Berdepan Penyingkiran, Eddie Howe Punca Kepada Masalah Di Bournemouth?

Eddie Howe Bournemouth EPL 2020

Adakah Eddie Howe punca kepada masalah yang dihadapi Bournemouth? Kini, nasib mereka bagai telur di hujung tanduk. hampir pasti bakal tersingkir dari Premier League.

Menurut bekas pertahanan Liverpool, Glen Johnson, beliau percaya yang Howe telah gagal sebagai pengendali mungkin atas faktor sikapnya ataupun mungkin pengendali berusia 42 tahun itu hanya layak untuk mengendali pasukan di liga bawahan.

Mentaliti dan falsafah liga bawahan

Bercakap kepada talkSPORT, Glen Johnson berpendapat Howe mungkin memiliki masalah yang menurutnya, “Pada saya, nampaknya Eddie Howe memiliki mentaliti atau falsafah tertentu yang hanya berkesan kepada pemain dari liga bawahan.”

“Eddie telah melakukan tugasannya dengan baik, membawa mereka ke Premier League. Untuk itu, anda perlu menambah baik pasukan dan juga pemain setiap kali anda melangkah ke depan. Namun, setiap kali perubahan dibuat, ia tidak menjadi.

“Dia tidak dapat apa-apa sumbangan daripada pemain-pemain yang memiliki nama besar atau yang memiliki pengalaman luas dalam bola sepak,” jelas Johnson.

Johnson memberi contoh yang The Cherries pernah memiliki pemain-pemain seperti Jermain Defoe, Asmir Begovic dan Sylvain Distin, namun ketiga-tiga pemain tersebut yang memiliki CV hebat, tetap gagal untuk membantu Howe di Premier League.

Juga, mana Ibe dan Solanke?

“Ketiga-tiga pemain itu memiliki pengalaman luas di Premier League dan diharap akan membantu mereka untuk kekal di sana, tetapi ketiga-tiga mereka ada masalah dengan Eddie,” ujar pemain yang telah menggantung butnya pada Januari 2019 itu.

“Ia seakan-akan seperti Eddie tidak gemar seseorang yang memiliki kekuatan untuk berbincang dengannya atau mencabar kepercayaannya. Mungkin dia tidak sukakan perbincangan secara terbuka [mengenai pasukan],” tambah Johnson lagi.

Johnson turut berkata yang beliau pernah bermain bersama ketiga-tiganya dan mereka tidak pernah membuat masalah kepada sesiapa. Turut beliau tekankan, ke mana dua lagi bekas pemain Liverpool menghilang, iaitu Jordon Ibe dan Dominic Solanke?

Kedua-dua pemain muda itu telah ditandatangan dengan nilai yang besar daripada Liverpool, Ibe bernilai £15 juta dan Solanke £17 juta. Tetapi, segalanya dilihat tidak menjadi walaupun beliau berpendapat yang kedua-duanya berbakat besar.

Benarkah Eddie Howe puncanya?

Dua kali Eddie Howe hadir menyelamatkan Bournemouth daripada masalah prestasi. Pertama ketika dilantik musim 2008/09, The Cherries terselamat daripada penyingkiran daripada League Two. Musim keduanya, mereka raih promosi ke League One.

Beralih angin seketika ke Burnley pada Januari 2011, Howe hanya bertahan 21 bulan di sana sebelum kembali semula ke Vitality Stadium. Beliau masuk ketika pasukan hanya menang satu daripada 11 aksi League One dan menampilkan magiknya sekali lagi.

Impaknya, mereka naik ke Championship hasil sentuhannya. Dan terima kasih buat Howe, kini mereka telah bertapak di Premier League untuk lima musim.

Menggunakan taktikal yang dikategorikan sebagai ‘Attractive Football’ sebagai asas, Howe berjaya membentuk pasukan yang tiada nama besar itu tampil dengan prestasi menakjubkan sehingga mendapat tiket ke Premier League pada 2015/16.

Kering semangat melawan

Bournemouth sudah terbiasa dengan rentak kemenangan di bawah kendalian Eddie Howe sepanjang perjalanan mereka ke Premier League. Kini, adakah rasa terlalu selesa telah menyebabkan semangat melawan The Cherries sudah kekeringan?

Lima musim cuba bertahan di saingan tertinggi mungkin telah memenatkan mereka. Mereka tidak berkembang menjadi semakin baik, malah hanya bergelut saban musim. Kedudukan terbaik mereka adalah di tangga ke-9 pada musim 2016/17.

Keupayaan Howe untuk Bournemouth kekal bersaing bersama kelab-kelab elit telah menutup kerja berat yang sebenarnya. Mungkin, hari demi hari, kualiti usaha mereka semakin menurun disebabkan mereka sentiasa dengan misi yang sama.

Perjuangan untuk kekal di Premier League adalah pertempuran peribadinya. Beliau sudah bersama kelab sebagai pemain, pemantau bakat dan pengurus sejak 1994.

Penutup

Eddie Howe pernah berkata, “Reaksi negatif biasanya segera mengambil tempat dan semua yang anda telah bina bertahun-tahun mungkin akan dilupakan dan dipadam dalam sekelip mata. Anda perlu menjadi kuat untuk buktikan yang mereka salah.”

Secara matematiknya, mereka masih dalam persaingan untuk kekal di Premier League. Tetapi realistiknya, ia semakin sukar selepas mereka tewas 0-2 kepada Southampton.

KREDIT FEATURED IMAGE: JOE.CO.UK

Baca lagi artikel mengenai Eddie Howe dan Bournemouth:

Leave a Reply