Kelab dari Liga 1 Indonesia, Persija Jakarta memutuskan untuk tidak membawa bekas penyerang Melaka United, Marko Simic untuk perlawanan menentang juara Liga Super 2017, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Piala AFC kumpulan H di Stadium Larkin esok.
Menurut pegawa media Persija Jakarta, Eko Romeo Yudhiyono, Marko Simic tidak dibawa kerana pemain itu perlu diberi rehat setelah menempuhi jadual perlawanan yang cukup padat.
Tentunya ada alasan mengapa penyerang yang berasal dari Croatia itu tidak dibawa ke Malaysia.
Persija baru sahaja menewaskan PSMS Medan, 4-1 dalam perlawanan separuh akhir Piala Presiden semalam dan barisan pemain mereka pasti keletihan selepas mengharungi perjalanan yang jauh ke Johor Bahru.
Malah, mereka dijadualkan bertemu Bali United atau Sriwijaya FC pada perlawanan akhir di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta pada hari sabtu ini.
Jadual yang cukup padat ini memaksa pasukan itu merehatkan penyerang utama seperti Marko Simic dan bakal mempertaruhkan gandingan bekas pemain Selangor, Bambang Pamungkas dan penyerang import mereka, Addison Alves.
Simic merupakan penjaring terbanyak Piala Presiden dengan 9 gol dan jurucakap kelab itu berkata mereka yakin dapat menewaskan JDT.
“Kami tidak membawa Marko Simic ke Johor kerana dia dipersiapkan untuk final Piala Pesiden,” kata Eko kepada BolaSport.com.
“Meskipun tanpa Simic, Persija tetap optimis dapat bawa pulang sekurang-kurangnya 1 mata dari Larkin,” katanya.
Pengendali Persija Jakarta, Stefano Cugurra, sudahpun menyiapkan barisan impiannya untuk menentang JDT.
Salah satunya adalah Addison Alves yang akan menjadi ujung tombak Persija di kandang Johor Darul Takzim.
“Jadi penyerangnya yang kami bawa ada Addison Alves. Tak hanya itu ada juga Bambang Pamungkas yang akan memperkuatkan serangan kami,” kata Eko.