Membaca Pemikiran TMJ Tentang Globalisasi Dalam Bola Sepak Dan Kepentingan Pertambahan Divisyen

Antara perkara yang disentuh oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Mahkota Johor (TMJ) dalam sidang media yang disiarkan di laman media sosial Facebook badan induk bola sepak negara itu semalam ialah mengenai industri bola sepak global dan  perlunya struktur liga yang kompetitif.

Kedua-dua perkara ini sebenarnya berkait secara langsung. Apa yang boleh kita fahami daripada titah baginda semalam?

Hidup di dalam sebuah negara, kita mungkin mempunyai pendapat yang berbeza. Tetapi ia bukan sebab untuk kita menafikan secara total apa yang diperkatakan oleh baginda.

Antara yang menarik perhatian kami ialah apabila baginda menyentuh perihal struktur liga yang kompetitif. Ia bukan sekadar mengenai penganjuran bola sepak yang berdaya saing untuk penghasilan pemain bagi mewakili skuad kebangsaan.

Sumber: FAM, Facebook.

Lebih daripada itu, ia turut menyentuh sistem pengurusan kelab-kelab yang bertanding; juga bola sepak sebagai satu industri yang mampu menjana kewangan serta pendapatan yang lumayan.

Sepertimana di dalam industri dan perusahaan lain, kita tidak boleh menafikan bola sepak turut telah mengalami perubahan. Bola sepak dunia telah mengalami revolusi secara global di seluruh dunia, melibatkan transaksi kewangan berbillion dollar.

Bola sepak di Malaysia tidak terkecuali. Persoalannya: Adakah kita bersedia untuk bersaing di dalam industri ini di peringkat global?

Kali ini penulis ingin mengajak anda memahami apakah perkara tersirat di sebalik struktur liga dan bola sepak yang mampu bersaing di peringkat global seperti yang dititahkan Presiden FAM, Tunku Mahkota Johor.

Apa itu globalisasi?

Sebelum itu, kita fahami maksud globalisasi. Secara mudahnya globalisasi adalah merujuk kepada dunia yang berada di satu unit.

Sebagai contoh, seorang pelancong Jepun yang berkunjung ke Malaysia akan mendapat banyak perkara daripada Jepun di sini termasuk Sushi dan juga hotel berkonsepkan Jepun.

Jadi, sekarang ini, globalisasi telah membuka kepada perkongsian satu budaya yang dahulunya dianggap asing di bawah satu bumbung.

Dalam industri bola sepak, kita perlu bergerak seiring dengan dunia luar. Walaupun kita sudah jauh ketinggalan, kita jangan pula jadi pegun dan statik.

Globalisasi dalam bola sepak yang akan membuatkan bola sepak kita berinteraksi dengan dunia luar dan model pengurusan kita sesuai dengan iklim bola sepak semasa.  Walaupun tak dapat seiring atau mengejar, jangan pula kita tidak bergerak langsung.

Urusan jual beli pemain

Berdasarkan maklumat daripada FIFA, sebanyak 15,291 perpindahan antarabangsa pemain direkodkan pada 2017, melibatkan jumlah transaksi bernilai melebihi USD4 billion. Ini adalah nilai rekod terbesar yang pernah direkodkan di dalam bola sepak.

Perpindahan antarabangsa melibatkan perpindahan pemain daripada satu negara ke negara lain. Manakala perpindahan domestik ialah perpindahan melibatkan 2 buah kelab dari negara yang sama.

Nilai perpindahan 2016 berbanding 2015. Sumber: FIFA

Nilai yang dinyatakan di atas dijangka kekal untuk tahun ini, kerana jendela perpindahan terbesar disumbang dari eropah, hanya akan dibuka pada Januari 2018.

Untuk rekod, Januari 2017 menunjukkan peningkatan 25% nilai transaksi, berbanding USD4.8 billion yang dicatatkan pada 2016 pada keseluruhan transaksi.

Perubahan iklim industri bola sepak di China

Sebelum kita mengalihkan pandangan kita ke China, mari kita bertanya kepada diri sendiri. Apakah penyebab kepada nilai transaksi kewangan yang tinggi di dalam bola sepak global?

Menurut seorang pakar kewangan di dalam bola sepak dari Portland Advisers iaitu Harry Philip, terdapat 2 sebab utama yang menjadi penyumbang kepada nilai transaksi sebegini pada hari ini.

(Photo credit should read STR/AFP/Getty Images)

Perkara pertama ialah disebabkan kuasa kewangan dan keinginan China untuk muncul sebagai kuasa besar dalam industri bola sepak dunia.

Manakala perkara kedua ialah jumlah yuran perpindahan yang dibelanjakan oleh kelab-kelab Inggeris yang dijana melalui hak penyiaran sebagai tunjang utama kewangan khususnya di EPL.

Ini adalah 2 faktor yang turut menjadikan industri bola sepak terus meningkat naik di dalam peringkat global.

Untuk rekod, kelab-kelab di China telah membelanjakan USD451 juta untuk mendapatkan pemain pada tahun lepas, merekodkan peningkatan sebanyak 168% dari tahun sebelumnya.

(Photo by Frank Coppi/Popperfoto/Getty Images)

Nilai tersebut menjadikan China sebagai negara ke-5 dengan transaksi terbesar di dunia selepas England, Jerman, Itali dan Sepanyol.

Peningkatan mendadak perbelanjaan oleh China tidak pernah berlaku di mana-mana negara sebelum ini. Apakah faktor yang mendorong mereka untuk berbuat demikian?

Salah satu faktor yang mendorong China berbuat demikian ialah kerana mahukan kualiti dan standard bola sepak di negara mereka dipertingkatkan, sebelum menanam impian lain.

Ini sekaligus berupaya membantu skuad kebangsaan mereka untuk ke Piala Dunia, setelah sejak penampilan kali pertama mereka  dalam kejohanan tersebut ialah pada 2002.

(Photo by VCG/VCG via Getty Images)

Peningkatan pelaburan di dalam bola sepak di China turut diinspirasikan oleh Presiden Xi Jinping. Objektif mereka bukan sekadar melayakkan diri ke Piala Dunia. Blueprint bola sepak China mensasarkan mereka untuk memenangi kejohanan tersebut.

China gagal ke Piala Dunia 2018. Adakah ini bermakna mereka gagal? Sama sekali tidak.

Ia adalah perancangan jangka masa panjang. Ia adalah satu proses sehingga mereka mampu menghasilkan pemain sendiri untuk dieksport keluar sebelum bersaing secara kompetitif di peringkat global.

Brazil sebagai kuasa eksport dunia

Secara keseluruhan China membawa masuk ramai pemain daripada liga utama di eropah sejak beberapa tahun yang lalu. Namun tidak semestinya pemain ini bukan berasal daripada negara Eropah.

Majoriti daripada pemain asing ini berasal daripada Amerika Selatan. Ini tidak menghairankan dengan FIFA turut merekodkan pemain yang berasal daripada Argentina dan Brazil adalah yang paling ramai beraksi secara global.

(Photo credit should read YASUYOSHI CHIBA/AFP/GettyImages)

Tidak kurang juga ada di antara mereka yang telah menukar kerakyatan untuk membenarkan mereka beraksi di pentas antarabangsa, mewakili negara-negara ‘angkat’ di mana mereka bermastautin.

Tanpa mengira sejauh mana kejayaan yang telah dicapai oleh negara masing-masing di peringkat antarabangsa, Brazil adalah salah satu contoh negara yang terus menyumbang bakat baru di dalam bola sepak secara global.

Ini bermakna bola sepak telah menjadi fenomena baru dalam pembangunan sosio ekonomi dunia. Sukan ini telah menjadi salah satu kaedah untuk anak muda yang berbakat di dalam bola sepak untuk menjana pendapatan dan membantu keluarga keluar dari garis kemiskinan.

Hari ini Brazil bukan sahaja menghasilkan pemain untuk kegunaan skuad kebangsaan mereka. Malah bola sepak pada hari ini telah menyaksikan bakat daripada Brazil memperagakan aksi mereka di 118 buah negara.

Untuk tahun 2016, Brazil telah menjana USD594 juta hasil penjualan pemain. Ia bukanlah nilai tertinggi. Tetapi Brazil mempunyai pemain bola sepak teramai beraksi di liga bola sepak di seluruh dunia.

Globalisasi bola sepak di Malaysia, apa isu semasa?

Jika industri bola sepak di China dan Brazil dijadikan ukuran, bola sepak di Malaysia belum wajar diangkat sebagai sebuah industri yang memberikan pulangan.

Beberapa aspek seperti corak pengurusan pasukan, pendidikan dan kesedaran profesionalism pemain serta jurulatih harus diberikan penekanan.

Sumber: Football Malaysia LLP

Untuk itu, beberapa isu semasa wajar diberikan penekanan serta menuntut ketegasan daripada Usahasama Liabititi Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) dan juga FAM sebagai badan yang bertanggungjawab akan pembangunan bola sepak di Malaysia secara menyeluruh.

Sebagai contoh, isu pelesenan kelab. Pelesenan kelab adalah penanda aras kepada kredibiliti pengurusan bola sepak pasukan-pasukan di Malaysia. Jika mereka tidak mempunyai kredibiliti, bagaimana mungkin mereka meneruskan urus tadbir sebuah pasukan bola sepak yang profesional?

Pahang lulus dalam Perlesanan FAM/AFC

Analogi ini mudah. Jika anda gagal untuk mendapatkan lesen memandu, bagaimana anda boleh dibenarkan oleh JPJ untuk memandu kenderaan di atas jalan raya?

Ia ibarat anda membahayakan pengguna jalan raya yang lain. Risiko untuk kemalangan akan ada, dan anda tahu apa akibatnya jika ianya berlaku.

Sampai bila kita harus mendengar kemelut pemain dan pegawai tidak dibayar gaji? Sampai bila kita akan melihat pasukan demi pasukan gulung tikar?

Langkah seterusnya

Pengambilan sehingga 5 pemain asing untuk beraksi di saingan Liga Super Malaysia adalah percubaan yang berani, tetapi juga sesuatu yang harus dilakukan.

Langkah sebegini dipercayai mampu mempertingkatkan nilai komersil Liga Malaysia, sekaligus menjana lebih pendapatan untuk pasukan-pasukan terus berkembang maju dan berdaya saing.

Sepertimana negara kuasa bola sepak yang lain, hak penyiaran merupakan tunjang ekonomi sesebuah pasukan. Sudah tentu liga kita akan dibayar dengan harga yang lebih tinggi jika mempunyai nilai komersil yang tinggi.

Anda boleh baca artikel: TMJ Sasarkan Setiap Pasukan Dapat Sehingga RM4 Juta Daripada Hak Penyiaran

Di atas padang, harapan kita sudah tentu pasukan dari Malaysia dan skuad kebangsaan bukan sekadar berdaya saing di peringkat domestik dan serantau.

JDT menjulang Piala Sumbangsih dan 3 mata pertama dalam Liga Super selepas menewaskan Pahang 2-0 (sumber: khairulazrin.wordpress.com)

Kita pasti mengharapkan pasukan bola sepak kita mampu bersaing di peringkat global dengan persaingan di peringkat Asia (Piala AFC & ACL), menjadi tumpuan awal, dan Piala Asia menjadi sasaran seterusnya di pentas antarabangsa.

Usaha sebegini diibaratkan langkah permulaan untuk industri bola sepak kita menuju ke peringkat global.

Jika ianya dihalang, persoalannya ialah bila lagi kita akan mulai melangkah? Tatkala negara serantau lain sudah mulai mengorak langkah, bola sepak kita akan terus ketinggalan jika tidak bermula dari sekarang.

Mempertingkat nilai komersil Liga Malaysia

Langkah FMLLP dan FAM untuk memperkenalkan lebih ramai pemain asing di dalam kancah bola sepak tempatan boleh difahami. Namun demikian, ia turut menimbulkan kegusaran ramai akan nasib pemain tempatan.

Sepatutnya setiap lapisan pengikut bola sepak tempatan memandang perkara ini dari sudut positif. Kenapa perlu kita hiraukan pemain tempatan gagal untuk bersaing? Bukankah mereka dibayar untuk kompetitif?

Sesi latihan skuad Harimau Malaya di Buriram. (Gambar: FAM)

Dengan kehadiran lebih ramai pemain asing, pemain tempatan sedia ada sepatutnya mengambil peluang daripada kehadiran pemain asing untuk belajar memperbaiki dan mencabar diri untuk pergi lebih jauh. Bukankah demikian maknanya sikap profesional?

Sepertimana yang dinyatakan oleh Presiden FAM semalam, ini adalah soal mentaliti. Pemain harus dididik untuk berjaya dan pergi lebih jauh di dalam karier masing-masing serta tidak sekadar berpuas hati dengan apa yang mereka telah capai.

‘Pool’ pemain dan struktur bola sepak baru

Pada pendapat penulis, Presiden FAM tahu apa yang beliau lakukan. Visinya jelas, iaitu untuk mengangkat martabat bola sepak negara.

Sepertimana yang dititahkan baginda melalui sidang media semalam, struktur Liga Malaysia akan diubah. Kali ini ianya dilakukan secara drastik dan dijangka akan memberi pulangan dan manfaat yang positif.

PKNP FC player Muhammad Shahrel Fikri celebrate againts Kuantan Fa in FA Cup 2017 match at Stadium Perak,Ipoh on 10 March 2017. Photo by Zulfachri Zulkifli/ www.asiana.my

Untuk permulaan, saingan Piala FA akan dibuka penyertaan untuk lebih banyak pasukan. Jika sebelum ini saingan Piala FA hanya disertai oleh pasukan dari saingan Liga Super, 100Plus Liga Premier dan juga pasukan yang bertanding dalam Liga FAM.

Pertandingan Piala FA musim hadapan akan menyaksikan penyertaan daripada pasukan yang bersaing daripada pasukan Liga Sosial dan Komuniti yang akan mewarnai kancah saingan Divisyen 4 dan Divisyen 5 Liga Malaysia musim hadapan.

Untuk saingan Divisyen 4 pada musim hadapan, ianya akan disertai oleh 2 pasukan dari setiap Liga Amatur daripada setiap negeri. Pertandingan akan dilakukan secara sistem zonal.

Bagi saingan Divisyen 5, ia akan menggabungkan 5 Liga Sosial Utama di dalam negara, iaitu Selangor Champions League, Liga Amanjaya, Terengganu Amateur League dan Liga PBNJ.

Langkah ini akan membenarkan industri bola sepak di Malaysia menghasilkan lebih ramai pemain tempatan. Pemain-pemain muda dari pasukan utama Liga Malaysia, turut dibenarkan beraksi di Divisyen 4 dan 5 secara pinjaman.

Kredit: Shah Alam Antlers

Itu adalah gambaran awal yang kami perolehi daripada wakil Liga Sosial dan Komuniti yang melakukan rundingan bersama dengan FMLLP baru-baru ini.

Untuk maklumat lanjut mengenai senarai pasukan dan format pertandingan, kita tunggu sama-sama pengumuman oleh FMLLP.

Ini sangat penting untuk dilaksanakan kerana dasar 5 pemain import yang dilaksanakan akan mengurangkan peluang anak Malaysia dalam liga utama, itu realiti dan harus diakui.

Dengan pertambahan divisyen dan membuka ruang kepada pasukan komuniti, ia akan memberikan ruang kepada pemain tempatan mendapat lebih banyak peluang.

Jadi selepas ini, jangan pula pihak scouting Vingada tidak turun ke Liga Premier ataupun divisyen lebih rendah. Harus diingat, Vingada adalah pengurus merangkap jurulatih. Dia perlu rancang sekarang talian yang dia mahu gunakan.

Selain itu peluang kepada pengurus-pengurus, ahli fisio, jurulatih, presiden kelab liga sosial dan lain-lain lagi mendapat nama jika kelab mereka berjaya.

Jadi, kita mungkin akan mendapat lebih ramai orang yang tepat dalam pengurusan bola sepak berbanding dengan orang yang kurang cakna tentang pengurusan bola sepak moden.

Rumusan 

Yang mana satu pilihan anda? Sekadar berpuas hati dengan pencapaian bola sepak kita pada hari ini? Menang kita sorak, tewas kita caci. Atau mulai bekerja kerana sedar kita telah ketinggalan lalu menerima hakikat bahawa bola sepak dunia telah berubah?

Industri bola sepak di China dan Brazil adalah antara contoh mudah yang boleh dijadikan rujukan. Kita pasti mahu melihat industri bola sepak negara bangkit dan mempunyai impian serta aspirasi seperti China.

Pada masa yang sama, kita juga mahu menghasilkan lebih banyak bakat bola sepak dari seluruh negara sehingga mampu mengeksport pemain seperti Brazil pada satu hari nanti.

Jika kita memiliki struktur bola sepak yang betul, tidak mustahil skuad kebangsaan akan memberikan hasilnya kemudian hari sejajar dengan usaha yang telah dilaksanakan.

Kritikan itu wajar. Namun ia harus tampil dengan solusi. Cacian itu kita jauhkan. Kerana ia hanya menjanjikan binasa. Tepuk dada, tanya selera.

Nota editor: Artikel ini merupakan pendapat penulis semata-mata dan tidak mewakili Semuanya BOLA sebagai sebuah organisasi.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN