Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan menegaskan beliau mahu individu-individu tampil untuk menyelamatkan bola sepak Kelantan.
Menurut laman MStar, Bibi tidak mahu segala kesalahan mengenai kegagalan Kelantan musim ini diarahkan kepada beliau.
“Tampillah bantu KAFA disini jika betul sayangkan persatuan ini.”
“Saya pernah menaja KAFA dahulu walaupun dengan nilai yang sedikit tetapi niatnya adalah untuk bantu bola sepak Kelantan.”
Bibi berkata demikian selepas menegaskan beliau telah berusaha keras untuk menyelesaikan kemelut hutang yang melanda persatuan tersebut.
Dalam masa yang sama, Bibi menegaskan tidak akan tunduk kepada mana-mana desakan untuk melihat beliau turun dari jawatan Presiden KAFA.
Bibi menegaskan beliau akan kekal di jawatan tersebut sehingga tamat tempoh perkhidmatan yang hanya akan berakhir pada tahun 2021.
Menurut Bibi, segala kerosakan yang berlaku haruslah ditangani dan bukannya pergi jauh dari kerosakan tersebut.
“Andainya kita tidak mampu urus rumah tangga kita, kita perlu selamatkan dahulu dan bukannya bercerai.”
“Dan bukannya berikan isteri kita kepada orang lain yang lebih berada untuk menjaganya.”
Bibi memenangi jawatan Presiden KAFA dan akan terus menjawat jawatan tersebut untuk tempoh dari tahun 2017-2021.
Tahun-tahun awal beliau sebagai Presiden KAFA banyak dihabiskan dengan usaha memulihkan kewangan persatuan tersebut.
Namun begitu, Kelantan mengalami kejatuhan apabila mereka menduduki tangga ke-11 dalam carta unifi Liga Super.
Mereka akan beraksi dalam saingan 100 Plus Liga Premier musim hadapan.