Kami memberi jaminan selepas membaca kisah ini, anda pasti lebih cintakan bola sepak.
Kami perkenalkan anda dengan watak utama cerita ini, Santiago Fretes, 10, peminat fanatik Racing Club di liga Argentina.
Santiago dilahirkan kudung di kaki kanannya. Tetapi ia langsung tak menghalangnya untuk menjadi seperti kanak-kanak Argentina yang lain iaitu gemar bermain bola sepak di atas jalan.
Jika anda merasakan naratif ini sahaja sudah cukup mangharukan, anda perlu baca apa yang Santiago lakukan pada hari Sabtu, 21 Mei 2016 yang lepas.
Lihat aksi terakhir Diego Milito
Hari Sabtu, 21 Mei 2016 yang lepas merupakan hari terakhir idola Santiago dan ikon Racing Club, Diego Milito bermain secara profesional sebelum mengambil keputusan untuk bersara.
Tak mahu terlepas melihat aksi terakhir bekas penyerang Internazionale itu, Santiago mengajak ibunya, Sabrina Bonomo ke stadium untuk menonton perlawanan Racing Club menentang Temperley.
Seperti biasa sebelum perlawanan bermula, kanak-kanak di Argentina akan bermain bola sepak dahulu di gelanggang berhampiran stadium. Walaupun kudung sebelah kaki kanan, Santiago tidak kekok bermain dengan kanak-kanak normal yang lain.
“Saya rasa saya pemain paling pantas (di gelanggang),” kata Santiago dengan penuh rasa bangga kepada wartawan akhbar El Argentino.
Perlawanan tersebut berakhir dengan sempurna buat Santiago. Ini kerana pasukan kegemarannya, Racing Club menang 2-0 dan idolanya, Diego Milito berjaya menjaringkan satu gol menerusi penalti.
Tamat perlawanan, Santiago yang ditemani ibunya mengajak seorang kawannya dari gelanggang untuk melihat upacara perpisahanan Diego Milito dengan lebih dekat.
“Saya tak tahu nama dia. Tapi saya kenal dia dari gelanggang yang kami main sebelum menonton perlawanan,” kata Santiago ketika diminta memperkenalkan kawannya.
“Kami hanya mahu tengok Milito dengan lebih dekat dan sapa ‘hola’ dengannya.”
Bagaimanapun, Santiago dan kawannya hampir tak dapat menyaksikan Diego Milito dengan lebih dekat kerana ketinggian benteng yang melebihi ketinggian mereka.
Untuk menyelesaikan masalah benteng yang terlalu tinggi untuk mereka, Santiago menyandarkan dua tongkatnya ke dinding benteng. Satu untuk beliau. Satu untuk kawannya.
Kemudian mereka memanjat tongkat tersebut. Serta-merta mereka dapat melihat Diego Milito dengan lebih dekat.
Ibu Santiago yang menangkap gambar ikonik ini berkata:
“Santi sentiasa berkawan dengan budak tersebut walaupun dia sendiri tak tahu nama kawannya. Apabila melihat ada dinding yang tinggi, Santi memanjat dengan menggunakan tongkatnya.”
“Kemudian dia meminjamkan satu lagi tongkatnya kepada kawannya. Saya rasa sangat terharu lalu terus mengambil gambar tersebut.”
“Saya juga menasihatinya supaya berhati-hati kerana dua tongkat itu sahajalah yang dia ada!”
Janji palsu kerajaan Argentina
Gambar yang diambil oleh ibu Santiago tersebar viral di Internet. Konteks gambarnya sahaja sudah cukup menceritakan apa yang seribu perkataan tak mampu jelaskan.
Selepas video Santiago bermain bola sepak di gelanggang berhampiran stadium tersebar viral pada tahun lepas, ramai pihak datang ke rumahnya untuk menghulurkan bantuan dan tajaan membeli kaki palsu.
“Santi mula guna kaki palsu, tetapi ia terlalu berat untuk dia bermain bola. Saya pula baru hilang pekerjaan, Jadi saya tak mampu nak beli kaki palsu baru untuknya,” kata ibu Santiago.
Ibu Santiago turut menjelaskan pegawai Kementerian Kesihatan ada datang menjenguknya dan berjanji untuk menguruskan pembelian kaki palsu anaknya yang lebih ringan.
“Pegawai itu turut berkata saya tak perlu terima derma orang ramai lagi. Tapi sampai sekarang janji beliau tidak ditunaikan,” jelas ibu Santiago lagi.
Kini dengan gambar viral Santi ini, ibu Santiago mengharapkan anaknya mendapat bantuan pihak kerajaan. Cuma kali ini, beliau berharap mereka menunaikan janji mereka untuk membantu Santiago.
Baca juga: Liga Argentina (Primera Division): Liga Dengan 30 Pasukan