Ronaldo Pemain Pertama Ledak Lebih 50 Gol Dalam Serie A, La Liga & EPL

Ronaldo 50 Gol

Cristiano Ronaldo mencatat satu lagi rekod peribadi dengan menjadi pemain pertama yang mencetak 50 gol dalam tiga liga utama Eropah yang berbeza iaitu Liga Perdana Inggeris (EPL), La Liga dan Serie A selepas menjaringkan dua gol ketika Juventus menang 2-1 ke atas Lazio.

Juventus kini sedang mendahului carta liga dengan kelebihan lapan mata mengatasi pencabar terdekat, Inter Milan dengan hanya empat perlawanan berbaki untuk menamatkan kempen musim ini.

Separuh masa pertama berlangsung agak rancak dengan tandukan Alex Sandro yang terkena tiang pada awal permainan, diikuti percubaan Adrian Rabiot serta rembatan kencang Ciro Immobile yang terkena tiang.

Ronaldo akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-51 menerusi sepakan penalti selepas rembatan Paolo Dybala dalam kotak penalti terkena tangan pemain pertahanan Lazio, Bastos.

Tiga minit kemudian, Dybala yang melepasi kawalan pertahanan Lazio tidak mementingkan diri dengan membuat hantaran kepada Ronaldo yang mudah menolak masuk gol keduanya dalam perlawanan ini.

Ronaldo berpeluang untuk mencatat hatrik dalam perlawanan ini, namun tandukannya hasil hantaran lintang Dybala hanya singgah di palang gol.

Pada lewat permainan, pasukan pelawat dihadiahkan sepakan penalti selepas Immobile dijatuhkan Bonucci dan penyerang Itali itu tidak membazir peluang untuk merapatkan kedudukan ketika perlawanan berbaki tujuh minit.

“Ronaldo adalah pemain yang hebat kerana dia mempunyai kemampuan luar biasa untuk pulih dengan cepat antara setiap perlawanan,” ujar pengurus Juve, Maurizio Sarri dalam sidang media selepas perlawanan.

“Saya tidak melihat hanya dalam aspek fizikal, tetapi juga aspek mental. Kami hanya perlukan empat mata sahaja lagi, kini setiap mata adalah amat penting kerana kami perlu beraksi setiap selang tiga hari, jadi kami perlu kekal fokus.”

Lazio yang hanya ketinggalan satu mata sahaja di belakang Juventus ketika saingan liga kembali bersambung telah tewas empat daripada lima perlawanan terakhir mereka selepas dilanda krisis kecederaan yang serius dalam pasukan.

Ronaldo menjadi pemain Juventus ketiga yang menjaringkan 30 gol Serie A dalam satu musim, sementara Immobile yang juga telah mengumpul jumlah gol yang sama merupakan pemain Itali kelima yang meraih pencapaian itu.

Beliau turut mencatat rekod sebagai pemain terpantas menjaringkan 50 gol dalam Serie A pada abad ini hanya dengan 61 penampilan.

Sekalipun memiliki rekod yang agak cemerlang musim ini, Ronaldo terlepas peluang untuk meraih gelaran Ballon d’Or keenamnya selepas penganjuran anugerah berprestij tersebut tahun ini telah dibatalkan.

Tonton sorotan perlawanan di sini:

Kredit Foto: Italian Football TV

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Cristiano Ronaldo dan Juventus:

Leave a Reply