Bekas pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Mario Gomez dikaitkan bakal menyertai saingan Liga 1 Indonesia tidak lama lagi untuk menjadi jurulatih baharu kepada Persib Bandung.
Awal saingan Liga 1 Indonesia sebelum itu sudah pun ada kejutan tersendiri, selepas Luis Milla sah meletakkan jawatan beliau selaku pengendali utama Persib Bandung termasuk barisan staf kejurulatihan lain.
Luis Milla menyampaikan apresiasinya untuk semua pihak yang telah membantunya selama bekerja bersama #PERSIB pic.twitter.com/WLOCw7LOZR
— PERSIB (@persib) July 15, 2023
Keputusan tersebut dibuat semalam, setelah Persib Bandung mencatat keputusan seri 2-2 bersama Dewa United dan mereka masih gagal merekodkan sebarang kemenangan selepas mengharungi tiga perlawanan.
Dilaporkan alasan Milla meninggalkan Persib Bandung bukannya atas faktor prestasi semasa pasukan yang kurang memberangsangkan selepas mengharungi beberapa perlawanan.
Tetapi dinyatakan Milla terpaksa mengambil keputusan drastik itu kerana mempunyai masalah peribadi tang memaksa beliau meninggalkan pasukan dengan kadar segera.
Beberapa pengganti Milla kini sudah pun mul dikaitkan bakal mengambil alih tugas tersebut pada masa akn datang untuk mengemudi Persib Bandung kembali berada di landasan sebenar.
Antara yang popular disebut ketika ini terarah kepada bekas pengendali JDT, Mario Gomez berdasarkan reputasi pernah dibawa beliau ketika menjadi jurulatih kelab tersebut.
Gomez sebelum itu pernah mengendalikan Persib Bandung pada musim 2017 dan 2018 bersama corak permainan cukup menyakinkan di atas padang.
Malah kelibat beliau ketika itu cukup disenangi oleh para penyokong setia Persib Bandung atas pencapaian dilakar Gomez untuk mengubah corak permainan pasukan tersebut tampil lebih cemerlang.
Bersama JDT, nama Gomez boleh dianggap sebagai salah satu jurulatih yang sangat disegani suatu ketika kerana berjaya membawa Harimau Selatan untuk tampil selaku juara Piala AFC 2015 serta banyak kejuaraan domestik di Malaysia.
Kaitan antara Gomez dan Persib Bandung kembali timbul di media sosial, selepas pengendali tersebut memuat naik suatu kenyataan di Instagram seolah memberi bayangan akan kembali menjadi pengendali Persib Bandung.
“Saya mengenang detik-detik indah dalam hidup ketika berada di Bandung. Penyokong sangat penting dalam dunia bola sepak serta buat mana-mana pasukan,” jelas Gomez di Instagram.
Pastinya ketika ini penyokong Persib Bandung menunggu dengan penuh sabar untuk mengetahui calon jurulatih seterusnya buat pasukan tersebut pada musim ini.