Musim lalu, Risto Mitrevski merupakan kapten Sabah FC dan ketiadaannya musim ini selepas kontraknya tidak disambung, terdapat ura-ura yang bekas kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar akan diangkat sebagai kapten.
Adakah Sabah akan memberikan lilitan kapten kepada Baddrol Bakhtiar yang baru sahaja menyertai pasukan? Segalanya terserah kepada perancangan pengendali, Datuk Ong Kim Swee tentang peranan kepadanya.
Kemasukkan Baddrol Bakhtiar dilihat sebagai pemberi impak segera yang mungkin mahu disuntik oleh Kim Swee agar skuadnya lebih ‘matang’ musim 2022. Selainnya, terdapat beberapa lagi pemain berpengalaman sepertinya turut menyertai revolusi di The Rhinos antaranya Rizal Ghazali dan Khairul Fahmi Che Mat.
Mereka turut disertai bekas kapten Harimau Muda kendalian Kim Swee, Irfan Fazail. Nampaknya Sabah kini dibarisi oleh pemain-pemain yang memiliki aura sebagai kapten selain anak tempatan, Rawilson Batuil.
Jadi, seberapa layakkah Baddrol Bakhtiar untuk dilantik menjadi ketua pasukan Sabah musim depan?
Pengalaman luas sebagai kapten
Selain menjadi kapten buat skuad Kedah untuk beberapa musim dan menjulang pelbagai kejuaraan bersama mereka, Baddrol Bakhtiar juga pernah menjadi kapten skuad kebangsaan. Baru-baru ini dalam saingan Piala AFF Suzuki 2020, beliau merupakan penolong kepada Aidil Zafuan, yang merupakan kapten Harimau Malaya.
Beliau juga dilantik untuk mengetuai skuad Sukan SEA 2011 ketika Malaysia berjaya mempertahanankan pingat emas di bumi Indonesia. Malaysia menang 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat 1-1 dengan Indonesia dalam masa sebenar. Dan, beliau menjadi penjaring gol kemenangan negara di sepakan terakhir.
‘Rasa Nak Jadi Pemain Terakhir’ – Komen Baddrol Bakhtiar Mengenai ‘Gol Emasnya’
Sifat kepimpinan yang dimilikinya
Ini adalah salah satu kekuatan Baddrol Bakhtiar. Beliau diakui memiliki sifat kepimpinan oleh Kim Swee dan bekas rakan sepasukannya, Syazwan Zainon yang kini mungkin bakal mengambil alih peranannya di Kedah.
Bercakap kepada HarimauMalaya, Kim Swee dilihat menyatakan, “Kalau kita tengok Baddrol [Bakhtiar], beliau merupakan antara pemain yang paling tenang di padang dalam apa sahaja situasi, jadi secara tidak langsung ia akan memberi impak kepada seluruh pasukan.” Ini cukup menjadi indikasi beliau antara calon utama Kim Swee.
“Baddrol sentiasa menjadi tulang belakang pasukan dengan sentiasa meniupkan kata-kata yang luar biasa tiap kali beraksi dan sekiranya jika kami ketinggalan, dia tahu cara membakar semangat pemain untuk bangkit,” jelas Syazwan Zainon kepada MFL mengenai pemain yang dinobat penjaring tempatan terbanyak Liga Super 2021.
10 years ago we won Gold in the SEA Games. What a talented team we had at the time captained by Baddrol with Khairul Fahmi as assistant. Not to forget, Irfan Fazail at just 20 but played like a leader. Great memories. 🇲🇾🇮🇩 pic.twitter.com/SFUBMF6vZ8
— OKS (@OKS_Rhinos) November 21, 2021
‘Keintiman’ Baddrol dan Kim Swee
Harus diakui, kedua-dua individu ini amat ‘intim’. Kim Swee sentiasa menjadikan Baddrol Bakhtiar sebagai pemain pilihannya ketika bersama skuad muda dan skuad kebangsaan. Ia semakin jelas apabila panggilan Kim Swee buatnya untuk menyertai The Rhinos disahut oleh pemain yang bakal menginjak ke usia 34 tahun ini.
Seorang ketua pasukan harus rapat dengan pengendali dan memahami bagaimana kehendak pengendalinya.
Malah, Kim Swee pernah berkata, “Selepas saya membuat keputusan untuk ke Sabah, Baddrol adalah pemain pertama yang saya inginkan.” Ini memberi petanda bahawa pemain itu adalah pemain kepercayaannya dan pasukan Sabah bakal diserahkan kepada Baddrol Bakhtiar untuk dijadikan ketua pasukan musim 2022.