Calon pemain warisan baharu Indonesia, Calvin Verdonk mengakui punca sebenar beliau memilih untuk mewakili Sang Garuda disebabkan dirinya sukar mendapat tempat bersama skuad kebangsaan Belanda.
Verdonk kini menjadi sasaran baharu untuk didaftarkan selaku warganegara Indonesia bagi membenarkan beliau untuk beraksi mewakili Sang Garuda pada masa akan datang.
Terdahulu, pertahanan berusia 26 tahun itu sudah pun mewakili skuad bawah 21 (B-21) negara tersebut pada tahun 2017 dan tidak lagi dipanggil bersama pasukan senior Belanda sehingga kini.
Melihat kepada situasi tersebut, Verdonk mengakui ketika ini peluang buat dirinya untuk menembusi skuad utama Belanda kian sukar selepas ramai bakat-bakat baharu diperkenalkan jauh lebih berkualiti.
Walaupun masih melalui perkembangan karier yang baik di Eropah, pada usia semakin meningkat Verdonk memilih untuk bersama Indonesia dan cuba mencipta kejutan baharu dalam karier.
“Saya harus jujur kepada diri sendiri ketika ini. Saya tak akan lagi mencapai tahap untuk bersama skuad kebangsaan Belanda. Umur saya kini hampir mencecah 27 tahun. Ia boleh dianggap sangat tidak realistik,” ujar Verdonk menerusi perkongsian Bola.com.
Menerusi perkongsian lain, Verdonk jelas memiliki pertalian darah bersama Indonesia apabila ayahnya dikatakan berasal dari Meulaboh, Aceh untuk didaftarkan buat negara tersebut.
Pada masa sama, Verdonk akui melihat perkembangan semasa Indonesia di pentas antarabangsa terutama sekali ketika saingan Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 lalu.
“Bola sepak jelas semakin berkembang pesat di negara itu. Mereka masih dalam perlumbaan untuk cuba melayakkan diri ke saingan Piala Dunia 2026. Jelas ia bakal menjadi pengalaman terbaik buat saya.
“Cuba bayangkan jika Indonesia mampu mara ke saingan tersebut dan tiba-tiba nama saya tersenarai sebagai antara pemain beraksi di kejohanan Piala Dunia. Tiada siapa akan menyangkakan perkara tersebut pada masa hadapan,” ujar beliau lagi.
Kehadiran Verdonk bakal menjadikan dirinya sebagai pemain ke-11 dari Belanda yang memiliki pertalian darah bersama Indonesia yang sudah pun didaftarkan sebelum ini buat Sang Garuda.
Sebelum ini, 10 pemain telah didaftarkan ialah Marc Klok, Sandy Walsh, Shayne Pattynama, Ivar Jenner, Rafael Struick, Justin Hubner, Jay Idzes, Nathan Tjoe-A-On, Thom Haye, dan Ragnar Oratmangoen, sementara Marten Paes pula bakal menyusul.
Ketika ini, Indonesia boleh dikatakan berada pada prestasi terbaik untuk cuba melayakkan diri ke pusingan ketiga saingan kelayakan tersebut apabila berjaya merekodkan dua kemenangan sewaktu menentang Vietnam.