Bekas pemain Arsenal, Bacary Sagna menegaskan bahawa duo pertahanan The Gunners, David Luiz dan Sokratis Papastathopoulos telah mempamerkan peningkatan sejak Mikel Arteta bertindak selaku pengurus kelab tersebut.
Kempen 2019/20 nyata bukanlah musim yang baik buat Arsenal apabila prestasi turun naik dipamerkan menyebabkan kelab berpangkalan di London itu sekadar menduduki tangga kesembilan pada ketika ini.
Kenyataan yang amat pahit juga terpaksa ditelan kerana Arsenal hanya mampu mencatatkan sembilan kemenangan selepas mengharungi 28 perlawanan Liga Perdana Inggeris.
Sehubungan dengan itu, kelemahan di jentera serangan turut disifatkan sebagai antara penyumbang kepada kegagalan Arsenal untuk mencatatkan keputusan baik pada musim ini.
”Saya percaya bahawa Sokratis dan David Luiz merupakan pemain yang baik,” ujar Sagna menurut laporan dikeluarkan Goal.
”Saya tidak tahu sama ada mereka mengalami tekanan kerana kita sentiasa bercakap tentang mereka dan setelah mereka melakukan beberapa kesilapan, mereka berada di dalam radar [kecaman].”
”Tetapi selepas Mikel [Arteta] menyertai pasukan, saya merasakan mereka berdua lebih mantap dan saling melengkapi antara satu sama lain.”
”Arsenal tidak dibolosi dengan banyak gol dan saya merasakan itu merupakan satu peningkatan yang telah ditunjukkan.”
”Saya melihat Luiz mungkin akan pergi pada penghujung musim ini tetapi adalah merupakan sesuatu yang hebat sekiranya saya dapat melihat dia kekal lagi untuk musim seterusnya, musim yang penuh bersama Mikel.”
”Saya merasakan Mikel hanya memerlukan sedikit masa untuk menyelesaikan isu pertahanan dan membuatkan mereka kembali kuat,” tambah Bacary Sagna lagi.
Kenyataan yang dikeluarkan Sagna ada kebenarannya selepas Mikel Arteta berjaya membawa kelab tersebut mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan liga sejak bermulanya tahun 2020.