Penajaan merupakan elemen paling penting untuk pasukan bagi memastikan segalanya berjalan lancar tanpa ada apa-apa isu berbangkit terutama dari segi kewangan.
Wakil dari Kuala Kangsar, Budak Rumah Murah (BRM) yang bermain di Liga M3 mungkin terpaksa menarik diri dari meneruskan perjuangan selepas mengalami sedikit isu mengenai tajaan.
Untuk rekod, pasukan tersebut baru sahaja memperkenalkan pemain serta jersi untuk musim baharu 2023.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Ghafari Nasir, disebabkan isu penajaan dari syarikat rokok elektronik menyebabkan ahli lembaga pengarah kelab akan bermesyuarat dan membuat keputusan dalam masa yang terdekat bagi menentukan hala tuju pasukan.
BRM terpaksa memikirkan kembali soal tajaan selepas ia mendapat respon yang kurang baik daripada orang ramai kerana ia melibatkan vape dan ini menyebabkan mendapat tentangan dari peminat mereka.
“Kami memohon maaf kepada semua pihak yang terkesan dengan perkara yang berlaku berkaitan isu penajaan dari sebuah syarikat rokok elektronik.
“Rentetan isu ini, berkebarangkalian besar pasukan Kuala Kangsar BRM FC akan menarik diri dari saingan Liga M3 2023 atas masalah penajaan yang kami hadapi,” kata BRM dalam kenyataan mereka.
Jika ini terjadi, ia akan memberi pelbagai masalah terutama organisasi yang menguruskan liga tersebut iaitu Amatuer Football League(AFL) dan pasukan yang terlibat.
AFL mungkin terpaksa melihat kembali jadual agar ia tidak memberi kesan kepada pasukan yang lain.
Kurang dari dua minggu sebelum sepak mula Liga M3 pada 4 Mac, pasti ia memberi kesukaran kepada wakil Perak ini mendapatkan tajaan buat pasukan.
Dengan keadaan yang terdesak seperti ini, jika silap percaturan terutamanya bab kewangan akan memberi kesan sangat buruk kepada pasukan.
Di Malaysia, untuk mendapatkan penajaan ini bukan sesuatu yang mudah kerana tidak ramai badan korporat yang sanggup mengeluarkan dana untuk sesebuah pasukan apatah lagi jika bermain di liga peringkat rendah.
Apa pun keputusannya nanti, diharap BRM akan meneruskan saingan musim ini dan akan mendapatkan penajaan yang benar-benar mempunyai minat di dalam bola sepak.