Borussia Dortmund Minta Manchester United Jangan Sembang Banyak

Borussia Dortmund memberi amaran kepada Manchester United supaya membayar harga €110 juta untuk mula bercakap dengan Jadon Sancho atau jangan kacau pemain mereka itu terus.

Amaran tersebut diberikan oleh pengarah urusannya, Hans-Joachim Watzke.

Dortmund dilaporkan berang dengan tindakan United yang sudah memulakan perbincangan dengan ejen Sancho, Elite Project Group Ltd, tetapi masih tidak membuat apa-apa perbincangan dengan pengurusan tertinggi mereka.

Dortmund dilaporkan meletak harga €110 juta (£98 juta) kepada Jadon Sancho selepas penyerang sayap muda mereka itu menarik minat beberapa kelab Premier League, terutamanya Manchester United.

Kelab Bundesliga itu turut memberi amaran bahawa harga tersebut tidak akan turun walaupun selepas wabak COVID-19 berakhir di Eropah.

Penularan wabak pandemik tersebut memaksa kebanyakan liga utama di Eropah ditunda. Ini menyebabkan prestasi kewangan banyak kelab terjejas berikutan kehilangan sumber pendapatan daripada hak penyiaran dan tiket.

Sebelum ini Semuanya BOLA pernah melaporkan pemain Barcelona akan mengambil potongan gaji sebanyak 70% untuk membantu kelab mereka menangani masalah kewangan yang disebabkan oleh wabak COVID-19.

Sancho pemain muda paling berharga

Dalam laporan lain, CIES Football Observatory mendedahkan Jadon Sancho merupakan pemain muda paling mahal di dunia ketika ini. Badan statistik sukan dari Switzerland ini menganggarkan nilai pasaran pemain England tersebut adalah sebanyak €198.5 juta.

Jika nilai ini diambil kira, harga yang ditetapkan oleh Dortmund kepada mana-mana kelab yang mahu membeli Sancho itu sebenarnya boleh dianggap murah.

CIES Football Observatory turut memberitahu nilai pasaran Sancho ketika ini telah mencapai puncaknya.

Semalam wartawan Fabrizio Romano melaporkan Dortmund meletak tanda harga sebanyak €110 juta kepada Sancho. Dan harga itu juga tiada diskaun selepas wabak COVID-19 berakhir.

Sancho mempunyai baki kontrak bersama Dortmund selama dua tahun, sehingga 2022.

Seorang lagi pemain muda Dortmund yang dijangka akan menjadi rebutan kelab-kelab besar di Eropah adalah Erling Haaland.

CIES Football Observatory menganggarkan nilai pasaran penyerang Norway tersebut adalah sebanyak €101 juta. Nilai pasaran Haaland juga diramalkan masih mempunyai ruang untuk naik lagi dalam masa beberapa tahun.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Jadon Sancho:

Leave a Reply