Penyerang utama Selangor, Ayron del Valle kini semakin bersemangat untuk menjaringkan gol sekali gus membantu kelabnya memburu kemenangan.
Selepas mencatatkan hatrik ketika bertemu Kelantan United tempoh hari di Kota Bharu, Ayron kini ingin terus membawa prestasi cemerlangnya sehingga ke akhir musim.
Ayron sedar tugasan beliau sebagai penyerang utama Selangor adalah untuk menjaringkan sebanyak boleh jaringan dan itulah yang penyerang dari Colombia ini mahu lakukan.
“Jaringan hatrik dalam perlawanan Kelantan United tempoh hari bukanlah pengakhiran. Sasaran saya adalah untuk terus menyumbang gol serta bantuan gol kepada pasukan bagi mencapai misi Selangor FC musim ini serta memastikan pasukan berada di tahap terbaik dalam setiap perlawanan.
“Saya gembira kerja keras selama ini membuahkan hasil yang baik untuk diri dan juga pasukan,” kata Ayron menerusi laman rasmi Selangor.
Ayron mengakui yang pada peringkat awal ketibaannya ke Selangor beliau mengalami kesukaran untuk beraksi dengan cemerlang.
Namun begitu, pemain tersebut sudah mula mendapatkan prestasinya dan semakin cemerlang membantu Selangor mengekalkan kedudukan tangga kedua mereka dalam Liga Super.
Penyerang ini juga berasakan yang beliau semakin serasi dengan rakan sepasukannya yang lain dari segi komunikasi dan ini amat membantu Selangor untuk terus beraksi baik dalam setiap perlawanan.
“Dalam masa yang sama, saya merasakan komunikasi yang baik di dalam dan di luar padang sangat membantu saya untuk beraksi dengan baik,” tambah Ayron lagi.
Selepas menewaskan Kelantan United, Selangor akan bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi separuh akhir Piala FA.
Pertembungan hangat itu akan diadakan 26 Jun 2023 selepas tempoh aksi perlawanan antarabangsa tamat.