Baru-baru ini tular di media sosial mengenai bekas tonggak pertahanan Harimau Malaya iaitu Rizal Ghazali yang dilaporkan telah mengasari kekasihnya sehingga mengakibatkan kecederaan.
Kes sedemikian merupakan sesuatu yang sangat terpencil membabitkan pemain bola sepak profesional di Malaysia, selepas ianya lebih kerap berlaku di luar negara seperti Mason Greenwood.
Namun, ianya sesuatu mengejutkan setelah perkara sedemikian turut berlaku di Malaysia dengan membabitkan pemain yang masih lagi aktif dalam dunia bola sepak profesional seperti Rizal.
Umum mengetahui Rizal merupakan salah satu tonggak penting untuk pertahanan kanan Sabah, serta membuat beberapa penampilan untuk Harimau Malaya dengan sangat baik.
Malah, prestasi beliau juga mendapat pujian daripada ramai penyokong dan Rizal jarang terlibat dengan isu disiplin di atas padang untuk menberi imej tidak baik.
Menerusi laporan terbaharu daripada Berita Harian, Rizal dikhabarkan telah tiba di Kompleks Mahkamah, Petaling Jaya untuk berdepan dakwaan kerana kes dilakukan beliau sebelum itu kepada kekasihnya iaitu Dr Hana Rose.
Pemain tersebut dilaporkan tiba di mahkamah pagi ini dengan mengenakan seluar jeans serta berbaju biru sambil diiringi oleh seorang lelaki untuk menghadapi dakwaan tersebut.
Sebelum itu, Rizal telah pun ditahan pihak polis pada 7 Jun lalu dalam satu serbuan dibuat kepada beliau di sebuah hotel bagi membantu siasatan.
Menurut Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid selaku Ketua Polis Daerah, laporan menyatakan ada perselisihan berlaku membabitkan Rizal bersama kekasihnya sebelum itu.
Hasil perselisihan tersebut menyaksikan beberapa kecederaan berlaku kepada Dr Hana Rose, selain Rizal juga dilaporkan turut merosakkan telefon kekasihnya.
Malah, perbuatan terbabit turut menyebabkan wanita berkenaan lebam di tangan dan mendapat beberapa kesan calar sebelum terpaksa mendapatkan rawatan susulan di sebuah klinik swasta.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 323 dan 427 Kanun Keseksaan.
Walau apapun berlaku, ianya perlu menjadi satu pedoman terbaik buat semua pemain bola sepak profesional lain dalam negara untuk mengelakkan sebarang keganasan berlaku yang hanya akan merugikan karier sendiri.
Malah, ianya juga akan memberi imej buruk buat diri serta mengambil masa yang lama untuk kembali membersihkan nama dalam dunia bola sepak tempatan dengan membabitkan pelbagai pandangan daripada penyokong.