Quantcast

BERITA

Presiden PAFA Umum Letak Jawatan, Mahu Beri Fokus Kepada Politik

Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Hasnul Zulkarnain Abd Munaim mengumumkan perletakan jawatan beliau bersama badan induk bola sepak negeri itu sebentar tadi.

Hasnul yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong dilantik sebagai Presiden baharu PAFA pada Kongres Tahunan ke-60 persatuan itu pada Julai lalu.

Bercakap di dalam satu sidang media khas PAFA sebentar tadi, Hasnul berkata keputusan tersebut bukan atas desakan pihak-pihak tertentu tetapi dilakukan kerana mahu memberikan lebih tumpuan kepada kerjaya politik dan tugas beliau sebagai seorang pemimpin di DUN Titi Serong.

Presiden PAFA. Hasnul Zulkarnain Abd Munaim.

Selain mewakili DUN Titi Serong, Hasnul juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, NGO dan Pembangunan Koperasi Negeri Perak.

“Tempoh lima bulan yang saya menerajuinya (PAFA) ialah satu tempoh yang sangat mencabar, satu pengalaman hidup yang sukar diperolehi oleh mana-mana orang,” ujar beliau dalam sidang media berkenaan.

“Ketika saya memegang jawatan ini dalam pc (sidang media) pertama saya, saya (mengatakan) ingin membawa pasukan Perak ke perlawanan akhir Piala Malaysia. Saya kira saya telah melaksanakannya, dan pada masa yang sama siapa sangka Perak menjuarai Piala Malaysia setelah 18 tahun kita menagih piala itu ke bumi Perak.

Hasnul meraikan kejuaraan Piala Malaysia bersama pemain dan jurulatih sabtu lalu. FOTO: Suffi Sahar

“Sebab-sebab perletakkan jawatan ini, saya fikir ada fokus lebih besar untuk saya sebagai seorang pemimpin kerajaan negeri dan juga kerjaya politik.

“Tidak ada desakan daripada mana-mana pihak. Cuma saya memikirkan ada sesuatu yang saya perlu fikirkan secara positif. Sejak menilai seminggu dua ini..penumpuan kerja saya agak sedikit terganggu.

“Fokus saya (kepada PAFA) tidak pernah hilang, sehinggalah kepada lewat sehari dua ini, saya kira perlu melakukan sesuatu. Sukan ini perlu diteruskan dengan cara yang lebih sihat. Tidak ada unsur-unsur yang cuba menyakiti pihak lain, dan saya tegaskan kami yang berada di sini tiada kepentingan peribadi dalam menerajui PAFA,” jelas beliau lagi.

Hasnul sebelum ini pernah menimbulkan kemarahan penyokong Perak berikutan tersebarnya gambar kontroversi beliau bersama trofi Piala Malaysia yang dianggap sebagai tidak menghormati piala dan pasukan Perak.

Hasnul juga berkata beliau akan menghantar surat perletakkan jawatan tersebut seberapa segera untuk kelulusan EXCO.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!