turun naik ranking FIFA ini?
Mari kita kaji.
Umum
Secara umumnya, semakin tinggi mata yang dikumpul oleh sesebuah pasukan kebangsaan sesebuah negara dalam perlawanan berkelas A, semakin baik kedudukan negara itu dalam ranking FIFA. Walau bagaimanapun, pemberian mata berdasarkan keputusan perlawanan ini tidaklah semudah yang disangka, tetapi menggunakan formula ranking FIFA.
Formulanya pemberian mata adalah seperti berikut:
Mata untuk ranking FIFA = 100 x [ Keputusan perlawanan (i) x Jenis Perlawanan (ii) x kekuatan pasukan lawan (iii) x kekuatan dalam rantau (iv) ]
Mari kita teliti kesemua empat faktor ini dengan lebih terperinci.
(i) Keputusan Perlawanan
Sistem pemberian mata semasa oleh FIFA telah diringkaskan. Ianya mudah, 3 mata untuk pasukan yang meraih kemenangan, 1 mata untuk kedua-dua pasukan yang seri dan tiada sebarang mata pasukan kalah. Sama seperti perlawanan liga.
Cuma bezanya, jika keputusan perlawanan tersebut melibatkan sepakan penentuan penalti, pasukan yang menang hanya akan mendapat 2 mata dan yang tewas pula akan memperoleh 1 mata.
(ii) Jenis Perlawanan
Terdapat banyak jenis perlawnan bola sepak. Dan setiap jenis perlawanan mempunyai nilai signifikannya yang tersendiri. Untuk mengimbangi hal ini, FIFA telah merumuskan sifir multiplier (pendarab) kepada setiap jenis perlawanan. Semakin penting sesebuah perlawanan,semakin tinggi nilai pendarab ini.
Sila rujuk jadual jenis perlawanan dan nilai pendarab ini:
Persahabatan = x1.0
Piala Dunia = x2.5
Kelayakan piala kontinental = x2.5
Piala kontinental = x3.0
Piala konfederasi = x3.0
Final Piala Dunia= x4.0
(iii) Kekuatan pasukan lawan
Sudah tentu jika pasukan kerdil berjaya mengejutkan pasukan yang lebih besar berhak mendapat lebih banyak mata. Begitu juga sebaliknya. Jadi kekuatan sesebuah pasukan itu juga diambil kira dalam pemberian mata ini.
Sistem pengiraan mata terbaru FIFA juga mengambil kira faktor ini lalu menerbitkan satu formula khas untuk mengira kekuatan pasukan lawan. Formulanya adalah seperti berikut.
Nilai kekuatan pasukan lawan = [200- kedudukan dalam ranking] / 100
Namun, pasukan yang berada di ranking no.1 dunia akan menggunakan nilai “2” dan pasukan yang melebihi ranking 150 akan menggunakan nilai tetap “0.5”.
(iv) Kekuatan benua pasukan (regional strength)
Setiap benua mempunyai nilai kekuatannya yang tersendiri seperti yang ditetapkan oleh FIFA. Nilai kekuatan ini adalah seperti berikut:
Eropah: 0.99
Amerika Selatan: 1.0
Amarika Utara: 0.85
Asia: 0.85
Afrika: 0.85
Oceania: 0.85
Format pengiraan kekuatan antara benua pula adalah melalui formula ini:
Kekuatan benua pasukan = ( Nilai kekuatan benua pasukan A + Nilai kekuatan benua pasukan B ) / 2
Tempoh pengiraan mata
Semua mata yang terkumpul dalam ranking FIFA adalah untuk tempoh 4 tahun. Ini bermakna, selepas tempoh 4 tahun, mata yang dikumpul akan terhapus secara automatik.
Walau bagaimanapun, nilai mata yang terkumpul juga akan berbeza mengikut tempoh.
Pengiraannya adalah seperti berikut:
Untuk mata yang diperoleh dalam tempoh 12 bulan, nilainya akan didarab dengan 1.
Untuk mata yang dikumpul dalam tempoh 12-24 bulan lalu pula, nilainya akan didarab dengan 0.5, tempoh 24-36 bulan akan didarab dengan 0.3 dan 36-48 bulan akan didarab dengan 0.2.
Jadi, sudahkah anda faham konsep sebenar sistem ranking FIFA?
Contoh Pengiraan Mata
Case Study: Friendly match Malaysia menentang England, di mana kita berjaya menang 1-0.
Data Malaysia = rank 164 , benua Asia.
Data England = rank 14 , benua Eropah.
Mata dalam ranking FIFA = 100 x [ Keputusan perlawanan (i) x Jenis Perlawanan (ii) x kekuatan pasukan lawan (iii) x kekuatan dalam rantau (iv) ]
Jadi, faktor (i) = 3 (kerana kita menang), faktor (ii) = 1 (kerana perlawanan persahabatan).
Pengiraan faktor (iii)
Nilai kekuatan pasukan lawan = [200- kedudukan dalam ranking] / 100
Namun, pasukan yang berada di ranking no.1 dunia akan menggunakan nilai “2” dan pasukan yang melebihi ranking 150 akan menggunakan nilai tetap “0.5”.
Jadi , kekuatan pasukan England (ranking 14) adalah:
= [200-14]/ 100
= 1.86
Pengiraan faktor (iv)
Kekuatan benua pasukan = ( Nilai kekuatan benua pasukan A + Nilai kekuatan benua pasukan B ) / 2
Malaysia = Asia = 0.85
England = Eropah = 0.99
Oleh itu, pengiraan faktor ini adalah :
= (0.85+0.99) / 2
= 0.92
Jadi apabila faktor (i), (ii), (iii) dan (iv) diletakkan dalam formula, nilai kemenangan Malaysia keatas England adalah:
Mata dalam ranking FIFA = 100 x [ Keputusan perlawanan (i) x Jenis Perlawanan (ii) x kekuatan pasukan lawan (iii) x kekuatan dalam rantau (iv) ]
Mata dalam ranking FIFA = 100 x [ 3 x 1 x 1.86 x 0.92 ] = 513.36 !!!
Hebat bukan?
Kepentingan perlawanan antarbangsa kelas A
Harus diingat, hanya perlawanan berkelas A sahaja yang bakal mendapat mata dalam sistem ranking FIFA. Oleh itu, perlawanan A class ini akan melibatkan dua negara berdaftar dengan FIFA dan membariskan pemain-pemain terbaik mereka (“A” team).
Menurut FIFA.com;
Perlawanan antarabangsa kelas A adalah perlawanan yang menjadi sebahagian perlawanan Piala Dunia, pusingan kelayakan Piala Dunia, piala konfederasi, perlawanan akhir peringkat benua, perlawanan kelayakan peringkat benua dan perlawanan persahabatan.
Adakah kepentingan sistem ranking kepada kita?
Antara kepentingan sistem ranking ini adalah ia akan menentukan kedudukan negara kita dalam grouping kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia. Setiap negara yang bakal bertanding dalam kejohanan ini bakal diletakkan dalam pool atau balang dengan negara yang rankingnya hampir sama dengan negara kita.
Sudah tentu jalan yang bakal ditempuhi oleh skuad negara kita akan semakin berliku kerana apabila undian kumpulan dilakukan, kita bakal berhadapan dengan seteru yang lebih kuat dalam balang yang lain.
Terdapat juga kerisauan lain mengenai sistem ranking ini.
Contohnya, terdapat beberapa liga besar Eropah yang meletakkan syarat yang ketat untuk kemasukan pemain. Terdapat sesetengah negara yang hanya melayakkan pemain yang berasal dari negara yang ranking 100 ke atas saja yang boleh bermain di liga mereka.
Konklusi
Saban hari, ranking bola sepak Malaysia di mata dunia semakin merudum. Hal ini tidak pelik kerana perihal menaikkan ranking negara bukan dalam pelan bola sepak FAM. Harus diingat, bahawa bola sepak adalah sukan nombor satu di Malaysia dan merupakan sukan teras yang paling digemari rakyat marhaen.Sukan ini juga menerima peruntukan paling banyak dalam projek belanjawan Kementerian Belia dan Sukan.
Janganlah satu hari nanti anda terpaksa menundukkan wajah tanda malu tatkala mamat Bangladesh mengisi minyak kereta ataupun segan bersemuka dengan pak guard warga Nepal ketika membeli belah kerana ranking bola sepak mereka lebih baik dari kita. Realitinya, mereka hanya menunggu masa saja untuk memintas ranking kita jika FAM tidak berbuat sesuatu!
Baca: Analisis Taktikal Malaysia vs Oman Dalam Bentuk Pantun
LIKE dan FOLLOW SemuanyaBola di Facebook serta Twitter