Penyerang muda meningkat naik, Ben Woodburn bukanlah pemain pertama yang menolak untuk beraksi bersama England. Prospek muda milik Liverpool itu memilih untuk bersama Wales dan ternyata ianya berbaloi setakat ini.
Ben Woodburn membuat debut antarabangsanya bersama Wales ketika menundukkan Austria dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2018 dan ianya satu pengenalan yang cukup indah buat pemain berusia 17 tahun itu.
Woodburn telah menjaringkan gol kemenangan buat Wales empat minit selepas dimasukkan di babak kedua seterusnya menghidupkan semula sisa perjuangan Wales dalam misi melayakkan diri ke Piala Dunia.
Wales dilihat bergelut untuk menggegar jaring lawan sehinggalah Woodburn dimasukkan dan jaringannya itu membolehkan Wales menang tipis 1-0 ke atas Austria di Stadium Cardiff City, 2 September lalu.
Beliau menjadi penjaring termuda kedua untuk Wales selepas Gareth Bale, dengan hanya mengambil masa 261 saat untuk membuka akaun jaringan bersama Wales. Dan ianya adalah gol yang cukup padu dan sensasi buat pemain muda ini.
https://www.youtube.com/watch?v=_1M1vzTKwo8
Wales kini mencatatkan 11 mata, berada di kedudukan ketiga Kumpulan D, di belakang Serbia dan Republik Ireland.
Untuk rekod, Woodburn masih layak memilih untuk bersama negara kelahirannya, England sehinggalah membuat debut impian bersama Wales tempohari. Dilahirkan di Chester, beliau telah bersama Liverpool sejak dari umur 7 tahun.
Woodburn pernah ditawarkan untuk bersama England B-16 pada Ogos 2014, namun memutuskan untuk menolak dan terus berada bersama kem Wales, di mana beliau layak mewakilinya menerusi datuknya.
Woodburn bukanlah pemain pertama yang menolak untuk bersama England. Antara pemain yang pernah menolak untuk beraksi bersama Three Lions adalah;
Victor Moses
Moses pernah beraksi untuk England B-19 dan B-21, sebelum memutuskan untuk bersama negara kelahirannya, Nigeria bermula pada tahun 2012 dan telah membuat 28 penampilan.
Ashley Williams
Dilahirkan di Wolverhampton, Williams yang kini berusia 33 tahun, bagaimanapun telah memilih untuk beraksi bersama Wales, negara kelahiran datuknya.
Wilfried Zaha
Pemain sayap Crystal Palace, Zaha pernah membuat dua penampilan bersama skuad kebangsaan England dalam aksi persahabatan sebelum memohon untuk beraksi bersama negara kelahirannya, Ivory Coast.
Lewis Holtby
Bekas pemain tengah Tottenham pada musim 2013 hingga 2015 ini telah memilih untuk bersama Jerman dan merupakan kapten skuad Jerman B-21 sebelum ini. Layak untuk bersama England berdasarkan keturunan bapanya yang merupakan bekas pegawai tentera British.
Simone Perrotta
Dilahirkan di Ashton-under-Lyne dan memiliki pasport British, Perrotta sememangnya layak untuk bersama England, namun telah memilih untuk bersama Itali. Mungkin dek kerana, beliau tidak pernah beraksi luar daripada Itali.
Sumber Rujukan:
- Luke Brown, The Independent (2017): Ben Woodburn’s snub is not the first: The almost England XI featuring Wilfried Zaha and Simone Perrotta
- Chris Bascombe, The Telegraph (2017): England rue missing out on Ben Woodburn – Wales’ new goalscoring wonderkid