Satu ketika dahulu , bunga alamanda adalah bunga kebanggaan dan menjadi simbolik kemegahan bola sepak negeri Kedah. Bersama-sama logo tersebut, maskot Sang Kenari turut diangkat sebagai sebahagian legasi dan sejarah bola sepak negeri dari utara tanah air itu.
‘Di mana suara burung kenari
Selalu merayu menghibur hati
Mengapa kau tidak menyanyi
Merajukkah dikau kenari?’
Itulah sebahagian daripada bait lirik lagu “Di Mana Suara Burung Kenari”. Lagu tersebut nyanyian biduanita negara Allahyarhamah Puan Sri Datin Amar Salmah Ismail atau sinonim dengan panggilan Primadona Saloma.
Bagi pencinta burung, Kenari adalah spesis burung yang unik. Spesis ini punyai pesona keindahan dengan nilai yang tinggi. Di England, Norwich menggunakan nama Kenari kerana sifat burung ini yang sangat cekal dan memiliki ‘nyanyian’ yang mempersonakan.
Tidak hairanlah satu masa dulu, burung kenari pernah diangkat sebagai maskot pasukan bola sepak negeri Kedah Darul Aman yang sinonim dengan warna hijau dan kuning. Ciri pesona yang sama terdapat pada spesis Burung Kenari.
Sentimental dan Sejarah Silam
Walaupun burung kenari tidak terdapat dalam logo asal pasukan, ia tetap mempunyai “sentimental value” bagi penyokong – penyokong Kedah era semi pro.
Bersama logo dan maskot Kenari, pasukan Kedah pernah memenangi treble berganda pada musim 2007 dan 2008. Ianya satu pencapaian hebat yang belum pernah dilakukan mana-mana pasukan sehingga kini.
Bunga alamanda dan Sang Kenari turut mewarnai zaman gemilang pasukan Kedah ketika era semi-pro. Logo, Sang Kenari dan kata keramat “Biar Jasa Jadi Kenangan” juga adalah legasi Bapa Pembangunan Bola Sepak Kedah, iaitu Allahyarham Dato’ Paduka Haji Ahmad Basri bin Mohd Akil.
Era Baru Skuad Helang Merah
Pada musim 2014, Kedah FA mengubah logo pasukan beridentitikan helang merah dalam rangka transformasi bola sepak negeri. Ia sekaligus menamatkan khidmat Sang Kenari sebagai maskot pasukan. Sedikit sebanyak ia turut mencetuskan bantahan di kalangan penyokong bola sepak Kedah.
Pada pendapat sesetengah pihak, logo lama dan maskot kenari terkandung sejarah jatuh bangun bola sepak negeri jelapang padi itu dan ia tidak wajar diganti begitu sahaja.
Protes
Sayangnya penyokong Kedah kepada Sang Kenari kerana mereka sudah disemai dengan semangat ‘Biar Jasa Jadi Kenangan. Ada juga suara yang menyatakan langkah ini seolah-olah cubaan memadamkan jasa dan legasi yang ditinggalkan oleh Allahyarham Dato Ahmad Basri Akil yang banyak berjasa kepada bola sepak Kedah.
Di sebalik bantahan penyokong, pengurusan bola sepak Kedah FA tetap meneruskan langkah transformasi bola sepak tersebut, termasuk mengubah logo dan maskot pasukan.
“Orang lain dah ada imej singa, pahlawan dan sebagainya. Sekurang-kurangnya kita tonjolkan simbol yang menunjukkan kegagahan kita dalam menghadapi lawan di gelanggang.
“Jadi sebab itu Helang Merah dipilih,” ujar penaung Persatuan Bola Sepak Kedah pada ketika itu, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir (gambar bawah) untuk menenangkan kumpulan penyokong yang membantah perubahan tersebut.
Mujurlah ia melibatkan anak negarawan tersohor yang juga antara tokoh yang sangat dihormati oleh para penyokong Kedah. Itulah sebabnya penyokong Kedah terpaksa menerima walaupun di dalam hati mereka, Sang Kenari ada ruang yang sangat istimewa dalam jiwa mereka.
Secara teknikalnya, bendera Kedah memang dominan dengan warna merah. Manakala burung helang sinonim dengan imej negeri Kedah dari segi perlancongan. Tidak ada rekod menyatakan wujudnya spesis helang merah di dalam ensiklopedia. Bagaimanapun, Helang Merah sering diguna pakai sebagai satu simbolik kekuatan sesebuah unit.
Pasukan tempur udara Amerika misalnya, “America’s Secret MIG’s Squadron” turut berlogokan helang merah. Sebuah pasukan bola sepak di Surinam turut menggunakan lambang yang sama. Walaupun sudah tidak lagi menggunakan gelaran Kenari, Kedah masih mengekalkan warna Hijau-Kuning sebagai warna utama pasukan mereka.
Aksi mengatasi kontroversi
Namun begitu pencapaian pasukan Lang Merah telah mengatasi isu kontroversi tersebut pada musim ia diperkenalkan. Kerana itu, penyokong Kedah lebih tertumpu kepada topik keputusan dan aksi pemain di atas padang berbanding dengan polemik logo dan maskot .
Mereka kembali semula ke saingan Liga Super pada musim 2016. Di bawah logo dan maskot yang baru tersebut, Kedah FA muncul naib juara Piala Malaysia pada 2015 dan menjuarainya pada musim 2016. Musim 2017, Lang Merah turut tampil di dalam dua aksi final- Piala FA dan Piala Malaysia.
Berjaya menjuarai Piala FA selepas menewaskan Pahang di Stadium Shah Alam, Lang Merah bagaimanapun ditundukkan oleh ngauman Harimau Selatan di aksi final Piala Malaysia di venue sama. Dan siapa sangka. Kekalahan kepada JDT itu ibarat permulaan kepada segala permasalahan yang dihadapi oleh Lang Merah pada musim berikutnya.
Musim untuk dilupakan
Musim 2018 bolehlah kita katakan sebagai musim yang Kedah FA mahu lupakan. Secara teknikal, mereka mempunyai tiga pengendali pada musim lalu. Ramon Marcote pada mulanya kembali menyertai Kedah, namun hanya berkesempatan mengendalikan skuad Lang Merah dalam dua perlawanan di Stadium Darul Aman.
Kemudian Nidzam Adha- bekas pembantu Tan Cheng Hoe yang berjaya membawa Piala FA dan membawa Kedah ke perlawanan akhir Piala Malaysia pada musim sebelumnya, kembali dipertanggungjawabkan untuk mengembalikan kegagahan si Lang Merah. Nama Nidzam turut direhatkan menjelang Ogos, sebelum jawatan ketua jurlatih tersebut dipangku oleh Azzmi Aziz sehingga tamat musim.
Menjadikan keadaan lebih parah, timbul pelbagai isu lain melibatkan semangat berpasukan di kalangan pemain pasukan yang sinonim dengan warna hijau dan kuning ini. Kritikan terbuka oleh bekas pemain import, Liridon Krasniqi terhadap Nidzam dan pendedahan terkini oleh Sandro Mendonca selepas sah dilepaskan Kedah FA cukup untuk mengisahkan gelora badai yang dilalui si Lang Merah pada musim ini.
Lembaran baru
Musim 2019 ibarat membuka buku baru dalam lembaran bola sepak Kedah. Pertama, mereka kini dipimpin oleh pengurusan baharu diterajui Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir yang melepaskan jawatan tersebut pada Februari 2016. Di bawah legasi beliaulah, Kedah menikmati kejuaraan pada musim 2016 dan 2017.
Kedua, pengendali dari Singapura, Aidil Sharin bakal bergandingan dengan Victor Andrag sebagai pengendali bermula musim akan datang. Menariknya, kedua-dua jurulatih ini mempunyai pengalaman cukup luas bekerja dengan pemain muda.
Aidil melakukan tugas beliau dengan cukup cemerlang di Singapura pada musim lalu, sehingga berjaya membawa Home United muncul juara di Piala AFC Zon ASEAN. Manakala Victor telah mengemudi skuad Piala Presiden Kedah sehingga ke perlawanan akhir sebelum tewas kepada Terengganu pada musim lalu.
Enam pemain utama sah tidak akan bersama Kedah untuk musim hadapan-termasuk lima pemain import dan Syazwan Zainon yang sudah sah menyertai Selangor pada musim hadapan. Beberapa pemain lain turut dijangka akan berbuat demikian di dalam tempoh dua bulan akan datang, indikasi jelas Kedah pada tahun hadapan sah berwajah baharu.
Seruan logo legasi dikembalikan
Baru-baru ini terdapat cadangan dari kumpulan penyokong agar Kedah FA mengembalikan logo lama yang pernah menjadi simbol kebangkitan bola sepak dari utara tanah air itu di Liga Malaysia pada era 1990-an.
Alasan mereka mudah. Logo tersebut kaya dan mengandungi sejarah bola sepak negeri Kedah, dan mempunyai auranya yang tersendiri. Cadangan tersebut dikemukakan kepada Presiden KFA, Datuk Mukhriz baru-baru ini dalam satu sesi perjumpaan dengan penyokong. Cadangan tersebut mendapat reaksi positif dari Menteri Besar Kedah itu yang berjanji untuk melakukan kajian terhadap cadangan tersebut terlebih dahulu.
Satu perkara yang pasti ialah. Lambang Lang Merah yang terpapar di logo sedia ada akan hilang, jika logo bertemakan bunga alamanda dikembalikan sebagai logo Kedah FA. Persoalannya sekarang, adakah Sang Kenari turut akan kembali mewarnai bola sepak negeri Kedah selepas ini?
Kenari atau Helang Merah ? Sokongan harus sama!
Sang Kenari dan logo legasi bertemakan bunga alamanda adalah simbolik gemilang lampau Hijau Kuning. Manakala Helang Merah pula dalam langkah besar cetusan Presiden Kedah FA pada ketika itu untuk membawa pembaharuan di persada bola sepak Malaysia pada ketika itu.
Ada penyokong masih selesa dan dalam proses untuk move on untuk menerima Helang Merah. Ada pula yang mengambil pendekatan untuk tidak membincangkannya dan lebih terbuka di dalam hal ini. Apapun, tidak bermakna mereka tidak suka dengan Helang Merah ataupun Kenari, sebaliknya ia melibatkan nilai sentimental.
Yang pasti mereka adalah penyokong Kedah sejati. Kenari atau Helang Merah, satu perkara yang pasti ialah semua pihak baik pengurusan pasukan, jurulatih, pemain dan penyokong haruslah bersatu hati untuk berhadapan dengan cabaran baharu pada musim hadapan.
Kami mahu mendengar dari penyokong Kedah, adakah jiwa anda masih lagi kuat ke arah Kenari dan logo alamanda atau pun sebaliknya?