Kelayakan AFC B-23: Malaysia Sah ‘Terbang’ Ke Pusingan Akhir, Juarai Saingan Kumpulan J

Malaysia Thailand Kelayakan Piala Asia B-23

Malaysia mara buat kali kedua secara merit ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2022 – mengulangi pencapaian edisi 2018 apabila mengikat pasukan pilihan, Thailand dengan keputusan seri tanpa jaringan, sebentar tadi.

Malaysia menjuarai saingan peringkat Kumpulan J dengan tujuh mata, dua mata di depan Thailand dan sah akan terbang terus ke Uzbekistan pada Jun tahun depan, sementara Thailand perlu menanti keputusan empat kedudukan kedua terbaik daripada semua kumpulan untuk menentukan sama ada mereka layak atau tidak.

Kedua-dua pasukan mempamerkan penguasaan seimbang dengan saling cuba mencatur asakan. Namun, kekentalan benteng kedua-dua pasukan menyaksikan asakan yang cuba diatur gagal menjelmakan sesuatu.

Brad Maloney menukar jentera serangannya sekali lagi dalam tiga aksi apabila mempertaruhkan Azhad Harraz selaku penyerang utama dan dibantu Luqman Hakim Shamsudin serta Azfar Fikri di sebelah kanan dan kiri.

Thailand turun dengan formasi 4-4-2 mempertaruhkan penyerang Oxford United, Benjamin Davies bergandingan bersama Jakkit Palapon dilihat kurang mengasak ke kawasan defensive third Harimau Muda. Keberkesanan gandingan tiga bek tengah antara Zikri Khalili, Harith Haiqal dan Azrin Afiq berjaya membendung asakan.

Pengendali Thailand, Worrawot Srimaka membuat dua pertukaran dalam tempoh 20 minit pertama dengan cuba memperbaiki jentera tengah dan serangan menyaksikan Benjamin Davies turut dikeluarkan. Pertukaran tersebut membantu Thailand untuk kembali ke dalam permainan dengan mula mengasak ke kubu Malaysia.

Kawasan defensive third Gajah Perang tampak kompak menyukarkan aliran pergerakan bola antara pemain-pemain Malaysia. Walaupun banyak mengasak, namun sukar buat jentera serangan negara memecahkannya.

Percubaan pertama perlawanan hanya tiba pada minit ke-37 menerusi rembatan tersasar oleh Azhad Harraz. Jelas pertembungan yang berbeza berbanding dua aksi sebelum ini yang merupakan pertembungan fizikal, namun kali ini, kedua-dua pasukan cuba mempamerkan sentuhan teknikal dan taktikal yang lebih teratur.

Harimau Muda turun di babak kedua dengan dimensi berbeza di jentera depan apabila Aiman Afif dimasukkan menggantikan Azhad Harraz. Begitupun, Thailand masih gagah bertahan setiap asakan skuad negara.

Minit ke-62, Malaysia terlepas peluang besar untuk jaringan pertama perlawanan apabila tandukkan Harith Haiqal hanya sekadar singgah ke palang selepas menerima bola daripada sepakan penjuru Mukhairi Ajmal. Sepuluh minit kemudian, sekali lagi Malaysia hadir, namun Azfar Fikri gagal menyambar bola di depan gol.

Menuju sepuluh minit terakhir, Brad Maloney cuba untuk bermain lebih ofensif dan menambah kekuatan jentera depan dengan membuat tiga pertukaran, memasukkan Quentin Cheng, Umar Hakeem serta Syafik Ismail.

Penjaga gol skuad negara, Azri Ghani yang dilihat berehat sepanjang perlawanan akhirnya diuji di penghujung perlawanan menerusi rembatan deras Thanawat Suengchitthawon yang berjaya ditepisnya dengan cemerlang untuk menafikan gol seterusnya perlawanan berkesudahan dengan keputusan seri tanpa jaringan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN