Ini adalah pertembungan di antara dua buah pasukan di puncak liga. Ini adalah perlawanan tumpuan. Pahang wajib menang untuk menghidupkan harapan memintas JDT di puncak liga.
Kemenangan bagi JDT, bermakna mereka semakin hampir untuk kejuaraan Liga Super ke-4 secara berturut-turut.
Namun keinginan peminat bola sepak tanah air untuk melihat pertembungan dua Insa bersaudara tidak kesampaian apabila Kiko Insa tidak tersenarai dalam skuad Pahang menentang JDT pada kali ini.
Dollah Salleh memilih formasi 4-1-4-1 tanpa beberapa tongak utama seperti Mathew Davies dan Kiko Insa di dalam pasukan.
Manakala JDT turun dengan rangkaian penyerang Guera-Ghaddar-Cabrera dengan formasi 4-3-3, membariskan pasukan terkuat dengan Mohd Izham Tarmizi diberikan tanggungjawab di depan gawang.
Pengadil perlawanan, Razlan Jofri Ali meniupkan wisel sebagai tanda sepak mula dibantu oleh 5 pengadil yang lain khas untuk perlawanan ini.
Separuh Masa Pertama
JDT terus menguasai bola selepas wisel sepak mula ditiup oleh pengadil perlawanan.
Jelas JDT serius untuk menjarakkan diri di puncak liga, apabila hantaran rendah ‘cut back’ Mohammad Ghaddar pada minit ke-2, disambar oleh Gonzalo Cabrera untuk JDT mendahului 1-0.
Pahang mempunyai peluang menyamakan kedudukan melalui ‘set piece’ apabila memperolehi sepakan percuma dan penjuru pada minit ke-9 dan ke-10, namun disia-siakan.
Sebaliknya, gerakan menarik Gonzalo Cabrera pada minit ke-14, mencemaskan kubu pertahanan Pahang. Bagaimanapun, hantaran canti Cabrera gagal disambar oleh Gabriel Guerra.
Minit ke-26 perlawanan, menyaksikan Mohamadou Sumareh berjaya meloloskan diri di sebelah kanan sebelum melepaskan rembatan yang ditepis oleh Izham Tarmizi. Hantaran lintang susulan, gagal disempurnakan oleh Mathew Alves untuk memberikan sepakan penjuru buat Pahang.
Izham Tarmizi bertidak cemerlang sekali lagi apabila tandukan Ahmad Syamim Yahya hasil sepakan penjuru ditepis keluar untuk menafikan jaringan penyamaan buat pasukan Pahang.
Amirul Hadi dilayangkan kad kuning pertama perlawanan selepas mengasari Mohamadou Sumareh pada minit ke-36.
Separuh masa pertama tamat dengan Pahang mesia-siakan satu lagi sepakan penjuru. Kedudukan kekal Pahang 0-1 JDT pada separuh masa pertama.
Separuh Masa Kedua
Sejurus sebelum separuh masa kedua bermula, Ulisses Morais memasukkan Afiq Fazail bagi menggantikan Amirul Hadi.
Pahang dikejutkan oleh Mohammad Ghaddar 3 minit selepas separuh masa kedua bermula. Bagaimanapun gol Ghaddar dibatalkan selepas dipersalahkan oleh pengadil kerana mengasari Heo Jaewon.
Pada minit ke-54 JDT memperolehi sepakan percuma di luar kotak penalti Pahang selepas Afiq Fazail dijatuhkan oleh Sumareh. Bagaimanapun, JDT mensia-siakan peluang tersebut dengan gerakan ‘set piece’ yang tidak menjadi.
Natxo Insa hampir menjaringkan gol kedua JDT pada minit ke-55. Namun tandukan tajam beliau tersasar di sebelah kiri gawang Pahang selepas menerima hantaran cantik Gonzalo Cabrera.
Afif Nasrulhaq menjadi pemain kedua dilayangkan kad kuning selepas menjatuhkan Sumareh di sebelah kiri kotak penalti JDT, memberikan sepakan percuma buat pasukan Pahang.
Tiada pemain Pahang yang berjaya menyambar sepakan percuma pada awalnya, namun hantaran lintang susulan Wan Zaharulnizam ditanduk kemas oleh Alves ke dalam gawang JDT.
Bagaimanapun, pengadil perlawanan terpaksa membatalkan gol tersebut kerana Alves terlebih dahulu berada dalam kedudukan offsaid.
Matthew Alves turut mempunyai peluang satu lawan satu dengan penjaga gol JDT sejurus selepas itu.
Sekali lagi penyokong Pahang hampa selepas Alves lambat untuk bertindak sekaligus memberi ruang untuk pertahanan JDT menutup ruang buat penyerang import Pahang itu.
Minit ke-68 menyaksikan larian cantik Sumareh, membuka ruang untuk hantaran cantik daripada Yamil Romero. Namun bola pantas dihadang oleh Mohd Izham Tarmizi untuk menafikan Sumareh.
JDT melakukan pertukaran terakhir pada minit ke-74 dengan mengeluarkan Azrif Nasulhaq yang tercedera dan memasukkan Fazly Mazlan selepas Hazwan Bakri dimasukkan untuk mengantikan Mohamad Ghaddar sebelum itu.
Fazly Mazlan menjadi pemain JDT ke-3 dilayangkan kad kuning selepas dipersalahkan menjatuhkan Sumareh pada minit ke-77.
Joseph Kalang Tie masuk mengantikan Syamim Yahya pada minit ke-82 perlawanan. Heo Jeowon menjadi pemain ke-4, dan yang pertama untuk Pahang menerima kad kuning selepas bentesan liar terhadap Gabriel Guerra.
Minit ke-86, JDT melebarkan kelebihan dengan jaringan kedua perlawanan melalui Natxo Insa.
Larian Guerra bijak mencari Safiq Rahim di kotak penalti yang menolak bola mencari Natxo Insa. Natxo Insa tenang meyudahkan hantaran Safiq untuk meletakkan kedudukan Pahang 0-2 JDT.
Kedudukan Pahang 0-2 JDT kekal sehingga wisel penamat.
Kesimpulan
Gol oleh Gonzalo Cabrera dan Natxo Insa memastikan JDT terus selesa di puncal Liga Super 2017 dengan 36 mata dan berbaki 7 perlawanan.
Manakala Pahang jatuh ke tangga ke-3 selepas Kedah mencatat kemenangan 4-2 ke atas Melaka di Stadium hang Jebat.