Malaysia akan turun dalam aksi terakhir Kumpulan J berdepan musuh setempat, Thailand dan tentunya hanya kemenangan yang dicari pengendali, Brad Maloney sambil berkata mereka akan kekalkan permainan sedia ada.
Ini kerana menurutnya, tiada apa yang perlu diubahnya kerana Malaysia telah mempamerkan aksi yang baik walaupun hanya meledak dua gol. Mungkin beliau hanya akan tekankan aspek penyudah yang jelas menghantui skuad B-22 negara apabila tiga kali percubaan mereka singgah di palang ketika berdepan Laos dan Mongolia.
Di saat pengendali Thailand, Worrawot Srimaka menegaskan sudah temui cara untuk tundukkan Malaysia, Brad Maloney pula dilihat dengan tenang menyatakan yang skuad negara tidak akan mengubah permainan mereka.
Adakah ini satu perang psikologi daripada Brad Maloney agar Thailand berasa taktikal permainan Malaysia sudah di gengaman mereka? Segalanya bakal terjawab pada tengah hari nanti dalam aksi terakhir mereka.
Ujarnya kepada media, “Pertamanya, permainan kami tidak akan berubah. Ia tampak menjadi buat kami dalam dua aksi sebelum ini, jadi kami tidak perlu mengubah dengan banyak dan ia juga sama dalam aksi terakhir.”
“Kita akan kekal dengan pendekatan kita yang menjadi sehingga sekarang. Kami akan turun sebagaimana selalunya dalam aksi berdepan Thailand,” tegasnya dengan jawapan yang sama iaitu kekalkan pendekatan.
Highlights Mongolia U23 0 – 1 Malaysia U23 https://t.co/ZjgxQaYvTy
— TERENGGANU 11 (@11Terengganu) October 28, 2021
Dalam dua aksi sebelum ini dapat dilihat anak buah Brad Maloney akan melihat terlebih dahulu bagaimana perancangan pasukan lawan sebelum memulakan permainan sebenar mereka apabila sudah mendapat rentak.
Namun, dalam dua aksi berdepan Laos dan Mongolia, jelas skuad negara perlu menajamkan lagi penyudah mereka terutamanya percubaan jarak jauh. Antara pemain yang telah menggegar palang gol lawan adalah Nik Akif Syahiran dan kapten, Mukhairi Ajmal yang mana jika disudahkan, ia memberikan defisit yang lebih.
Dua gol Malaysia dalam kedua-dua perlawanan hadir menerusi penyudah pemain berusia 21 tahun, Azfar Fikri Azhar ketika pasukan lawan sibuk mencatur benteng mereka untuk menyekat pergerakan Luqman Hakim.
Ia jelas satu kelebihan buat Harimau Muda apabila memiliki pemain tumpuan seperti Luqman Hakim.
“Jelas sekali Thailand adalah pasukan yang bagus dan mereka merupakan pasukan pilihan untuk mara. Kami hormati kemampuan mereka. Namun, kami akan kekal dengan pendekatan dan permainan kami dan kami jangkakan ia satu aksi kompetitif daripada Thailand dalam perlawanan itu nanti,” ungkapnya tentang lawan.
“Kita tahu mereka miliki beberapa pemain berkualiti dan mereka mengambil serius kelayakan kali ini dengan membawa pulang beberapa pemain daripada luar negara. Bagi kami, keseluruhan pasukan mereka adalah berbahaya dan kami tidak akan fokus kepada pemain-pemain tertentu sahaja,” jelas Brad Maloney lagi.