Siapakah Di Antara Pengurus Berikut Berpotensi Sebagai Pengganti Jose Mourinho Di Old Trafford?

Setelah berbulan-bulan lamanya dikhabarkan akan meninggalkan Manchester United, akhirnya Jose Mourinho dipecat pada petang tadi (waktu Malaysia).

Dalam satu kenyataan, Manchester United mengesahkan pasukan tersebut akan dikendalikan oleh seorang pengurus sementara yang akan diumumkan di dalam tempoh 48 jam berikutnya. Pengurus sementara tersebut akan mengendalikan kelab tersebut sehingga hujung musim ini – sambil pencarian untuk pengurus tetap dijalankan.

Ini adalah antara senarai yang pada pandangan kami, antara calon terbaik yang mungkin diintai oleh Manchester United sebagai pengurus baharu kelab tersebut.

Laurent Blanc

Nama Laurent Blanc bukan watak asing bagi mereka yang telah mengikuti Manchester United sejak sekian lama. Beraksi sebagai pemain pertahanan ketika masih bergelar pemain, Blanc adalah pemain yang Sir Alex Ferguson mahukan sejak 1996.

Namun demikian, Ferguson hanya berjaya membawa khidmat pemain tersebut ke Liga Perdana Inggeris pada 2001, sebelum Blanc tampil dalam 48 perlawanan liga, dan membantu pasukan Manchester itu bergelar juara liga pada musim 2002/03.

(Photo by John Peters/Manchester United via Getty Images)

Karier di dalam bidang kejurulatihan dan pengurusan untuk pemain ini bermula pada 2007 bersama Bordeaux di Ligue 1 Perancis.

Membantu Bordeaux menjuarai Ligue 1 pada musim 2008/09, Blanc juga membimbing Paris Saint-Germain untuk muncul juara Ligue 1 selama tiga musim berturut-turut di antara 2013 sehingga 2016.

(Photo credit should read FRANCK FIFE/AFP/GettyImages)

Blanc dikenali sebagai seorang pengurus yang mampu membangunkan kembali sesebuah pasukan yang telah jatuh. Ini dibuktikan dengan keupayaan Blanc membangunkan kembali pasukan kebangsaan Perancis selepas prestasi mengecewakan di Piala Dunia 2010.

Kini tanpa sebarang kelab sejak melepaskan jawatan di PSG dua tahun yang lalu, Blanc dilihat sebagai salah seorang calon yang berkemampuan untuk membangkitkan kembali moral dan iltizam yang hilang di Old Traford.

Ryan Giggs

Ryan Giggs ialah antara pemain bola sepak terhebat yang Manchester United pernah lahirkan. Sinonim sebagai pemain sayap ketika era kegemilangan beliau sebagai pemain, Giggs meraih 13 kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak menyertai United pada usia remaja.

Giggs pernah mengendalikan Manchester United sebagai pengurus interim beberapa musim yang lalu selepas pemecatan David Moyes, dan tidak pernah menyembunyikan niat beliau untuk kembali ke Old Trafford sebagai pengendali.

(Photo credit should read GLYN KIRK/AFP/Getty Images)

Dilihat sebagai ikon dan dianggap sebagai legenda, Giggs pasti akan disambut baik oleh penyokong-penyokong setia Manchester United jika dipilih menggantikan Mourinho.

Kelebihan utama jika Giggs dipilih menggantikan Mourinho ialah kerana beliau amat memahami budaya dan nilai yang diamalkan di United dalam mengejar kejayaan di atas padang.

(Photo by Martin Rickett/PA Images via Getty Images)

Beliau juga mampu menjelmakan kembali persekitaran seperti mana yang pernah diwujudkan oleh Sir Alex kepada pemain dan penyokong, setelah bersama kelab tersebut selama lebih dua dekad.

Zinedine Zidane

Zinedine Zidane ialah nama paling berprofil tinggi yang dikaitkan sebagai pengganti Mourinho di Old Trafford.

Terdapat laporan dari erpoah mengatakan Zidane sengaja menolak beberapa tawaran sebelum ini dengan harapan beliau akan dipilih untuk menggantikan pengendali berbangsa Portugis itu di Old Trafford.

Real Madrid

Dari pandangan kebanyakkan penyokong, Zidane ialah calon paling layak untuk Manchester United.

Imej beliau yang ikonik sebagai antara bekas pemain paling berbakat dunia pernah saksikan, dan kemudiannya mengendalikan kelab paling terkenal dunia seperti Manchester United, dianggap sebagai gandingan terbaik yang mereka boleh harapkan.

Perkara ini dicanang lagi dengan pengalaman mengendalikan Real Madrid sebelum ini sehingga berjaya menjuarai tiga kejuaraan UEFA Champions League dalam tempoh tiga musim secara berturut-turut.

(Photo by Matthias Hangst/Getty Images)

Zidane mungkin mempunyai rekod pengurusan yang cemerlang. Namun rekod di La Liga adalah sebaliknya. Di dalam tempoh tiga musim, Zidane hanya berjaya membimbing Real Madrid bergemar juara pada musim pertama.

Dua musim berikutnya, termasuk musim lalu, mereka bergelut untuk bersaing dengan Barcelona, dan turut dimalukan oleh pasukan kecil seperti Leganese di saingan domestik.

Mauricio Pochettino

Nama Mauricio Pochettino sering dikaitkan dengan Manchester United sejak beberapa tahun lalu.

Nama beliau berterusan dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford setiap kali masa depan Mourinho bersama United menjadi persoalanan.

Pochettini telah melakukan kerja beliau dengan cemerlang bersama Tottenham Hotspur, sejak tiba di kelab London itu pada 2014 daripada Southampton, menjadikan beliau sebagai watak yang digemari di kalangan penyokong.

Spurs adalah kelab yang sering berada di kedudukan pertengahan liga sebelum ketibaan Pochettino.

Kini kelab London itu berjaya layak ke pertandingan UEFA Champions League secara konsisten sejak beberapa musim lalu, dan merupakan antara pencabar utama saingan domestik.

Mauricio Pochettino
(Photo by Tottenham Hotspur FC/Tottenham Hotspur FC via Getty Images)

Keupayaan Pochettino menjadikan pemain muda sebagai pemain utama yang digeruni adalah aset utama beliau, selain daripada taktikal moden yang berkesan.

Tidak sukar menilai keupayaan Pochettino dan menjelaskan mengapa United mengintai pengendali dari Argentina.

Lihat sahaja bagaimana Spurs memberikan impak kepada skuad England dari segi jumlah pemain, dan gaya permainan mereka sehingga berjaya mara ke separuh akhir Piala Dunia sejak 1990.

Antonio Conte

Bekas pengendali Itali dan Juventus, tiba di England sebagai pengganti kepada Jose Mourinho di Chelsea pada April 2016.

Jika lembaga pengarah yang diketuai oleh Ed Woodward memilih Conte sebagai pengurus Manchester United yang seterusnya, ini bermakna Conte akan menggantikan Mourinho sebanyak dua kali di dalam tempoh dua tahun.

Conte mempunyai kelebihan beliau tersendiri untuk menjadi pilihan di Old Trafford.

Pengalaman beliau mengendalikan Chelsea dan membawa pasukan dari London itu bukan satu kebetulan, tetapi juga kerana perubahan taktikal yang dilakukan oleh pengendali dari Itali itu,

Itu bermakna Conte telah membuktikan beliau mampu mengubah taktikal yang dianggap konservatif yang pernah diterapkan oleh Mournho.

Berbeza seperti ketika di Chelsea, Conte juga akan mendapat sokongan kewangan yang kuat untuk mendapatkan pemain yang beliau inginkan untuk membina kembali Manchester United.

Tetapi seperti Mourinho, Conte juga mempunyai sejarah pengurusan pemain seperti yang dihadapi oleh pengurus tersebut bersama Diego Costa, David Luiz dan Willian.

Eddie Howe

Jika Manchester United mahukan seorang pengendali muda dengan projek jangka masa panjang, nama Eddie Howe harus berada di dalam senarai pertimbangan.

Howe hanya berusia 40 tahun, namun bekas pemain Portsmouth dan Bournemouth itu sudah kaya dengan pengalaman sebagai pengurus di Liga Perdana Inggeris.

Penyokong dan lawan Manchester United sering mengkritik taktikal Mourinho yang dilabel membosankan dan konservatif.

Di Bournemouth, Eddie Howe menerapkan aspek penguasaan bola yang dinamik di dalam permainan pasukannya.

Ini menjadikan corak permainan Bournemouth sebagai salah sebuah pasukan yang menghiburkan di Liga Perdana Inggeris (EPL).

(Photo by Catherine Ivill/Getty Images)

Corak permainan dan arahan kepada pemain amat mudah. Tiada ‘fancy football’ dikehendaki, dan Howe hanya menuntut fokus dan disiplin sebagai sebuah pasukan ketika berada di dalam padang.

Dengan skuad yang lebih baik dari segi kebolehan teknikal berbanding Bournemouth yang dibimbing oleh beliau sejak 2012, siapa tahu Howe adalah pencarian yang United cari selama ini.

Marcelo Bielsa

‘The Guru’. Mungkin itulah ungkapan yang sesuai untuk pengendali dari Argentina yang kini bersama Leeds United di Championship.

Sejak tiba di England, Marcelo Bielsa telah berjaya mengubah Leeds dalam tempoh masa yang singkat.

Photo by Getty Images

Daripada pasukan yang sering bergelut, dan hanya mampu berada di pertengahan liga pada musim lalu, Leeds bangkit untuk berada di antara kelompok pencabar pada musim ini.

22 perlawanan, 13 kemenangan dan hanya tewas  tiga kali, Leeds kini berada di tangga teratas Championship.

(Photo by Alex Dodd – CameraSport via Getty Images)

Marcelo Bielsa adalah pakar taktikal moden yang menjadi rujukan pengurus seperti Pep Guardiola, Mauricio Pochettino dan ramai lagi.

Beliau pemegang falsafah bola sepak moden yang menggemari pertarungan taktikal dan teknikal di dalam padang.

Bielsa tidak pernah mengendalikan kelab utama dunia sepanjang karier kejurulatihan beliau.

Bielsa ialah seorang jurulatih yang sangat radikal dalam pengurusan taktikal dan pasukan. Beliau pernah melepaskan jawatan di Lille gara-gara pengurusan tertinggi tidak menghormati tugas beliau.

Adakah beliau sesuai dengan gaya dan cara di United, apatah lagi kelab Manchester itu dikhabarkan sedang mencari seorang Pengarah Sukan?

Penutup

Siapakah pengurus pilihan anda untuk mengendalikan Manchester United?

Anda punyai pilihan lain yang lebih sesuai? Nyatakan kepada kami di ruangan komen.

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN