4 Jurulatih Risik Jawatan Ketua Jurulatih Bujang Senang Musim Hadapan

Sekurang-kurangnya 4 individu telah menyatakan minat untuk mengendalikan skuad Bujang Senang untuk cabaran Liga Malaysia pada musim hadapan.

Demikianlah menurut laporan yang disiarkan oleh Stadium Astro seperti yang disiarkan di laman portal berita sukan berkenaan.

Perkara tersebut disahkan sendiri oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS),  Datuk Posa Majais yang mengesahkan telah menerima 2 permohonan secara hitam putih dan 2 lagi permohonan secara lisan.

Kredit: Borneo Post

Salah satu profil pemohon untuk mengisi jawatan Ketua Jurulatih Sarawak FA datang daripada benua Eropah. Pengendali berkenaan dikatakan sedang mengendalikan salah sebuah kelab terkemuka di negara jiran, Filipina.

Profil kedua yang telah menghantar permohonan rasmi kepada FAS ialah bekas pemain Sarawak FA yang kini menjadi sebahagian daripada barisan kejurulatihan pasukan Felda United.

Bagaimanapun, Datuk Posa Majais tidak mendedahkan nama jurulatih yang berminat untuk mengisi kekosongan Ketua Jurulatih Sarawak FA berkenaan.

Jawatan Ketua Jurulatih Sarawak FA menjadi kosong selepas pengendali terdahulu, David Usop mengambil keputusan untuk mengundurkan diri dan berehat, ekoran prestasi buruk pasukan dari Borneo itu dalam saingan Liga Super 2017.

Bekas Ketua Jurulatih skuad Bujang Senang, David Usop.

Sarawak tidak pernah memenangi perlawanan di halaman sendiri sejak permulaan musim ketika di bawah kendalian David Usop.

Sejak daripada itu, penolong jurulatih kepada David, Pengiran Bala (gambar bawah) mengambil alih sementara pasukan Sarawak. Walaupun berjaya mencatat kemenangan pertama ketika menentang pasukan tercorot, Pulau Pinang di Stadium Negeri, Kuching, skuad Sarawak gagal memberikan saingan dalam pertandingan Piala Malaysia.

2 lagi calon yang menyatakan minat secara lisan untuk mengendalikan pasukan Sarawak untuk saingan pada musim hadapan adalah dari kalangan anak tempatan.

Kredit: Pemilik Gambar

Mohamad Mentali adalah jurulatih yang sudah bersama pasukan Sarawak sejak 30 tahun yang lalu. Manakala Lucas Kallang adalah bekas pemain Sarawak era Ngap Sayot dan pernah mendukung watak sebagai pembantu kepada pengurus dan jurulatih legenda Sarawak, Alan Vest.

Namun sehingga kini, FAS belum lagi menerima permohonan secara hitam putih daripada kedua-dua calon tersebut. Mengulas kedudukan David Usop, Datuk Posa berkata jurulatih berkenaan masih lagi bersama FAS dan kedudukannya akan diputuskan dalam mesyuarat FAS dalam masa terdekat.

Sambil memberi bayangan bahawa FAS mengutamakan anak tempatan untuk mengendalikan pasukan Sarawak pada musim hadapan, Datuk Posa menjelaskan ia bergantung sepenuhnya kepada nasib Sarawak di Liga Super pada musim ini.

Photo by Hazmin Hussin / www.asiana.my

Sarawak mempunyai baki 3 perlawanan di dalam saingan Liga Super. Skuad Bujang Senang akan berkunjung ke Kuantan untuk bertemu Pahang sebelum menanti kunjungan Kedah dan juga T-Team jika tiada lagi pindaan jadual Liga Malaysia dari FMLLP dan FAM.

Sarawak menduduki tangga ke-11 Liga Super 2017, dan harus menang kesemua baki perlawanan untuk mengelakkan diri terjerumus ke Liga Premier pada musim hadapan, sambil mengharapkan saingan terdekat seperti PKNS FC, T-Team, Kelantan dan Melaka turut keciciran mata.

Sumber:

1. Rudi Affendi Khalik, Stadium Astro (2017): Empat jurulatih berminat ganti David Usop; http://www.stadiumastro.com/sukan/liga-super-malaysia/artikel/empat-jurulatih-berminat-ganti-david-usop/56797

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN