Malaysia secara rasminya bakal berdepan dua aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 pada bulan September ini dengan Syria dan China sah akan menjadi lawan buat skuad kebangsaan.
Perkara ini disahkan sendiri menerusi laporan dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) iaitu Noor Azman Hj Rahman dengan menyatakan dua negara tersebut bakal menjadi lawan buat Harimau Malaya.
Siaran Media: Skuad Harimau Malaya Berdepan Syria & China Bagi Perlawanan Antarabangsa Tier 1, September Ini
▶️ Baca penuh di https://t.co/LkShIcMDzM#FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/3MCaRmkSan
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) July 31, 2023
Untuk rekod, Syria kini berada di tangga ke-94 dunia sementara China pula pada kedudukan ke-80 dan ini menjadi lawan yang sangat sempurna buat skuad kebangsaan untuk menguji kekuatan semasa mereka sebelum mengharungi saingan Piala Asia awal tahun hadapan.
“Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini mengumumkan bahawa skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon akan menghadapi dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Syria pada 6 September dan China pada 9 September 2023, kedua-duanya berlangsung di Chengdu, China.
“Berdasarkan Ranking FIFA terbaharu yang dikemas kini pada 20 Julai lalu, Malaysia berada di kedudukan ke-136 dunia, sementara Syria di kedudukan ke-94 dunia dan China di kedudukan ke-80 dunia.
“Pengesahan bagi kedua-dua perlawanan ini dibuat menerusi penelitian dan perbincangan bersama di antara pihak pengurusan bersama Pan Gon sendiri selepas majlis undian Pusingan 2, Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, Khamis lalu (27 Julai 2023),” jelas kenyataan tersebut.
Sebelum ini, FAM dilaporkan sudah pun mengadakan perbincangan bersama Mesir untuk mengadakan aksi persahabatan pada bulan September selain menjadikan China sebagai lawan mereka.
Namun, ianya tidak dapat diadakan selepas jarak yang terlalu jauh antara China dan Mesir menyaksikan segalanya sukar untuk direalisasikan pada bulan September ini.
Ketika ini, skuad kebangsaan boleh dianggap berada dalam momentum terbaik untuk menghadapi aksi persahabatan peringkat antarabangsa, selepas Kim Pan-gon tampil cemerlang menguruskan pasukan dengan begitu baik.
Malah, dua kemenangan besar Malaysia sebelum itu ketika berdepan Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea menjadi saksi Harimau Malaya kini bersedia untuk berdepan lawan lebih kuat.
Keputusan Masa Penuh
Perlawanan Antarabangsa Tier 1 | Selasa, 20 Jun 2023
MALAYSIA 🇲🇾 10-0 🇵🇬 PAPUA NEW GUINEA
⚽️ Safawi Rasid 45'+4 (P) Paulo Josue 52' 64' 70' Arif Aiman Hanapi 57' 60' 87' 89' Faisal Halim 59' Daniel Ting 76'#FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/TaVvxlcP0o
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) June 20, 2023
Tampil dengan rombakan para pemain kebangsaan, kehadiran Kim jelas membantu Malaysia untuk tampil lebih baik dalam sukan bola sepak di pentas dunia dan ranking semasa juga menunjukkan segalanya positif buat Harimau Malaya.
Dua aksi persahabatan ini jelas memberi peluang buat skuad kebangsaan untuk terus memperbaiki ranking semasa mereka jika segalanya tampil positif ketika berdepan Syria dan China.
Apapun, lebih menarik ketika ini untk memperkatakan tentang senarai pemain yang bakal dibawa Kim ke China dengan jangkaan mungkin akan ada muka-muka baharu akan diberi pendedahan di sana.